SHAH ALAM: Pembentangan Akta Sumbangan dan Perbelanjaan Politik (PDEA)
perlu dipercepatkan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), demikian
menurut Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.
Ujarnya, ia bagi mengekang politik wang serta derma asing dalam pilihan raya umum akan datang.
"(Ia) supaya amalan politik wang dan budaya rasuah dapat dikawal untuk mengelakkan insiden pembelian undi.
"Ia juga dapat mengelakkan peristiwa seperti dana derma berbilion
ringgit daripada negara luar dapat disalurkan tanpa dikesan sehingga ia
terbongkar di ruangan awam," kata dalam satu kenyataan.
Reaksi itu menyusul selepas Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk
Paul Low Seng Kuan berkata akta berkenaan tidak akan dibentangkan di
parlimen sebelum PRU14.
Menurut Paul, jawatankuasa teknikal mengenai perkara itu sedang dalam proses menggubal akta baru itu.
Bagaimanapun ulas Tuan Ibrahim, akta itu sepatutnya dibentangkan di Parlimen pada sidang berikutnya Oktober ini.
"Sepatutnya segala kajian dan cadangan mengenai akta ini sudahpun
selesai. Apakah yang sedang menyebabkan kelewatan ini?" soal beliau
lagi.
RUU PDEA ialah salah satu daripada 32 syor yang dicadangkan Jawatankuasa Perundingan Kebangsaan Bagi Pembiayaan Politik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan