Khamis, 7 September 2017

Pemuda Umno, NGO demo esok bantah kekejaman etnik Rohingya

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno bersama parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) serta beberapa NGO lain hari ini mendesak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mengadakan satu sidang khas tergempar berkenaan krisis kemanusiaan etnik Rohingya. 
 
Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata sehubungan itu satu demonstrasi bantahan atas semangat solidariti akan diadakan esok di hadapan Wisma PBB dan pejabat Kedutaan Myanmar. 
 
Ujarnya, satu memorandum rasmi turut akan diserahkan kepada PBB bagi mendesak kekejaman ke atas etnik minoriti itu dihentikan.
 
“Kami sebulat suara terus mengecam tindakan genosid dan tidak berperikemanusiaan oleh pihak dan institusi berkuasa ke atas etnik Rohingya di wilayah Rakhine yang bertambah buruk sejak dua minggu lalu.
 
"Kami akan minta supaya campur tangan lebih berkesan dan dipertimbangkan supaya tidak gagal lagi. Dah berapa kali semua ini. Mereka diserang, dirogol dan dibakar hidup-hidup. Kita suarakan sekali lagi langkah diplomasi melalui PBB," katanya dalam sidang media tergempar berkenaan isu tersebut di PWTC, hari ini. 
 
Khairy turut menyatakan sokongan terhadap gesaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang mahu campur tangan PPB dalam menangani isu tersebut. 
 
"Kami menyokong gesaan Perdana Menteri agar Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres supaya mencari pendekatan terbaik bagi menyelesaikan konflik berdarah ini secara keseluruhan.
 
"Oleh itu, kami sekali lagi menegaskan bahawa penyelesaian jangka panjang perlu dirancang dan dilaksanakan serta-merta, bermula dengan sidang media tergempar PBB.” kata Khairy.
 
Dalam sidang media yang sama, Pengerusi Gabungan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos mendakwa DAP 'menghalang' ahli parti Pakatan Harapan (PH) menyertai himpunan bantahan yang akan diadakan esok. 
 
"Saya dihubungi oleh rakan PKR, BERSATU (PPBM) dari sebelah sana nak bersama sekali tapi dihalang oleh DAP. Saya tak tahu kenapa Pakatan Harapan (PH) tak benarkan PKR, PPBM untuk bersama kami menunjukkan solidariti. Tunjuk dukacita terhadap penindasan terhadap kekerasan Myanmar terhadap Rohingya.
 
"DAP ini kita sedia maklum, yang dibunuh, dianiaya, dibakar hidup-hidup adalah seagama Islam dengan kami ini kemungkinan mereka halang parti gabungan mereka nak bersama kami. Patutnya ini bukan soal parti, marilah rakyat Malaysia bersama-sama tunjuk protes apa yang dilakukan oleh kerajaan Myanmar," tambahnya.
 
Mesyuarat tergempar sayap pemuda Umno yang disertai parti-parti komponen BN, dan beberapa NGO lain diadakan selepas krisis tersebut sampai kemuncaknya 25 Ogos lalu apabila lebih 400 rumah dibakar serta ratusan rakyat etnik itu dibunuh dan dibakar.
 
 

Tiada ulasan: