Khamis, 22 Mac 2018

Umum calon awal langkah kesan wakil rakyat terbaik - Penganalisis

Oleh Nur Atiqah Abdul Samad
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Tindakan Barisan Nasional (BN) yang mahu mengumumkan calon bagi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) lebih awal, merupakan satu langkah bijak dalam mengesan calon terbaik untuk mewakili parti.
 
Penganalisis politik Prof Datuk Dr Ismail Sualman berkata, dengan cara ini rakyat boleh mengenali calon dengan lebih baik dan membuat pilihan sama ada calon itu layak atau tidak untuk menjadi wakil rakyat mereka.
 
Malah katanya, ia dapat mengelakkan berlaku sabotaj terhadap pemimpin yang dicalonkan.
 
"(Cara) ini mudahkan pengundi untuk kenal dan mesra dengan bakal wakil rakyat mereka. Kedua strategi lebih mudah dibuat, nak buat kempen, penjanamaan semula dan pelbagai lagi. 
 
"Ketiga, kalau ada berlaku cah keting atau boikot, kita dapat kenalpasti lebih awal untuk cantas atau atasi (mereka). Sebab masalah dalam BN ni, bukan mereka ni lemah tapi mereka bergelut sesama mereka. Banyak kes-kes (sebelum ini), patut kawasan tu boleh menang tapi kalah. Maknanya orang BN sendiri yang boikot," katanya dalam satu temubual bersama Antarapos.
 
Ujar beliau lagi, strategi baru BN ini sudah diamalkan di negara luar seperti Singapura, Australia, di mana calon berkenaan diumumkan setahun lebih awal sebelum pilihan raya.
 
"Beberapa negara seperti Australia, Singapura, penamaan calon awal ni akan melalui satu proses. 
 
"Satu Parlimen diletak 3-5 calon, mereka diberikan tugas untuk membuat apa saja dan di situlah mereka bersama rakyat untuk faham hati mereka. Lepas tahun kedua, buang dua tinggal tiga dan selepas itu mereka bertanding untuk dinilai pengundi," ujar beliau lagi.
 
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang juga pengerusi BN berkata, ada kemungkinan parti itu akan mengumumkan calon PRU14 lebih awal berbanding dua atau tiga hari sebelum PRU seperti diamalkan selama ini.
 
Tindakan ini katanya, supaya BN dapat menyelesaikan masalah yang mungkin berlaku di sesuatu kawasan selain calon boleh bersedia awal.
 
Najib turut memberitahu, beliau telah memiliki senarai awal calon tetapi memerlukan masa untuk membuat penelitian sebelum membuat pengumuman mengenainya.
 
Elak calon bidan terjun
 
Dalam pada itu, Ismail yang juga pensyarah kanan di Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media berkata, BN sepatutnya mengelakkan calon 'bidan terjun' yang hanya akan merugikan parti.
 
"Kita juga tidak suka dalam BN, calon bidan terjun. Walaupun dinamakan awal tapi bukan datang dari kawasan BN kat situ, saya rasa dia akan menempah kekalahan. 
 
"Walaupun dia pemimpin hebat dalam Umno, kenapa tak bertanding di tempat dia? Contoh kalau dia tu dari Kedah, Kelantan, Melaka atau di mana pun tapi kenapa bila nak pilihan raya dia diletakkan di Shah Alam. Untuk apa? Sedangkan Shah Alam dah ada calon dia, dah bekerja (keras) selama lima tahun," katanya kesal.
 
Malah beliau melihat senario itu hanya akan menyebabkan calon tempatan berkenaan tidak berpuas hati sehingga memboikot wakil yang dipilih parti.
 
"Akhirnya yang menghukumnya adalah orang Umno sendiri terhadap calon ini, mereka tak protes pada presiden tapi mereka protes dengan tidak turun mengundi atau tak menyokong (calon). 
 
"Saya rasa itu perlu diambil iktibar, kalau itu masih dilakukan walaupun calon dinamakan lebih awal tapi kalau tak datang daripada restu penduduk tempatan. Saya rasa ia tidak beri kesan," katanya

Tiada ulasan: