Oleh Zeanaaima Md Yusuf
PETALING JAYA: 'Satu hari Hasbullah Awang panggil saya', cerita
pengulas sukan Astro Arena, Hafizal Hamad ketika ditanya bagaimana
kerjayanya bermula lebih kurang 15 tahun lalu.
Hafizal, 38, adalah anak didik kepada pengulas sukan tersohor,
Allahyarham Haji Hasbullah Awang, memulakan kariernya dalam bidang
penyiaran pada 2003 di Radio Televisyen Malaysia (RTM).
"Bila praktikal di RTM, saya jumpa Hasbullah Awang dan Zainal Abidin
Rawop. Setiap kali nampak Hasbullah, saya akan (buat suara pengulas
sukan) 'nampaknya Hasbullah Awang sudah tiba'.
"Lama kelamaan Hasbullah tengok saya. Satu hari dia tanya saya, 'Zal,
abang nak tanya, kau betul-betul minat ke (jadi pengulas sukan) atau kau
main-main?
"Saya jawab, 'saya minat abang'. Dia kata 'kalau minat, ini
syarat-syarat dia'. Hasbullah suruh saya pergi ujibakat dan saya dapat.
Saya seronoklah nak masuk tv, semua orang kampung boleh tengok. Rupanya
tidak. Setahun saya kena kerja belakang tabir, sebelum boleh muncul di
kaca tv," ujarnya dalam satu temubual eksklusif bersama Antarapos.
Hafizal
adalah pengulas sukan Astro Arena. Bakat dan kepetahannya berbicara
begitu menonjol ketika kejohanan Sukan Sea Kuala Lumpur 2017 yang
melabuhkan tirai 30 Ogos lalu.
Bapa kepada dua orang anak itu begitu meminati kerjayanya sebagai
pengulas sukan dan terbukti apabila beliau beberapa kali dilihat sebak
ketika menjalankan tugasnya - meraikan atlet yang berjaya meraih pingat
untuk negara.
Hafizal yang pernah dianugerahkan Pengulas Sukan Terbaik Seri Angkasa
2011 menceritakan kembali perjalanannya menjadi anak didik Hasbullah.
"Hasbullah kata saya kena ikut dia setahun untuk belajar (selok belok
dunia penyiaran sukan). Dalam tempoh setahun, kalau tak boleh ikut, kami
boleh bercerai.
"Dalam masa setahun saya buat skrip, nota untuk dia, kena tarik wayar
kamera. Pendek kata macam-macamlah. Daripada saya tak tahu apa-apa dalam
bidang penyiaran, hingga saya tahu," katanya.
Pernah Hafizal merasa putus asa dan terfikir untuk berhenti daripada
menuntut ilmu daripada Hasbullah namun isteri dan bapanya terus
memberikannya semangat untuk bertahan.
Ujar Hafizal hingga kini beliau tidak percaya dirinya terpilih untuk menjadi anak didik kepada Hasbullah.
"Nama Hasbullah Awang macam tak boleh dipisahkan dengan saya. Ketika
beliau meninggal dunia, sebulan saya tak boleh nak buat apa. Saya rasa
hidup saya tak bermakna," sambil air matanya bergenang ditubir matanya.
Hafizal menarik nafas yang dalam sebelum menyambung "Hasbullah wasiatkan saya semua buku nota dia"
"Arwah pernah pesan kepada isterinya agar semua buku-bukunya diberikan
kepada saya. Satu masa Arkib Negara hubungi saya untuk dapatkan
buku-buku itu.
"Saya cakap satu sahaja, buku ini bukan milik saya. Satu hari nanti
bila saya sudah tidak pakai buku ini, saya akan beri pada pelapis saya
nanti," katanya tenang.
Ditanya apakah yang tercatit didalam buku itu, Hafizal berkata semua
info serta peraturan sukan yang perlu diketahui pengulas sukan ada
didalamnya.
"Cakap nak sukan apa? Silat? Semua peraturan sukan silat ada daripada A
hingga Z. Dan bukan cetakan komputer tapi seratus-peratus tulisan
tangan arwah," cerita Hafizal.
Hasbullah, 63 dilaporkan meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) dipercayai akibat komplikasi jantung.
Allahyarham merupakan antara pengulas sukan terbaik yang pernah
dilahirkan negara sebaris nama-nama besar lain seperti Datuk Rahim
Razali.
Allahyarham mempunyai aura tersendiri dengan intonasi suara yang
menarik yang begitu mencuit hati pendengar ulasan sukan daripada
beliau.
Allahyarham yang dilahirkan 9 September 1952 di Teluk Intan, Perak,
memulakan tugas sebagai juruhebah radio di Radio 1 RTM selain pernah
menjadi pembantu mengendalikan program khas radio untuk kanak-kanak
bersama Kak Yong.
Populariti Allahyarham memuncak ketika zaman bola sepak Malaysia memasuki era Semi-Pro pada awal 1990-an.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan