BAGAN DATUK: Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, kerajaan
Malaysia akan menyumbang bantuan makanan dan peralatan bernilai RM4 juta
bagi membantu pelarian Rohingya di sempadan Bangladesh.
Timbalan Perdana Menteri berkata, bantuan itu akan dihantar melalui
misi bantuan kemanusiaan hasil sumbangan kerajaan yang dibantu beberapa
syarikat penerbangan untuk menghantar bekalan berkenaan.
"Esok satu sumbangan kemanusiaan yang akan membawa barangan dan
peralatan bernilai RM4 juta untuk diagihkan kepada mangsa (pelarian
Rohingya) yang telah dihalau dari bumi mereka dan berada di sempadan
Bangladesh.
"Atas dasar itu Malaysia mendapat penajaan dari beberapa syarikat
penerbangan bagi membawa bantuan itu untuk membantu pelarian Rohingya,"
katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Kenduri Rakyat dan
Bantuan Kepada Fakir Miskin dan Asnaf Sempena Merdeka Ride Persatuan
Superbike Malaysia (SAM) di Dewan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan
Kampung (JKKK), Hutan Melintang, dekat sini malam tadi.
Pada majlis itu seramai 20 fakir miskin menerima bantuan. Hadir sama, Pegawai Daerah Bagan Datuk, Datuk Hamzah Husin.
Pada majlis itu Ahmad Zahid turut meraikan tiga pasangan pengantin dan turut bersama-sama mereka dalam majlis makan beradab.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Eksekutif SAM berkata, penunggang
motosikal berkuasa besar di negara ini mahupun dari negara jiran yang
boleh melakukan pelbagai kegiatan permotoran dengan bebas harus
mengambil iktibar atas apa yang berlaku di Myanmar.
Beliau yang dipetik BH Online berkata, situasi di Myanmar sangat
berbeza dan dalam aspek kemanusiaan dokongan perlu diberikan atas negara
yang diwakili.
"Kita berada dalam situasi aman dan harus bersyukur di tempat kita keamanan sentiasa dirasai.
"Jangan lupa orang Rohingya yang dinafikan hak untuk menyabung nyawa
dan malam ini himpunan solidariti bikers (penunggang motosikal berkuasa
tinggi) bukan hanya di Bagan Datuk," katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan