Rabu, 14 Mac 2018

Himpunan protes kedua PPBM tunggu tindakan RoS

Oleh Muhammad Ridz Effandy Ibrahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Bekas pengasas PPBM, Kamarul Azman Habibur Rahman menunggu tindakan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) terhadap parti itu, sebelum mengadakan protes kali kedua bagi mendesak jabatan berkenaan.
 
Ujar beliau, RoS kini telah memberi masa selama 20 hari untuk PBBM menyerahkan segala dokumen selepas satu notis dikeluarkan mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966 kepada parti Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
 
"Kami akan berbincang mengenai tindakan selanjutnya, dan perlu menunggu keputusan RoS samada tindakan sewajarnya diambil ataupun tidak, jadi terpulang dengan keputusan atau tindakan seterusnya," katanya ketika dihubungi Antarapos.
 
Kamarul Azman juga menegaskan RoS supaya berlaku adil dan tegas dalam isu parti itu yang didakwa melanggar perlembagaannya.
 
Ujar beliau, RoS sepatutnya tidak perlu takut dengan tekanan yang diberikan Dr Mahathir dan perlu profesional dalam menjalankan tugas mereka.
 
"Perlu ambil tindakan sebab RoS dinilai dengan tindakan yang diambil.
 
"Lupakan apa sahaja tekanan yang diberikan PBBM ke atas RoS, tidak perlu layan dan tidak perlu takut dengan mereka ini. RoS sepatutnya menjadi institusi yang mengamalkan keadilan kepada semua pihak," ujarnya.
 
Katanya, tindakan PPBM yang menuduh RoS ini sebagai agen kerajaan yang mahu memenangkan Umno-Barisan Nasional (BN) adalah sekadar mahu mengaburi mata rakyat.
 
"Lupakanlah tekanan daripada PBBM, itu adalah perangai PBBM, sering menyalahkan pihak lain apabila kesalahan itu dilakukan sendiri.
 
"Hari ini pula , PRU hampir tiba parti PBBM dan pemimpinnya akan menyalahkan dan melabel RoS menyebelahi Umno dan sebenarnya ini merupakan strategi lapuk demi mengaburi mata pengundi," tegasnya.
 
RoS sehingga kini belum mengiktiraf AGM PPBM yang diadakan 30 Disember tahun lalu, berikutan mendapat lebih 400 aduan daripada ahli parti itu yang yakin mesyuarat tahunan itu tidak sah.
 
PBBM sebelum ini sudah menubuhkan satu pasukan untuk menyediakan semua dokumen yang diperlukan RoS bagi membolehkan badan itu menyegerakan siasatan sekali gus mengiktiraf mesyuarat agung tahunan (AGM) partinya.
 
Parti tajaan Dr Mahathir itu kini berdepan risiko untuk dibubarkan selepas RoS mengemukakan notis mengikut Seksyen 14 (2) Akta Pertubuhan 1966.
 
 

Tiada ulasan: