Isnin, 19 Mac 2018

Kanak-kanak Rohingya dikerah jadi pengemis

Nor Azlinda Abdullah

Mereka turut diajar paksa orang awam beri wang dengan cara tarik baju


KUALA LUMPUR – Terdapat modus operandi yang menjadikan kanak-kanak Rohingya peminta sedekah di sekitar Bukit Bintang dan Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Ketua Penolong Pengarah STAGG Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mohd Nadzri Hussain berkata, kegiatan itu dipercayai turut membabitkan penjaga kanak-kanak yang terlibat.

“Kanak-kanak Rohingya ini bukan sahaja mengemis, sebaliknya diajar untuk mendesak serta memaksa orang ramai termasuk pelancong untuk memberikan duit dengan cara menarik baju bagi meraih simpati.

“Setiap malam, mereka memperoleh sekitar RM80 hingga RM90,” katanya yang mengadakan operasi Skuad Taktikal Khas 3, Pasukan Tindakan Khas Antimaksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) Bukit Aman, di Bukit Bintang, malam tadi.

Dalam operasi berkenaan, pihaknya berjaya menyelamatkan tujuh kanak-kanak lelaki dan empat kanak-kanak perempuan warga Rohingya, berusia antara dua hingga 16 tahun.

Memetik Berita Harian katanya, 11 kanak-kanak itu dipercayai dikerah oleh penjaga mereka untuk meminta sedekah serta menjual tisu kepada orang ramai..

Beliau berkata, kegiatan itu dilakukan sejak tiga bulan lalu menerusi risikan bagi mengenal pasti aktiviti harian serta lokasi penginapan mereka.

“Modus operandi kumpulan peminta sedekah itu setiap hari adalah dengan menjual tisu dan surah yasin selain meminta derma. Jadi, kita telah bertindak berdasarkan maklumat yang kita kumpul untuk menahan mereka,” katanya.

Tiada ulasan: