KUALA LUMPUR: Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak
mahu parti komponen, MIC menyenaraikan calon yang boleh menang,
berkredibiliti dan berkualiti, serta diterima oleh semua kaum, pada
Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Ujarnya, prasyarat itu adalah berdasarkan kepada realiti di mana tidak
ada satu kawasan pun mempunyai majoriti pengundi masyarakat India.
“Saya mahu MIC sediakan calon-calon yang winnable (boleh menang) dan
credible (berkredibiliti). Calon itu mesti diterima oleh semua kaum.
Kalau MIC mahu menang, ia juga bergantung kepada sokongan kaum lain
juga. Tolong beri saya pemimpin yang bagus dan berkredibiliti.
“Di sesetengah tempat, contohnya kawasan parlimen Teluk Kemang,
pengundi bukan (sahaja) terdiri daripada anggota parti tetapi (juga)
merupakan anggota tentera. Jadi, MIC perlu diterima oleh semua kaum dan
bukan hanya golongan India,” katanya ketika berucap merasmikan
Perhimpunan Agung MIC ke-71 di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini.
Dalam pada itu, Najib menyuarakan keyakinannya bahawa MIC kini dalam keadaan yang semakin kukuh.
Beliau berkata, ia berdasarkan semangat yang ditunjukkan oleh 4,000
anggota MIC termasuk 1,500 perwakilan pada perhimpunan kali ini.
“MIC sedang melakukan proses perubahan dengan mengikuti langkah yang
dimulakan oleh Umno yang mana bakal presiden MIC akan dipilih oleh
42,000 perwakilan dan bukannya 4,000 ketua cawangan seperti dulu,”
katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan