Khamis, 7 September 2017

Perbicaraan kes cabul, rogol lima sekeluarga ditetapkan pada November

ANTARAPOS.COM

Post Pic
 
 
LIMBANG: Mahkamah Majistret menetapkan 20 hingga 24 November ini untuk perbicaraan kes cabul dan rogol lima sekeluarga terhadap seorang kanak-kanak yang juga ahli keluarga mereka.  
 
Majistret Mohd Hafizi Abdul Halim menetapkan tarikh itu untuk serahan dokumen selepas semua tertuduh mengaku tidak bersalah dan memohon untuk dibicarakan, lapor Berita Harian. 
 
Terdahulu, lima lelaki itu dituduh merogol dan mencabul kehormatan mangsa yang berusia 12 tahun antara Jun hingga November tahun lalu.
 
Mereka terdiri daripada datuk mangsa berusia 72 tahun, ayah mangsa berusia 40 tahun dan tiga sepupu mangsa berusia antara 16 hingga 21 tahun.
 
Bapa mangsa dituduh merogol mangsa sebanyak empat kali, manakala tertuduh kedua dan ketiga yang juga sepupu mangsa, masing-masing dituduh merogol mangsa sebanyak tiga kali dan empat kali.
 
Tertuduh kelima iaitu datuk mangsa, dituduh mencabul kehormatan mangsa sebanyak enam kali, manakala seorang lagi sepupu mangsa dituduh mencabul kehormatan mangsa empat kali. 
 
Mengikut kertas pertuduhan, semua mereka dituduh merogol dan mencabul kehormatan mangsa di beberapa kawasan berasingan di sebuah kampung di daerah ini antara penghujung November 2016 hingga Jun lalu.
 
Semua mereka dituduh mengikut Seksyen 376B, Seksyen 376 (1) Kanun Keseksaan , Seksyen 354 Kanun Keseksaan dan Seksyen 377C, Kanun Keseksaan.
 
 

Tiada ulasan: