Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohammad Azhar
SHAH ALAM: Tindakan Tun Dr Mahathir Mohamad menggelarkan 'sampah'
kepada mereka yang meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM)
dikritik bekas setiausaha parti itu, Kamarulazman Habibur Rahman.
Dr Mahathir dipercayai berkata demikian dalam satu ceramah bersama penyokongnya di Bukit Merah, Perak pada 22 September lalu.
"Ketika berceramah di Bukit Merah, Perak, Tun Mahathir dengan sinis
menyindir mereka yang meninggalkan PPBM sebagai 'sampah'. Mungkin di
Malaysia hanya Tun Mahathir sahaja yang layak menggelar orang lain
sampah kerana beliau beranggapan bahawa beliau adalah insan terpilih dan
tidak pernah berbuat salah.
"Namun saya tidak terkejut dengan kenyataan itu kerana pasti ketika
seseorang itu mencecah usia 92 tahun, kewarasan bukanlah menjadi teman
24 jam sehari," sindir Kamarulazman dalam kenyataannya pada hari ini.
Kamarulazman merupakan pemimpin pertama PPBM yang mengumumkan keluar
parti pada April lalu selepas mendakwa parti berkenaan dipenuhi amalan
kronisme, pihak yang gila jawatan malah hala tuju perjuangan yang kabur.
Selepas beberapa pemimpin sayap dan ahli-ahli di peringkat negeri turut
meninggalkan parti, PPBM juga menerima tamparan dengan ketiadaan Datuk
Ezam Mohd Noor, dan paling terbaru membabitkan Anina Saaduddin dan Datuk
Hamidah Othman.
Kamarulazman kemudiannya bertanyakan Dr Mahathir apakah perjuangan PPBM
kini masih di landasan sebenar sedangkan ia sudah tersasar jauh demi
kepentingan sesetengah individu sahaja.
"Saya juga tidak pasti siapa atau apakah sebenarnya sampah di dalam
PPBM itu sendiri. Benarkah yang keluar itu sampah atau yang tinggal itu
sampah?
"Atau adakah perjuangan itu adalah sampah sebenarnya. Mana tidaknya,
perjuangan sebenar PPBM adalah untuk menjatuhkan sebuah kerajaan yang
sah mengikut perlembangaan dan ini banyak memecah belahkan bangsa.
Bukankah perjuangan PPBM mempunyai muslihat meletakkan seorang 'anak
emas' yang tidak mempunyai kebolehan di 'takhta impian' ketika matahari
semakin hampir melabuhkan tirainya?," ujarnya.
Timbalan Presiden PPBM, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, dirujuk sebagai
'anak emas' yang mana perjuangan PPBM ini diadakan demi memenuhi
cita-cita Dr Mahathir.
Kamarulazman juga mempersoal apakah gelaran 'sampah' itu juga layak
diberikan kepada Pengerusi PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang dilihat
tiada kredibiliti memimpin parti apatah lagi hanya menuruti kehendak Dr
Mahathir.
"Atau adakah presiden itu sampah sebenarnya kerana memegang jawatan
tetapi tidak punya kuasa kerana takut dinyahkan oleh pemimpin senja?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan