Jumaat, 9 Mac 2018
Sudah dilaksanakan! BN lawan balik manifesto PH
PETALING JAYA: Dari soal dana politik hingga Sabah dan Sarawak, penyokong Barisan Nasional (BN) melawan balik manifesto Pakatan Harapan (PH) yang dilancarkan semalam, dengan berkata hampir kesemua cadangan gabungan pembangkang itu sudah pun dilaksanakan oleh BN.
Satu kiriman Twitter beserta grafik menjawab manifesto itu diulang kirim oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini.
Kiriman itu mendakwa 19 daripada 24 perkara dalam manifesto PH sudah pun dilaksanakan.
“Yang baki 5 itu pun telah dijawab BN. Moga kita bijak memilih,” kata pengguna Twitter Mior Azlan.
Antara lain, Mior berkata ekonomi negara sudah pun menunjukkan daya tahan yang menerima pujian Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF).
Mengenai cadangan mengawal dana plitik, BN sudah pun mencadangkannya terlebih awal “tetapi ditolak pembangkang”.
“Pemimpin PPBM tidak mengisytiharkan pun harta mereka sewaktu dijemput oleh Invoke, jadi adakah mereka akan bersetuju dengan cadangan ini?” soalnya, merujuk badan kaji selidik diketuai Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli.
Mior turut berkata janji PH menyediakan sejuta pekerjaan yang berkualiti bukan sesuatu yang baru, dan sudah diwujudkan dengan pelbagai projek infrastruktur.
“PH akan menghapuskan peluang pekerjaan tersebut apabila mereka menghentikan segala projek infrastruktur ini.”
Kiriman Twitter itu berkata gesaan PH mengurangkan pekerja asing adalah kerana ia mahu rakyat Malaysia bekerja sebagai buruh kasar.
“Kos operasi perniagaan akan meningkat dedak kerana kekurangan pekerja untuk menggantikan tenaga buruh asing,” katanya, sambil mendakwa calon perdana menteri PH, Tun Dr Mahathir Mohamad juga membuat pusingan U mengenai gaji minima.
Antara lain, hujah BN mendakwa ia sudah pun membina rumah mampu milik dengan skim sewaan, sedangkan skim sama tidak ada di Pulau Pinang dan Selangor.
Ia juga mendakwa cadangan enghapuskan tol secara berperingkat sudah pun mula dilaksanakan pentadbiran sekarang di mana Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak memansuhkan 4 plaza tol awal tahun ini.
Cadangan pendirikan percuma peringkat universiti juga sudah dilaksanakan kerana pendidikan “disubsidi 95% percuma untuk pemegang ijazah pertama”.
Menurutnya, negara yang menawarkan pendidikan percuma mengenakan cukai tinggi untuk membiayai kos itu.
“Adakah PH ingin menaikkan cukai pendapatan?” soalnya.
Cadangan PH merombak institusi utama juga dipersoal, dengan menuduh gabungan itu masih belum merombak pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang dan Perbadanan Menteri Besar Selangor.
Di bawah BN pula, menurutnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan tegas membuat tangkapan termasuk yang melibatkan projek terowong Pulau Pinang dan pegawai tinggi Jabatan Air Sabah.
Jawapan BN juga mengkritik DAP yang mahu mengurangkan bilangan penjawat awam, kerana mereka bekerja di sektor pendidikan, kesihatan dan keselamatan “berbeza dengan sesetengah negara yang menswastakan perkhidmatan ini”.
“Tony Pua menggelarkan “penjawat awam” sebagai beban, malah mengatakan adalah lebih baik untik penjawat awam untuk dibayar sahaja.”
BN juga membalas cadangan PH menghapuskan hutang peneroka Felda, denga berkata rasionalisasi sudah pun dijalankan.
“Pinjaman tersebut adalah bantuan untuk peneroka, di mana pinjaman tersebut tidak mungkin akan diberi oleh mana-mana institusi kewangan.
“Namun, kerajaan telah mengurangkan peneroka dengan rasionalisasi pinjaman. Penghapusan hutang adalah tindakan populis dan tidak bertanggungjawab.”
Cadangan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk suri rumah sudah pun wujud di bawah Skim Simpanan Pesaraan 1Malaysia untuk rakyat tanpa pendapatan tetap, termasuk suri rumah.
Mengenai Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan cadangan PH melonggarkan syarat bayaran balik, BN berkata pengecualian bayaran sudah diberikan kepada mereka yang lulus dengan ijazah kelas pertama
Kuasa kerajaan Sabah dan Sarawak, yang disentuh dalam manifesto, turut dijawab. Menurutnya, Najib sudah bersetuju menyemak semula Perjanjian Malaysia 1963, dan Sarawak baru-baru ini diberi hak penuh ke atas hasil minyak dan gas.
Antara perkara dalam manifesto PH yang tidak disetujui BN ialah pemansuhan cukai barangan dan perkhidmatan (GST), subsidi minyak, Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi skandal 1MDB, Felda, Mara dan Tabung Haji, dan kajian semula projek mega terutama melibatkan negara luar.
“PH akan memusnahkan 2.2 juta pekerjaan yang akan wujud daripada projek infrastruktur ini,” katanya.
Manifesto PH, yang terkandung dalam “Buku Harapan” yang dilancarkan di Shah Alam semalam, menjanjikan 10 perkara, terutama meringankan beban rakyat, dalam masa 100 hari pertama pentadbiran.
“Matlamat PH ialah berganding bahu memacu reformasi berterusan untuk membentuk masa depan lebih baik untuk semua – maju, makmur dan bahagia – menerusi asas-asas seperti nilai bersama, budaya ilmu, kebebasan, kebenaran, keadilan sosial dan ekonomi, maruah, ketamadunan, keamanan, perpaduan, kemakmuran, demokrasi dan meritokrasi,” kata buku itu.
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan