Jumaat, 16 Mac 2018

Pintu rosak, penumpang terkandas sejam dalam tren KLIA Transit



Gambar Twitter


PUTRAJAYA: Sebuah tren KLIA Transit menuju ke KL Sentral mengalami kerosakan pintu dan penumpang terkandas kira-kira 1 jam di Stesen ERL Putrajaya/Cyberjaya hari ini.

Seorang penumpang yang mahu dikenali sebagai Noor, 33, berkata beliau berada dalam tren itu dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2) dan sampai ke Stesen ERL
Putrajaya/Cyberjaya kira-kira 7.50 pagi.

Bagaimanapun, menurutnya, tren itu tidak bergerak selepas 10 minit dan pengumuman dibuat memaklumkan kepada penumpang terdapat masalah teknikal pada tren itu.

“Semua penumpang menunggu di dalam tren. Ada menunggu di luar kerana tren itu sesak dan lembap.

“Kemudian kami dimaklumkan ada tren lain turut mengalami kerosakan. Penumpang tren berkenaan dipindahkan ke tren kami. Perkhidmatan disambung semula pada 8.45 pagi,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, KLIA Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) dalam satu kenyataan berkata tren KLIA Transit pada pukul 7.16 pagi menuju ke KL Sentral mengalami kerosakan pintu dan semua perkhidmatan dari stesen terminal dihentikan sementara.

Katanya ERL memulakan perkhidmatan gabungan untuk kedua-dua perkhidmatan KLIA Ekspres dan KLIA Transit bermula 9.00 pagi.

“Kedua-dua perkhidmatan menyambung semula operasi biasa mulai 9.30 pagi. Pelepasan pertama untuk KLIA Transit dari KL Sentral pada pukul 9.33 pagi dan 9.40 pagi untuk KLIA Ekspres.

“Dari klia2, perjalanan biasa untuk KLIA Ekspres adalah pada 9.35 pagi dan KLIA Transit pukul 9.48 pagi,” kata kenyataan itu.

ERL turut memohon maaf atas kesulitan yang berlaku itu.

Tiada ulasan: