Isnin, 19 Mac 2018

Menteri: Jho Low, Riza Aziz tak isytihar pendapatan di Malaysia

 
Menteri Kewangan II, Johari Abdul Ghani berkata, disebabkan itu LHDN tidak dapat mengenakan cukai ke atas mereka.
 
 
Gambar Facebook


KUALA LUMPUR: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) tidak dapat mengenakan cukai ke atas ahli perniagaan kontroversi, Low Taek Jho dan anak tiri perdana menteri, Riza Aziz kerana mereka tidak mengisytiharkan pendapatan di negara ini, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

“Mengikut fail cukai kita, tidak ada. Nama-nama ini tidak ada kerana mereka tidak isytihar pendapatan dalam negara. Kalau dia isytihar, kita akan kenakan cukai,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Johari menjawab soalan Lim Lip Eng (DAP-Segambut) yang ingin tahu sumber kewangan Low yang lebih dikenali sebagai Jho Low dan Riza yang didakwa tiada kaitan dengan 1MDB dan adakah siasatan dilakukan untuk mengenal pasti sumber kewangan mereka haram atau sebaliknya.

“Saya ada tanya mengenai sumber kewangan Jho Low, Riza Aziz yang dikatakan kerajaan Malaysia, harta mereka, perniagaan mereka tidak ada kaitan dengan 1MDB.

“Adakah pihak agensi ada siasat mengenai sumber kewangan mereka, sama ada sah atau sumber haram, serta ada bayar cukai atau tidak?” soal Lim.

Johari berkata, beliau tidak dapat menjawab soalan itu kerana ia bukan bidang kuasanya.

“Isu yang dibangkitkan ialah isu penyiasatan, saya tidak berada dalam kedudukan untuk beri jawapan kerana saya tidak berada dalam kedudukan penyiasatan.”

Johari bagaimanapun memberi jaminan LHDN akan mengambil tindakan terhadap syarikat atau individu yang mempunyai aset di negara ini, tetapi tidak membayar cukai.

“LHDN tidak kira siapa, selagi ada pendapatan di Malaysia, syarikat yang didaftar di Malaysia dan ada pendapatan, kalau tidak bayar, ‘income tax’ akan kejar anda.

“Kalau tidak dapat hari ini, mungkin esok, kalau tidak esok, hari berikutnya, kalau tidak tahun ini, tahun depan.

“Apa yang saya nak tekankan, tidak kira siapa perdana menteri atau menteri kewangan II, kalau ada pendapatan di Malaysia, anda akan dikenakan cukai.”

Tiada ulasan: