Memaparkan catatan dengan label SUHAKAM. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label SUHAKAM. Papar semua catatan

Selasa, 28 Julai 2020

Kenapa Suhakam bela ‘pengkhianat’ negara? – Shahul

Wan Noor Hayati Wan Alias

aljazeera-1
Md Rayhan Kabir
KUALA LUMPUR – Tindakan Suruhanjaya Hak Asasi Malaysia (Suhakam) mempertahankan warga Bangladesh, Md Rayhan Kabir mengguris hati rakyat negara ini.

Penganalisis jenayah, Shahul Hamid Abdul Rahim berkata, ini kerana Md Rayhan sudah membuktikan dirinya memiliki niat jahat mahu menjatuhkan imej negara di mata dunia menerusi kenyataan beliau di dokumentari terbitan Al Jazeera.

Katanya, kenyataan itu bukti yang jelas pengkhianatan malah melanggar syarat pas kerja dengan kerja di sektor lain serta beberapa rekod kesalahan Imigresen lampau, jadi tindakan Jabatan Imigresen adalah amat tepat iaitu batalkan permit dan usir keluar selama-lamanya.

“Orang yang masuk ke negara ini dengan pas kerja binaan tetapi melakukan kerja lain jelas menunjukkan peribadinya yang tidak jujur dan sengaja melanggar undang-undang negara ini.

“Jadi saya ingin bertanya kenapa masih koordinator Lawyers for Liberty (LFL) dan Suhakam mendakwa Rahyan tiada kesalahan?

“Secara logiknya hanya mereka yang ada kaitan dengan sindiket penyeludupan warga asing sahaja yang beria-ia membantu warga asing ini.
shahul
Shahul Hamid
“Berhubung apakah benar apa yang dikatakannya itu sewajarnya pihak berkuasa menyiasat siapa dalang di sebalik kenyataan beliau. Aneh benarlah seorang warga asing yang ada rekod kesalahan Imigresen mahu mencari wartawan media antarabangsa untuk ‘membantai’ Malaysia kecuali ada yang tolong bawa atau tunjuk cara.

“Malah beliau tidak menunjukkan sebarang bukti seperti rakaman video dan sebagainya untuk menyokong kenyataannya bahawa pegawai mana yang beri layanan berkenaan, tanpa bukti ia hanyalah satu fitnah dan hasutan semata-mata.

“Adakah kita hendak membiarkan sewenang-wenangnya warga asing memberi tohmahan dan hasutan tanpa langsung mempertahankan kedaulatan dan keamanan negara kita?” soalnya hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Suhakam yang mendakwa tindakan mengusir keluar dan menyenarai hitam Md Rayhan daripada memasuki Malaysia buat selama-lamanya sebagai tindakan terburu-buru selepas ditahan kerana mengeluarkan kenyataan memburukkan nama Malaysia.

Pesuruhjayanya, Jerald Joseph berkata, tindakan sebegitu mungkin dilihat wajar dari segi perundangan negara serta bidang kuasa Jabatan Imigresen Malaysia tetapi ia bukanlah penyelesaian kepada isu yang berlaku.- MalaysiaGazette

Sabtu, 19 Oktober 2019

Dakwaan seksual: Ibu berhak ambil tindakan terhadap sekolah tahfiz - Suhakam


MALAYSIAKINI


Ibu seorang kanak-kanak lelaki yang mendakwa menjadi mangsa eksploitasi seks di sebuah sekolah tahfiz berhak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pentadbir institusi itu, maklum Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam, Prof Noor Aziah Mohd Awal dalam suatu kenyataan menyentuh laporan media mengenai insiden yang didakwa itu.

"Kanak-kanak yang menjadi mangsa jenayah yang seteruk ini harus mendapat keadilan sepenuhnya.

"Memandangkan kesalahan yang dituduh tersebut amat serius, Pesuruhjaya Kanak-Kanak percaya bahawa ibu kepada mangsa berhak sepenuhnya untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap sekolah tahfiz tersebut," kata Noor Aziah.

Ini selepas pendakwaan menggugurkan kes berkenaan walaupun mahkamah mengakui kesalahan telah dilakukan.

Dalam kenyataannya, Noor Aziah menggesa Peguam Negara Tommy Thomas supaya memberi penjelasan mengenai alasan di sebalik keputusan untuk menggugurkan tuduhan jenayah terhadap pelaku yang didakwa itu.

"Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia menggesa Peguam Negara untuk memberikan penjelasan segera keputusan menggugurkan tuduhan jenayah terhadap suspek dan menjelaskan asas tindakan sedemikian yang menggunakan budi bicara Peguam Negara di bawah Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan; dengan menggariskan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak," katanya lagi.

Hak kanak-kanak sama seperti orang dewasa

Noor Aziah menegaskan hak kanak-kanak perlu diiktiraf dan dilindungi di sisi undang-undang.

"Dalam usaha Malaysia membanteras eksploitasi seks kanak-kanak, Pesuruhjaya Kanak-Kanak menekankan bahawa kedaulatan undang-undang perlu dilaksanakan sepenuhnya kepada kanak-kanak sebagaimana ia dilaksanakan kepada orang dewasa kerana kanak-kanak mempunyai hak yang sama di bawah undang-undang," katanya.

Mahkamah Majistret Ipoh pada Isnin lalu dilaporkan menolak dakwaan penderaan seks terhadap seorang kanak-kanak di sebuah sekolah tahfiz di Manjoi, Ipoh, hanya dua bulan selepas mengakui bahawa suatu kesalahan telah berlaku.

Menurut laporan itu lagi, Majistret Mohammad Afifi Mohammad Deen membuat keputusan itu setelah mahkamah menerima surat daripada Pejabat Penasihat Undang-undang Negeri Perak.

Surat itu menyebut arahan dikatakan daripada peguam negara yang ditulis berdasarkan Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Peguam keluarga berkenaan, Asiah Abd Jalil, dipetik sebagai berkata peruntukan itu memberi kuasa kepada peguam negara menggunakan budi bicaranya untuk menghentikan apa-apa prosiding atas sesuatu kesalahan.

Pada Ogos 2016, seorang ibu telah membuat dua laporan polis mendakwa bahawa anak lelakinya yang berusia sembilan tahun bersama pelajar lain, secara konsisten telah didera secara seksual oleh pelajar senior di sebuah sekolah tahfiz.


Khamis, 12 September 2019

Suhakam sumbang idea khutbah perjelas isu hak asasi


   

Suhakam telah menyumbang idea dalam teks khutbah Jumaah dalam usaha meningkat kesedaran mengenai isu hak asasi manusia di kalangan umat Islam.

Menurut Pesuruhjaya Suhakam, Nik Salida Suhaila Nik Saleh agensi persekutuan itu telah bekerja sama dengan pihak berkuasa Islam dari Wilayah Persekutuan, Negeri Sembilan dan Pulau PInang dalam inisiatif yang sudah bermula sejak tahun lalu.

"Khutbah Jumaat tidak berada di bawah kerajaan persekutuan, ia bergantung kepada negeri sekiranya mereka mahu terima," jelasnya.

Bagaimanapun, Nik Salida berkata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia berharap dapat meluaskan kerja sama tersebut ke negeri-negeri lain.

"Apabila kamu melibatkan diri dengan jabatan agama negeri, Suhakam mendapati yang kami boleh menyediakan idea dan buah fikiran kepada pihak berkuasa Islam negeri untuk mereka menulis khutbah Jumaat berdasarkan isu-isu hak asasi manusia.

"Sebenarnya dalam khutbah Jumaat sebelum ini pun, sepuluh tahun dulu pun dah ada unsur-unsur hak asasi, cuma mereka tidak menamakannya sahaja dan mereka tidak menggunakan bahasa hak asasi.

"Dia tak guna perkataan kesaksamaan, tak guna diskriminasi, tak guna perkataan perlindungan wanita, jadi hal-hal sebegitu dalam hak asasi, kami perlukan bahasa yang tegas bagi menjelaskan idea betapa seriusnya (isu-isu) hak asasi manusia ini.

"Jadi itulah yang berlaku, sekarang apabila kita yang buat teks, kita gunakan bahasa hak asasi manusia lah," jelasnya.
Nik Salida berkata demikian ketika diminta menjelaskan kenyataan yang dibuatnya pada suatu majlis forum bersempena ulang tahun ke-20 Suhakam di ibu negara hari ini.

Beliau yang juga pensyarah kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) berkata teks yang dicadangkan Suhakam tidak wajib dibaca dan pihak berkuasa negeri boleh meletakkan di dalam khutbah sesuai budi bicara jabatan agama Islam negeri.

Nik Salida menjelaskan keperluan Suhakam untuk menjalin hubungan baik dengan pihak berkuasa Islam negeri.

Katanya, walaupun mereka berbeza pendapat dalam topik tertentu namun persefahaman kedua pihak perlu dicapai untuk mengurangkan sebarang salah faham antara satu sama lain.

Beliau juga menyokong usaha supaya dapat mencari titik persamaan mengenai isu-isu hak asasi manusia.

"Kita perlu faham hakikatnya dan apa yang berlaku, di dalam negara yang mana umat Islam adalah majoriti ini, kami ada berbagai isu-isu hak asasi manusia melibatkan orang Islam.

"Jadi tanpa sokongan mereka dan persefahaman daripada mereka sebagai agensi utama yang mengendalikan urusan umat Islam, saya fikir susah untuk Suhakam untuk bekerja bersendirian," jelasnya lagi.

Ahad, 1 September 2019

Suhakam gesa Putrajaya guna kaedah pelbagai dimensi ukur kemiskinan

Suhakam berkata, rancangan pembangunan akan datang perlu 
mengguna pakai Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI).
 
PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa Putrajaya menggunakan Indeks Kemiskinan Pelbagai Dimensi (MPI) untuk mengukur kemiskinan dalam rancangan pembangunan 5 tahun akan datang.

Dalam satu kenyataan hari ini, Suhakam berkata, kaedah sedia ada yang mengukur kemiskinan mutlak tidak mencerminkan realiti kos sara hidup di bandar dan luar bandar di seluruh negara.

Garis kemiskinan kebangsaan kini ditetapkan pada paras RM980 bagi satu isi rumah sebulan. Ini bermakna satu keluarga 4 orang hidup atas RM8 setiap orang sehari.

Suruhanjaya itu menambah, laporan oleh pelapor khas mengenai kemiskinan dan hak asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) Philip Alston bahawa “kadar kemiskinan sebenar” di Malaysia antara 15-20% adalah realistik.

“Dasar kerajaan untuk kumpulan B40 (B40) jelas menunukkan peralihan ke arah pelaksanaan MPI untuk Rancangan Malaysia ke-12 yang akan diselaraskan dengan inisiatif kemakmuran bersama merangkumi 3 dimensi, iaitu pemerkasaan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan pembinaan semula sosial.”

Ia berkata, penggunaan MPI dalam pelan pembangunan 5 tahun yang akan datang dapat mengukur intensiti kemiskinan dengan lebih tepat berdasarkan kekurangan dalam bidang pendidikan, kesihatan dan taraf hidup melalui skop bukan berasaskan pendapatan dan penggunaan.

“Pengukuran kemiskinan yang lebih tepat akan membolehkan pembuat dasar mengenal pasti dan menyasarkan program pembasmian kemiskinan kepada isi rumah, kumpulan dan individu yang memerlukan bantuan dan sokongan,” katanya.

Suhakam juga menyeru Putrajaya supaya melaksanakan pembasmian kemiskinan berasaskan program hak asasi manusia, termasuk standard hak asasi manusia dalam perancangan dasar.

Program sedemikian katanya, berupaya memberikan tumpuan kepada penjagaan kesihatan yang berpatutan, pekerjaan, pendidikan berkualiti dan pertumbuhan inklusif serta merapatkan jurang ketaksamaan.

“Terdapat banyak faktor yang memberi kesan ke atas individu atau kumpulan yang mengalami kemiskinan, dan dengan mengambil pendekatan yang pelbagai dimensi, program sedemikian akan menjadi lebih mampan dan berkesan.”

Minggu lalu, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata kerajaan akan mengkaji laporan Alston dan menyemak semula kaedah pengukuran kemiskinan jika perlu.

Sabtu, 20 April 2019

Undang-undang zalim: Suhakam terkejut PH patah balik


   

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) terkejut apabila pentadbiran PH memutuskan untuk tidak mengubah beberapa undang-undang zalim walaupun sebelum ini menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkajinya.

Pesuruhjaya Suhakam, Aishah Bidin yang juga anggota pasukan petugas khas berkenaan berkata demikian ketika pelancaran laporan tahunan suruhanjaya itu bagi tahun 2018, hari ini.

"Apa yang menarik pada tahun lepas, terdapat satu jawatankuasa pasukan petugas khas untuk mengkaji undang-undang keselamatan termasuk Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma), Akta Pencegahan Jenayah (Poca) dan Akta Pencegahan Keganasan (Pota) 2015 dan lain-lain lagi.

"Apa yang mengejutkan, sudah tentu, kami mempunyai banyak mesyuarat tetapi kemudiannya kami dapati hasilnya mereka tidak berniat mahu mengubah undang-undang ini.

"(Mereka cuma menggesa) moratorium bagi Akta Hasutan 1948," katanya.

Tidak lama selepas PH menang PRU14, Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin telah menubuhkan pasukan petugas khas untuk mengkaji semula senarai undang-undang zalim dan peruntukannya selaras dengan janji manifesto pilihan raya gabungan itu.

Walau bagaimanapun, beliau kemudian berkata Sosma dan Pota khususnya akan dikekalkan dengan beberapa pindaan, mengundang kritikan meluas NGO yang mahu undang-undang berkenaan dimansuhkan.

Tahun ini, Muhyiddin berkata undang-undang tersebut akan terus dikaji.

Isnin, 15 April 2019

Razali Ismail letak jawatan sebagai pengerusi SUHAKAM

Astro Awani
Razali Ismail letak jawatan sebagai pengerusi SUHAKAM
Tan Sri Razali Ismail yang memangku jawatan pengerusi sejak 2016 sepatutnya mengakhiri tempoh tugas selama tiga tahun pada 27 April. Foto Astro Awani/SHAHIR OMAR.
 

KUALA LUMPUR: Dua minggu sebelum tempoh tugasnya berakhir, Tan Sri Razali meletak jawatan sebagai Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).

Beliau yang memegang jawatan pengerusi sejak 2016 sepatutnya mengakhiri tempoh tugas selama tiga tahun pada 27 April.

Menurut beliau, surat meletak jawatan telah dihantar kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Jelas beliau kepada portal berita Malaysiakini, “Saya sudah tiga tahun (di SUHAKAM). Saya fikir telah melakukannya dengan baik dan sekarang mahu membuat lebih daripada advokasi.

“Hak asasi manusia adalah kerja advokasi dan memadailah selepas suatu tempoh. Ia tetap satu advokasi. Ia tidak membawa perubahan besar di peringkat lapangan,” kata Razali yang juga seorang bekas diplomat.

Menjawab kepada soalan mengapa beliau meletak jawatan dua minggu sebelum tamat tempoh tugasnya, beliau berkata ianya bagi memberi SUHAKAM lebih masa untuk bersedia menerima pengerusi baharu

Khamis, 4 April 2019

Dua individu hilang: Seksyen 14 D benarkan khabar angin jadi bukti – Suhakam

Nizam Zain
Datuk Mah Weng Kwai
Pesuruhjaya SUHAKAM, Datuk Mah Weng Kwai bercakap pada sidang media mengenai kehilangan Pastor Raymond dan Amri Che Mat di Menara TH Perdana, Kuala Lumpur. foto IQBAL BASRI,
 

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menegaskan, segala bukti kes kehilangan dua individu membabitkan pastor Raymond Koh dan aktivis sosial, Amri Che Mat terkandung dalam laporan hasil inkuiri awam badan itu sejak Oktober 2017.

Pesuruhjayanya, Datuk Mah Weng Kwai berkata, berdasarkan Seksyen 14 (D) Akta Suhakam 1999, membolehkan badan itu menggunakan khabar angin sebagai bukti dalam pendengaran awam itu.

“Saya tidak tahu Perdana Menteri membaca dua laporan kami apabila beliau membuat kenyataan. Saya akan katakan kepada sesiapa sahaja yang akan menyalahgunakannya, sila bacanya dan buat analisis.

“Kami cuba menyatakan bahawa semuanya (bukti) telah dinyatakan dengan kemungkinan berdasarkan bukti yang telah kami terima dan dibawa kepada kami yang digunakan sebelum siasatan.

“Saya fikir perlu ada penekanan kepada perkara ini, dan kami telah melakukan penemuan fakta yang mencukupi dan mencukupi untuk badan bertindak menyiasat semula kes itu,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Suhakam, di Menara TH, di sini, hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semalam yang meminta Suhakam mengemukakan bukti selepas membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas (SB) bertanggungjawab terhadap kehilangan paksa membabitkan pastor Raymond dan Amri.

Dr Mahathir berkata, kerajaan akan mengambil tindakan sewajarnya sekiranya hasil inkuiri awam itu mempunyai bukti cukup dan bukan sekadar khabar angin semata-mata.

Weng Kwai juga berkata, beliau memerlukan sedikit masa untuk menyerahkan laporan penuh hasil inkuiri kes kehilangan dua individu itu kepada kerajaan dan pihak berkuasa dalam masa terdekat.

“Setiap kali kita mempunyai inkuiri dalaman, jelas (bagaikan) tidak berguna kepada kita, jika ia hanya duduk di meja kita, ia perlu sampai kepada pihak berkuasa.

“Pastinya salinan akan diberikan kepada pejabat perdana menteri secara rasminya, ia perlu pergi ke pejabat Peguam Negara, Kementerian Dalam Negeri (KDN), polis dan agensi berkaitan lain,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Laporan penuh Suhakam kes kehilangan Amri, Koh

MALAYSIAKINI

   
INKUIRI SUHAKAM | Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) hari ini membentangkan laporan hasil 18 bulan inkuiri berhubung kes kehilangan individu.

Laporan itu membuat kesimpulan bahawa polis Cawangan Khas (SB) terlibat dalam kehilangan paksa membabitkan pastor Raymond Koh yang diculik pada 2017 dan dan Amri Che Mat yang hilang pada 2016.

Kesimpulan itu dibuat daripada inkuiri yang dijalankan terhadap kehilangan kedua-dua individu berkenaan.

Prosiding inkuiri berkenaan dipengerusikan pesuruhjaya Suhakam Mah Weng Kwai yang juga merupakan berkas hakim mahkamah rayuan.

Laporan penuh bagi kes Amri dan Koh boleh dibaca di bawah ini:

Amri Che Mat

Raymond Koh

 

Khamis, 28 Mac 2019

Kubur Wang Kelian: Suhakam persoal polis 'tangguh gali 4 bulan'


   
Polis telah menghantar pasukan forensiknya untuk menggali semula mayat di kubur di tapak perkhemahan pemerdagangan manusia di Wang Kelian pada Mei 2015, empat bulan selepas perkuburan beramai-ramai itu ditemui.

Ini merupakan antara penemuan laporan setebal 121 halaman yang disediakan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan NGO Fortify Rights berjudul "Dijual seperti Ikan", yang dilancarkan di Kuala Lumpur petang tadi.

Suhakam, dalam satu kenyataan pula berkata kelewatan tersebut boleh memberi kesan terhadap bukti yang dapat membantu siasatan polis.

“ Kelewatan menggali selama empat bulan melambatkan proses bedah siasat mengecewakan pakar forensik untuk mengenal pasti punca kematian,” kata suruhanjaya itu.

Laporan itu juga menggesa pihak berkuasa Malaysia supaya memastikan pihak yang bertanggungjawab supaya dijadapkan ke pengadilan selaras dengan undang-undang hak asasi manusia antarabangsa.

"Kalau mampu, Suhakam dan Fortify Rights juga mencadangkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk mengenalpasti individu-individu yang melakukan jenayah dan membawa mereka menghadapi tuduhan jenayah di Malaysia,” katanya lagi.

Pembunuhan beramai-ramai

RCI terhadap Wang Kelian diketuai bekas ketua hakim negara Arifin Zakaria, yang dijangka mendedahkan dapatannya pada Jun ini.

Pembunuhan beramai-ramai itu mendapat sorotan utama media pada tahun 2015 apabila polis menemukan 139 kubur, 106 mayat, dipercayai orang Rohingya, dan 29 kem tahanan pendatang haram di dalam hutan di Bukit Genting Perah dan Bukit Wang Burma, beberapa ratus meter dari sempadan Malaysia-Thailand di Wang Kelian.

Pihak berkuasa Malaysia hanya mendakwa empat orang asing yang dikaitkan dengan sindiket pemerdagangan manusia, manakala pihak berkuasa Thailand mendakwa 62 orang, termasuk sembilan penjawat awam.

"Pihak penguatkuasa Malaysia musnahkan kem pemerdagangan manusia selepas ia ditemui mengakibatkan kekurangan bukti membantu siasatan polis.

“Pihak penguatkuasa Malaysia juga mengarahkan pasukan forensik menggali kubur pemerdagangan manusia ini pada Mei 2015 hanya selepas empat bulan ia ditemui tanpa memberi sebab bagi kelewatan,” kata Suhakam.
Tambah suruhanjaya itu, pihak penguatkuasa juga tidak mendedahkan sebarang maklumat mengenai penemuan tapak perkuburan massa itu sehingga 25 Mei 2015.

"Kelewatan menggali selama empat bulan melambatkan proses bedah siasat mengecewakan pakat forensik untuk mengenal pasti punca kematian,” kata Suhakam.

Menurut laporan Suhakam setebal 121-halaman itu, kira-kira 170,000 Rohingya dan Bangladesh diseludupkan melalui sempadan Malaysia-Thailand, antara 2012 dan 2015.

Laporan itu berkata dalam tempoh itu, pemerdagang manusia berjaya meraih antara RM175 juta dan RM349 juta daripada aktiviti itu.

Ia juga mengandungi temuduga dengan lebih daripada 270 saksi, termasuk mangsa yang terselamat dari kem, pemerdagang manusia, penjawat awam dan lain-lain.

Hamba, pemuas nafsu

"Pedagang-pedagang haram ini terdiri daripada warga Myanmar, Thailand dan Malaysia mendera mangsa menggunakan paip, kayu besbol, tali pinggang, wayar, paku, diugut dan intimidasi. Setiap mangsa dipaksa bayar USD2,000 untuk dibebaskan.

“Kepada yang tidak mampu bayar tidak diberi makanan,minuman dan tempat berteduh mengakibatkan kematian, sakit dan kecederaan termasuk mangsa yang kurang upaya. Mangsa perempuan termasuk kanak-kanak perempuan juga secara sistematik dijual di Malaysia untuk niat kahwin dan selebihnya dijadikan hamba.

“Mungkin satu banyak, mungkin satu hari kurang. Tapi, setiap hari ada yang mati. Ada juga membunuh diri seperti terjun daripada bot selepas tidak tahan dengan seksaan, “ catat Suhakam.

Suruhanjaya itu juga berharap kerajaan baru akan dapat memberikan keadilan kepada mangsa orang Rohingya dan semua yang "terjejas dengan jenayah ini."

"Mangsa pemerdagangan manusia memberitahu cerita yang sama, pemerdagang manusia menemui mereka di kampung, menjanjikan peluang pekerjaan di Malaysia dan apabila mereka sampai ke atas bot, mangsa diseksa untuk diperas ugut.

“Adakalanya, mangsa dijual sebagai hamba dan juga hamba seks. Manakala, mangsa perempuan pula disimpan di bot mahupun kem pemerdagangan untuk dijadikan (pemuas) nafsu pedagang haram ini.

"Kami harap kerajaan baru Malaysia memperbetulkan yang salah dengan memberi keadilan dan kebertanggungjawaban kepada Rohingya dan semua mangsa yang terjejas dengan jenayah ini," kata laporan Suhakam itu lagi.


Isnin, 10 Disember 2018

UMMAH gesa kerajaan bubar SUHAKAM

NUR HASMIRA MOHAMAD

KUALA LUMPUR: Gerakan Pembela Ummah (UMMAH) menempelak Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM) yang berkeras akan terus menasihati kerajaan untuk meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD).
 
Pengerusi UMMAH, Aminuddin Yahya berkata, tindakan SUHAKAM itu adalah tidak rasional setelah setengah juta rakyat menzahirkan penolakan ICERD melalui Himpunan Aman Rakyat Bantah ICERD di Dataran Merdeka, Sabtu lalu.
 
"Sifat keras kepala dan niatnya yang bagi saya jahat dan sombong menyebabkan mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian, walaupun dalam perjumpaan SUHAKAM baru-baru ini kita difahamkan hanya 200 orang (hadir) dalam perjumpaannya," ujar beliau.
 
Aminuddin berkata demikian kepada media selepas selesai memberi keterangan kepada polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di sini, petang tadi berhubung laporan terdapat peserta melanggar Akta Himpunan Aman kerana membawa kanak-kanak.
 
Ujarnya, berikutan tindakan angkuh SUHAKAM itu mengharuskan kerajaan menilai semula berkenaan peranan pertubuhan tersebut.
 
"Kemungkinan perlu SUHAKAM ini dibubarkan. Apa makna SUHAKAM kalau niatnya untuk mengkucar-kacirkan negara, bertentangan dengan Perlembagaan.
 
"Adakah kita ini nak ikut Barat ataupun kita nak pastikan SUHAKAM ini sebenarnya memastikan kelestarian negara kita?
 
"Kalau SUHAKAM nak porak-perandakan kita punya Perlembagaan dan struktur masyarakat lebih baik kita tutup sahaja SUHAKAM ini," gesanya.
 
Beliau yang juga penganjur program himpunan Sabtu lalu mahu rakyat menilai siapa sebenarnya mahukan keamanan dan kebaikan untuk negara kerana masih terdapat badan berkepentingan tertentu merupakan proksi kepada Barat.

"Begitu juga ada parti politik yang membuat deklarasi di APC yang mengatakan sokongannya kepada ICERD ini, juga bagi saya satu sifat angkuh yang tidak sedar dan tidak faham kehendak rakyat," tegasnya. - HARAKAHDAILY


Suhakam kerja untuk rakyat Malaysia atau Barat?: Isma

Oleh Athirah Huda Zalhe

Kerajaan patut bubar Suruhanjaya Hak Asasi Manusia jika cadangan bercanggah dengan Perlembagaan dan keputusan pemerintah



BANGI – Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) mendesak kerajaan Pakatan Harapan (PH) mengkaji semula peranan dan objektif sebenar penubuhan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam).

Presiden Isma, sebuah pertubuhan Islam dan Melayu sederhana, Aminuddin Yahaya berkata, kerajaan juga patut membubarkan Suhakam, jika cadangan suruhanjaya itu bercanggah dengan Perlembagaan dan keputusan pemerintah.

Beliau berkata, pendirian Suhakam untuk terus menekan kerajaan meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Semua Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), menyerlahkan kesombongan dan keangkuhan suruhanjaya itu.

“Kesombongan ini menunjukkan bahawa mereka masih tidak boleh menerima suara rakyat, tetapi lebih kepada bertopengkan Barat.

“Pemikiran yang celaru seperti ini tidak sesuai untuk diletakkan di posisi yang menentukan polisi negara,” katanya yang juga Pengerusi Gerakan Pembela Ummah kepada Ismaweb.net, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail semalam, bahawa suruhanjaya itu akan terus menasihat kerajaan supaya meratifikasi ICERD, walaupun Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad memutuskan tidak menerima konvensyen itu.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, suruhanjaya itu hanya melihat kebaikan dari sudut pandangan Barat, tanpa mengambil kira pandangan majoriti umat Islam di negara ini.

“Walaupun Himpunan 812 Sabtu lalu dihadiri ratusan ribu, malah ada yang menganggarkan mencecah sejuta peserta, ia masih tidak diperduli oleh Suhakam.

“Jadi rakyat bertanya, adakah Suhakam ini bekerja untuk rakyat Malaysia atau untuk Barat? Mereka sepatutnya mengambil kira akan manfaat dan untung rugi kepada negara serta rakyat keseluruhannya, bukan semata-mata mengikut telunjuk Barat,” katanya.

Selasa, 4 September 2018

Suhakam gesa mansuh hukuman sebat dalam undang-undang sivil, syariah

MALAYSIAKINI

   

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) menggesa hukuman sebat dalam undang-undang sivil dan syariah dimansuhkan.

Ini susulan keputusan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu semalam menjatuhkan hukuman sebat ke atas dua wanita atas kesalahan melakukan hubungan sejenis.

"Suhakam menegaskan bahawa Deklarasi Universal Mengenai Hak Asasi Manusia, Perjanjian Antarabangsa Mengenai Hak Sivil dan Politik dan Konvensyen Menentang Penyeksaan melarang penyeksaan dan bentuk-bentuk lain yang 'kejam, tidak berperikemanusiaan atau merendahkan atau menghukum' dan ini termasuk hukuman rotan.

"Suhakam menyeru pemansuhan hukuman sedemikian dalam semua undang-undang, baik sivil dan syariah bagi mematuhi piawaian antarabangsa," kata Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail.

Razali berkata keputusan Mahkamah TInggi Syariah Terengganu itu "bukan sahaja kejam, tidak berperikemanusiaan dan menghina" malah dilaksanakan secara terbuka di hadapan media.

Beliau berkata hukuman itu bertujuan untuk memalukan dan menjatuhkan reputasi wanita berkenaan serta keluarga mereka.

"Walaupun Suhakam menyedari undang-undang memperuntukkan hukuman rotan, pengadilan harus dijalankan melalui budi bicara kehakiman, sesuai dengan prinsip belas kasihan, ehsan dan menjaga martabat manusia dalam Islam.

"Suhakam tidak menerima bahawa pilihan untuk menjatuhkan hukuman bertujuan untuk mendidik kerana masyarakat bertamadun, berbudaya, progresif dan sederhana tidak akan menjadikan ketakutan atau penghinaan sebagai kaedah untuk mendidik," katanya.

Razali juga menegaskan Semakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) terhadap Konvensyen Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita (CEDAW) mendapati berlaku diskriminasi terhadap wanita Muslim dalam penafsiran undang-undang syariah di Malaysia.

Beliau berkata ini akan menyebabkan wanita Islam tidak dapat memajukan diri mereka setanding dengan wanita daripada agama lain, walaupun diberikan jaminan perlembagaan.

"Walaupun mendapat kritikan antarabangsa, kerajaan dan parlimen tidak mengambil sebarang langkah ketara untuk perubahan.

"Suhakam memberi amaran kepada kerajaan bahawa mengabaikan kewajipan hak asasi antarabangsa di Malaysia dan tidak menegakkannya tidak akan membawa kemajuan dan kejayaan," katanya.


Jumaat, 10 Ogos 2018

Suhakam ingatkan PH jangan teruskan amalan lulus akta ala BN

 
Kumpulan hak asasi manusia itu berkata, tiada rundingan awam dalam membentangkan RUU baru seperti diumumkan menteri baru-baru ini.


Razali Ismail berkata, sebarang cadangan undang-undang perlu mencerminkan ciri-ciri Malaysia. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) memberi amaran kepada kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk mendengar pandangan rakyat dalam menggubal undang-undang, khasnya dalam pembentangan 3 rang undang-undang (RUU) berkaitan hubungan kaum.

Suhakam bimbang 3 RUU – Anti Diskriminasi, Suruhanjaya Harmoni dan Perdamaian serta Kebencian Agama dan Kaum – seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Mujahid Yusof Rawa yang akan dibentangkan Oktober ini, tidak melalui sebarang rundingan dengan orang ramai.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata kerajaan PH tidak menunjukkan sebarang langkah untuk menginstitusikan rangka kerja bagi penglibatan awam dalam menggubal undang-undang, walaupun mereka sudah menyuarakan komitmen terhadap keterbukaan dan ketelusan dalam tadbir urus berkesan.

Katanya, walaupun 3 undang-undang yang dicadangkan itu ialah pendekatan betul untuk menangani sentimen ekstremis, hanya ada sedikit maklumat mengenai kandungannya.

“Tidak diketahui sama ada undang-undang yang dicadangkan itu akan termasuk langkah aktif untuk menghapuskan punca diskriminasi di Malaysia, seperti diskriminasi kaum dalam sektor pendidikan.”

Razali mengingatkan PH terhadap janjinya untuk memperbaiki rekod hak asasi manusia di Malaysia dengan berkata, sebarang undang-undang yang dibentangkan tidak hanya mengambil kira maklum balas orang awam, tetapi turut mencerminkan “ciri-ciri negara yang akan membentuk rakyatnya dan pendirian mereka”.

“Suhakam berharap kerajaan baru tidak akan meneruskan amalan negatif lama yang mengabaikan keperluan bagi pihak berkepentingan dan rundingan awam dalam demokrasi, serta terburu-buru meluluskan undang-undang di Parlimen.”

Rabu, 11 Julai 2018

Suhakam kritik peletakan jawatan aktivis LGBT di KBS

 
Suruhanjaya hak asasi manusia berkata Kementerian Belia dan Sukan seharusnya menilai pegawai itu dari segi kemahiran, kelayakan dan keupayaan.


Aktivis LGBT Numan Afifi (Gambar Instagram)


KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) hari ini mengkritik Kementerian Belia dan Sukan (KBS) kerana memberi tekanan awam dan membiarkan seorang setiausaha akhbar sementara yang juga aktivis lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) meletak jawatan.

Pengerusi Suhakam, Tan Sri Razali Ismail berkata peletakan jawatan Numan Afifi yang disebabkan aktivisme LGBT atau orientasi seksualnya yang “sangat mengganggu”, padahal Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan memberikan kesamarataan untuk semua warganegara.

Numan yang meletak jawatan sebagai setiausaha akhbar Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Abdul Rahman pada 9 Julai berkata: “Kecaman dan ancaman hebat oleh ejen propaganda pembangkang menyebabkan mustahil untuk saya menjalankan amanah yang diberi. Justeru saya mengambil keputusan tidak bertugas secara rasmi di kementerian.

Razali berkata malangnya, kementerian terbabit tidak “tidak memegang prinsip” dalam perkara itu “apabila ia seharusnya menilai pegawai tersebut dari segi kemahiran, kelayakan dan keupayaan untuk menyumbang kepada kementerian dan negara kita”.
“Pegawai itu sebaliknya dianggap tidak layak bagi jawatan yang hanya berdasarkan orientasi seksualnya, yang merupakan ciri yang tidak relevan dengan prestasi kerja.”

Beliau berkata Suhakam bimbang perkara ini mungkin kes diskriminasi di tempat kerja yang “kelihatan akan berterusan di sektor awam dan swasta, dan mengakibatkan tiada jaminan pekerjaan untuk golongan LGBT, menjadikan mereka sukar untuk menyediakan diri dan tanggungan mereka”.

Razali berkata Suhakam juga menerima aduan daripada komuniti LGBT berhubung pelanggaran hak asasi manusia, termasuk gangguan dan layanan buruk, serangan seksual, dinafikan peluang pekerjaan dan pendidikan serta rawatan perubatan, malah diskriminasi di tempat kerja.

Katanya, beliau kesal “peninggalan masa lalu masih berlarutan dalam kalangan pemimpin baharu, termasuk yang masih muda dan berharap kerajaan baharu akan mencari jalan untuk meningkatkan rasa prihatin bagi melindungi komuniti yang paling mudah dianiaya itu dan memberi peluang kepada semua orang memegang prinsip persamaan tanpa diskriminasi”.

Pengguna media sosial, termasuk ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam, dan beberapa penceramah, mengkritik Syed Saddiq kerana melantik Numan yang dikaitkan dengan penganjuran “Iftar Gay” Jun lalu sebagai setiausaha akhbarnya.

Syed Saddiq kemudian berkata, sehingga kini belum ada seorang pun pegawai dilantik secara rasmi di kementerian sama ada sebagai setiausaha politik, setiausaha akhbar dan pegawai tugas khas.

Sementara itu, Numan memberitahu FMT yang beliau hanya membantu menteri itu berhubung hal media sehingga setiausaha akhbarnya dilantik dan Syed Saddiq sedang mencari calon sesuai untuk menyertai pasukannya.

Selasa, 3 Julai 2018

SUHAKAM mohon tiada penangguhan bagi hapus hukuman mati

THE MALAYSIAN TIMES



KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) berharap kerajaan tidak melengah-lengahkan lagi pemansuhan hukuman mati.

Pengerusi SUHAKAM, Tan Sri Razali Ismail berkata, bagaimanapun badan ini bersetuju agar Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamed membuat keputusan mengenai perkara ini tanpa campurtangan daripada pihak lain.

“Bagaimanapun, jika undi dijalankan ke atas rakyat, ramai daripada kita akan bersetuju agar hukuman mati itu dimansuhkan

“Kita perlu teruskan dan laksanakan pada tahun ini juga. Dan saya lihat tiada halangan berhubung perkara ini.

“Sudah tentu, ada banyak pihak akan mengkajinya dari pelbagai aspek. Walau bagaimana anda menguruskannya mengikut amalan, agama dan semuanya itu, bagi saya ia tetap urusan PM,” katanya pada persidangan akhbar selepas bengkel mengenai UNCAT dengan Komuniti Islam Malaysia di Grand Seasons Hotel, di sini hari ini.

Sementara itu, Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (MOHA), Datuk Seri Nadzri Siron berkata, hukuman mati ke atas 17 penghuni penjara telah ditangguhkan sementara menunggu kajian semula kerajaan mengenai hukuman berkenaan.

Keputusan mengenai perkara itu mungkin mengambil masa kerana Kabinet perlu mengkaji hasil kajian berkenaan.

Nadzri berkata, proses mengkaji semula hukuman itu akan dimulakan secepat mungkin kerana ia adalah arahan daripada kerajaan.

“Kajian semula itu akan melibatkan semua perundangan di mana hukuman mati itu termasuk kes-kes di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Senjata Api 1971,” katanya pada majlis yang sama.— Bernama

Isnin, 2 Julai 2018

Suhakam minta polis siasat ‘data lokasi’ isteri Amri, pegawai SB

 
Data lokasi itu bagi mengesahkan kebenaran cerita Norhayati Ariffin dan Sarjan Shamzaini Daud. 





KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) meminta polis menyiasat data lokasi Norhayati Ariffin, isteri kepada aktivis Perlis, Amri Che Mat dan Pegawai Cawangan Khas (SB), Sarjan Shamzaini Mohd Daud pada 12 Mei lalu, bagi menentukan kebenaran cerita mereka.

Pengerusi panel siasatan awam itu, Datuk Mah Weng Kwai, berkata demikian kepada pegawai penyiasat kes kehilangan aktivis Perlis itu, Inspektor Khor Yi Shuen ketika sesi inkuiri hari ini.

Pada 30 Mei lalu, ketika memberi keterangan, Norhayati berkata suaminya diambil sekumpulan pihak polis dari Bukit Aman.

Norhayati mendedahkan ada seorang sarjan bernama Shamzaini, bertemu dengannya pada jam 10.30 malam, 12 Mei lalu.
Katanya, Shamzaini memberitahu Amri diambil secara kasar dan dipukul, manakala cermin keretanya dipecahkan.

Bagaimanapun pada 31 Mei lalu, Ketua Polis Daerah Sentul, R Munusami memberitahu pada sesi inkuiri ini bahawa Shamzaini telah membuat laporan polis dengan mendakwa keterangan Norhayati sebagai tidak benar.

Munusami berkata, anggota polis itu sebaliknya menyatakan menemui isteri Amri pada malam itu untuk menyewa kedai milik keluarga suami wanita itu.

“Kamu (Khor) perlu memeriksa lokasi data. Perlu mengetahui mereka guna perkhidmatan mana melalui telefon yang digunakan Norhayati dan Sarjan Samzaini untuk mengesan di mana lokasi mereka pada 12 Mei lalu pada 10.30 malam,” kata Mah semasa sesi inkuiri kes kehilangam Amri di Ibu Pejabat Suhakam.

Siasat data lokasi Saiful Bahari

Mah juga meminta Khor untuk mengesan data lokasi pemilik Vios, Saiful Bahari yang sebelum ini dilihat meletakkan keretanya berdekatan rumah Amri.

Semasa sesi inkuiri Suhakam, Khor berkata hasil siasatan dan pemeriksaannya mendapati kereta Vios itu milik Saiful yang bekerja sebagai pembantu tadbir di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Kuala Lumpur.

Khor juga memaklumkan ada bertemu penyelia Saiful, iaitu Azizi yang pernah pernah melihat kereta itu di tempat letak kereta di Pulapol seminggu sebelum Amri hilang pada 24 November 2016.

Bagaimanapun, Khor tidak dapat memastikan sama ada dalam tempoh seminggu itu, Saiful ada menggunakan kereta itu atau tidak kerana mempunyai kenderaan lain, iaitu motosikal.

Khor juga berkata ketika disoal siasat, Saiful menafikan pergi ke Perlis pada hari Amri hilang.

Pada 21 Mac lalu, saksi ke-2, Vee Yak Ban Jong yang juga pemilik bengkel kereta mendakwa ternampak 3 kenderaan bergilir diletakkan di depan kedainya, 3 hari sebelum Amri hilang.

Bengkelnya terletak kira-kira 150m dari rumah Amri.

Beliau berkata, selama 3 hari berturut-turut sebelum Amri hilang, sebuah kereta Vios warna emas berada di depan kedainya antara jam 9 pagi hingga 12 malam.

Jumaat, 2 Mac 2018

Suhakam digesa siasat dakwaan dera dalam tahanan polis



Sivamalar-Genapathy
Sivamalar di ibu pejabat Suhakam meminta siasatan ke atas dakwaan seorang pemuda didera dalam tahanan polis.


PETALING JAYA: Wanita PKR hari ini menggesa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) menyiasat dakwaan seorang pemuda didera dalam tahanan polis di lokap Ibu Pejabat Polis Kuala Selangor November lepas.

Naib Ketua Wanita PKR Sivamalar Genapathy dalam kenyataan berkata Jayeendiran Kumaresan, 18, membuat aduan rasmi di Suhakam hari ini selepas 3 bulan menunggu tindakan polis.

Beliau berkata Jayeendiran dan bapanya, A Kumaresan, ditahan pada 7 November dan direman 8 hari dalam siasatan ke atas kes rompakan.

Jayeendiran mendakwa dia diseksa dan dipukul dengan paip getah selama lebih 1 jam oleh 2 anggota polis berpakaian biasa dalam tempoh reman itu.

Beliau berkata dia dipaksa membuat pengakuan salah selepas polis didakwa mengancam untuk memukul bapanya, kata Sivamalar.

Sivamalar berkata Jayeendiran mengadu kesakitan dan kehausan, selepas seorang pegawai menendangnya dan seorang lagi menuangkan air dari mangkuk tandas ke dalam lubang hidungnya.

Jayeendiran dan bapanya dibebaskan tanpa sebarang tuduhan, tetapi pemuda itu kini menghadapi trauma akibat pengalamannya, kata Sivamalar.

Pemuda itu membuat laporan polis pada 27 November tetapi tiada tindakan konkrit daripada Bukit Aman, kata Sivamalar.

Ketua Biro Guaman Wanita PKR itu berkata aduan ke Suhakam dibuat sehari selepas perdana menteri melancarkan Pelan Tindakan Hak Asasi Manusia Kebangsaan (NHRAP).

“Sekiranya perdana menteri benar-benar ikhlas, maka beliau mesti membuktikan komitmen beliau dengan segera menubuhkan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis, jika tidak terbukti ialah satu lagi janji kosong dan gimik pilihan raya.”

Khamis, 19 Oktober 2017

Saksi diberitahu 'penculikan' Pastor Koh mirip modus operasi polis

Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Seorang saksi pendengaran awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh mendakwa diberitahu oleh pegawai penyiasat bahawa apa yang berlaku terhadap Koh menyerupai modus operasi yang biasa dilakukan polis.
 
Saksi tersebut, Roeshan Celestine Gomez berkata perkara itu dimaklumkan seorang pegawai polis dari Balai Polis Kelana Jaya, Inspektor Ali Asra apabila dia membuat laporan polis berkenaan kejadian itu.
 
Ketika kejadian, Roeshan bersama seorang rakannya menaiki sebuah kereta menuju ke Kampung Tunku, Petaling Jaya dan secara tiba-tiba ternampak sebuah kereta Waja bewarna perak dikelilingi beberapa kenderaan SUV.
 
“Kami memberitahu kegusaran kami tentang kejadian itu dan minta polis menyiasat sama ada itu adalah kejadian penculikan. Namun dia (Ali) memberitahu tidak perlu risau kerana dia percaya kejadian itu menyerupai modus operasi polis,” katanya di hadapan tiga panel pendengaran awam, hari ini.
 
Roeshan kemudiannya berkata Ali memberi beberapa contoh berkenaan ‘modus operandi’ polis itu.
 
“Dia kata tindakan itu dilakukan ketika siang hari dan dengan pantas. Cara dia bercakap itu dengan cara santai, dengan berkata ada seseorang merakam video dan itu menggambarkan bagaimana operasi polis dilakukan,” ujarnya.
 
Pendengaran awam hari ini dipengerusikan oleh Pesuruhjaya Suhakam, Datuk Mah Weng Kwai.
 
Mah, ketika di awal pendengaran meminta saksi yang memberikan keterangan berdasarkan apa yang berlaku dan apa yang dilihat.
 
Dikatakan dalam pendengaran hari ini, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar juga akan dipanggil oleh panel siasatan awam Suhakam berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga aktivis lain esok.
 
Setakat hari ini lebih 15 individu sudah dipanggil dan suruhanjaya menemubual 35 orang, termasuk ahli keluarga empat yang hilang, polis dan pihak tertentu.
 
Suhakam sudah memanggil beberapa saksi mengikut peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), yang memberi kuasa kepadanya untuk menyoal saksi-saksi dalam kes yang disyaki melanggar hak asasi manusia.
 
Suruhanjaya juga boleh bertindak terhadap mereka yang gagal hadir selepas dipanggil di bawah Seksyen 174 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga sebulan dan denda tidak melebihi RM1,000, atau kedua-duanya.
 
Suhakam akan mengadakan siasatan awam mengenai kehilangan Pastor Koh, dan aktivis sosial Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmi dan isteri, Ruth.
 
 

Rabu, 18 Oktober 2017

Empat individu hilang: Suhakam panggil Khalid Abu Bakar esok

ANTARAPOS

Post Pic
 
KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Polis Negara, Khalid Abu Bakar dipanggil oleh panel siasatan awam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) berhubung kehilangan Pastor Raymond Koh dan tiga aktivis lain esok.
 
Pesuruhjaya Suhakam, Mah Weng Kwai, berkata Khalid sudah dimaklumkan mengenai surat itu minggu lalu.
 
"Kami telah menghantar surat itu, dan diberitahu dia menerimanya. Kami juga memanggil seorang pegawai daripada Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
 
"Sama ada mereka datang atau tidak, kita tidak tahu. Kesemua saksi adalah penting dan kami hanya tertarik untuk mengetahui kebenaran," katanya dipetik The Malaysian Insight.
 
Lebih 15 individu sudah dipanggil dan suruhanjaya menemubual 35 orang, termasuk ahli keluarga empat yang hilang, polis dan pihak tertentu.
 
Suhakam sudah memanggil beberapa saksi mengikut peruntukan di bawah Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia 1999 (Akta 597), yang memberi kuasa kepadanya untuk menyoal saksi-saksi dalam kes yang disyaki melanggar hak asasi manusia.
 
Suruhanjaya juga boleh bertindak terhadap mereka yang gagal hadir selepas dipanggil di bawah Seksyen 174 Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman penjara sehingga sebulan dan denda tidak melebihi RM1,000, atau kedua-duanya.
 
Suhakam akan mengadakan siasatan awam mengenai kehilangan Koh, dan aktivis sosial Amri Che Mat, Pastor Joshua Hilmi dan isteri, Ruth, bermula esok.
 
Koh, 62, hilang selepas diculik oleh sekumpulan lelaki pada 13 Februari manakala Amri, 44, dilaporkan hilang sejak tahun lepas.
 
Joshua dan isterinya kali terakhir dilihat oleh rakan-rakan pada November tahun lepas sebelum hilang tanpa sebarang kesan.
 
Siasatan itu akan dipengerusikan oleh Mah bersama Pesuruhjaya Dr Aishah Bidin yang juga profesor undang-undang Universiti Kebangsaan Malaysia dan Pesuruhjaya Dr Nik Salida Suhaila Nik Saleh, seorang profesor undang-undang di Universiti Sains Islam Malaysia.
 
Mah berkata siasatan awam adalah untuk mengetahui lebih banyak maklumat tentang apa yang berlaku kepada empat individu yang hilang.
 
"Kami telah mendengar pelbagai maklumat dalam media, apa yang dikatakan oleh keluarga dan apa yang dikatakan Khalid. Oleh itu, kami ingin memberi peluang kepada semua orang untuk datang dan memberitahu kami dengan tepat apa yang telah berlaku.
 
"Kami juga ingin bertanya sama ada siasatan polis mencukupi."
 
Beliau berkata Suhakam ingin menentukan sama ada ia adalah kes enforced disappearance, istilah menggambarkan penculikan yang mempunyai penglibatan pihak berkuasa.
 
"Sama ada ia melanggar undang-undang jenayah atau sivil dan hak asasi manusia. Ia mungkin tidak bersifat jenayah, tetapi disebabkan kecuaian.
 
"Sebagai contoh, bukti ada tetapi terlepas pandang atau tindakan tidak diambil dengan cepat. Justeru, kita perlu mengenal pasti orang atau agensi yang terlibat."
 
Mah berkata peguam mewakili keluarga Koh, Majlis Peguam dan polis akan berada dalam panel sebagai pemerhati.
 
"Jika mereka mahu bertanya, mereka perlu meminta kebenaran daripada panel. Kemudian kami akan membenarkan mereka bertanya soalan kepada saksi dan ia perlu relevan dengan isu ini. "
 
Beliau berkata dua penolong pegawai Suhakam akan menyoal saksi.
 
Mah berkata selepas siasatan itu, Suhakam akan menyediakan laporan dan mengemukakannya kepada pihak berkuasa.
 
"Laporan itu akan mengandungi penemuan siasatan dan cadangan. Ia juga akan menjadi sebahagian daripada rekod kami dan akan dikemukakan sebagai sebahagian daripada laporan tahunan kami ke Parlimen," katanya.
 
Siasatan itu dijangka berakhir pada 17 November.
 
 

Jumaat, 15 September 2017

Pihak bertanggungjawab aspek keselamatan mesti dipertanggungjawabkan

 
Suhakam juga berkata Kementerian Pendidikan mest mengawal selia semua sekolah bagi memastikan langkah keselamatan dilaksanakan.


razali-suhakam


PETALING JAYA: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) mahu pihak yang bertanggungjawab ke atas langkah keselamatan kebakaran di sekolah tahfiz yang terbakar di ibu negara semalam dipertanggungjawab di atas kejadian itu.

Pengerusi Tan Sri Razali Ismail berkata Kementerian Pendidikan harus memainkan peranan mengawal selia semula sekolah bagi memastikan pengurusan sekolah melaksanakan langkah keselamatan kebakaran dan risiko lain.

Beliau berkata murid-murid, serta para guru dan kakitangan sokongan, berhak belajar, mengajar dan bekerja dalam persekitaran yang selamat.

“Mereka ada hak untuk selamat dari kemalangan dan potensi bahaya,” katanya.

“Suhakam tidak boleh terima sekolah itu dibenarkan beroperasi tanpa mematuhi piawaian dan peraturan keselamatan dan kesihatan; termasuk pemeriksaan oleh bomba” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Suhakam berpandangan kod keselamatan kebakaran dan nyawa disediakan bagi mengelakkan kemalangan dan kecederaan dan untuk menyelamatkan nyawa; oleh itu, individu dan agensi bertanggungjawab mesti dipertanggungjawabkan kerana kegagalan memastukan kepatuhan dan keselamatan.”

Kebakaran yang berlaku pada awal pagi semalam di sekolah tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah meragut 21 nyawa pelajar dan 2 guru.

Bomba menyiasat kemungkinan perbuatan khianat, dan unit anjing pengesan menghidu kesan kimia sekitar kawasan itu dan sampel dihantar ke mahkamah untuk kajian.

Dilaporkan mangsa tidak dapat melepaskan diri melalui pintu bilik asrama kerana dihalang 2 silinder gas.

Razali berkata Kementerian Pendidikan perlu bertindak sebagai pihak berkuasa kawal selia dan memastikan sekolah mematuhi langkah keselamatan kebakaran dan nyawa, kod bangunan dan sijil untuk premis sekolah.

“Tragedi yang boleh dielakkan ini satu peringatan kepada kerajaan bahawa semua sekolah, termasuk sekolah agama, mesti dikawal selia oleh Kementerian Pendidikan bagi memastikan kepatuhan kepada prosedur penubuhan sekolah,” katanya.

Beliau berkata tidak dapat dipastikan sama ada sekolah kini perlu menjalani penilaian risiko untuk mengenal pasti aspek seperti pencegahan kebakaran untuk keselamatan pengguna, termasuk laluan kecemasan yang sesuai.