Memaparkan catatan dengan label MAHKAMAH - Anwar. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label MAHKAMAH - Anwar. Papar semua catatan

Rabu, 27 Februari 2019

Keputusan pindah kes saman Anwar ke Mahkamah Persekutuan ditetap 14 Mac

MALAYSIAKINI
 


KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Mac untuk memutuskan sama ada ia akan mendengar saman pemula yang difailkan oleh Anggota Parlimen Port Dickson Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengisytiharkan bahawa Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) 2016 melanggar perlembagaan, atau memindahkan kes itu ke Mahkamah Persekutuan.

Hakim Datuk Nordin Hassan berkata beliau akan meneliti persoalan undang-undang untuk mengkaji perkara itu dan mempertimbangkan sama ada perkara itu perlu dikembalikan ke Mahkamah Persekutuian untuk mendengarnya atau kekal di Mahkamah Tinggi.

Terdahulu, peguam Datuk Seri Gopal Sri Ram yang mewakili Anwar yang juga Presiden PKR berkata pemohon memohon untuk memindahkan kes ke Mahkamah Persekutuan untuk membuat keputusan mengenai persoalan perlembagaan.

Isnin, 10 September 2018

Tun Mahathir desak Najib lantik saya: Shafee


Shafee
Shafee - Foto mStar

 
KUALA LUMPUR - Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad didakwa telah mendesak bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak agar melantik Tan Sri Shafee Abdullah sebagai pendakwa raya khas dalam perbicaraan kes liwat, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Shafee dalam satu kenyataan hari ini mendakwa, Najib sebenarnya tidak begitu berminat dengan idea pelantikannya itu.

“Sebab beliau (Najib) mahu jaga hati Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Gani Patail. Malah beliau paling keberatan.

“Tapi Tun Mahathir beria mahu saya dilantik sebagai pendakwa raya khas dalam kes Anwar sebab beliau (Tun Mahathir) tidak yakin Pejabat Peguam Negara boleh menang.

“Mungkin sebab mereka telah kalah dalam kes liwat II di Mahkamah Tinggi sebelum itu. Mereka juga kalah sebelumnya di mahkamah Persekutuan dalam kes liwat I,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut Shafee lagi, beliau telah dipanggil ke Yayasan Perdana di Putrajaya pada tahun 2013 untuk bertemu dengan Mahathir.

“Tun Mahathir beritahu saya sendiri Najib baru meninggalkan Yayasan Perdana selepas beliau berjaya memujuk Najib agar meyakinkan Peguam Negara melantik saya. Bagi kes itu.

“Matthias Chang (bekas setiausaha politik Tun Mahathir) kata pada saya, pelantikan saya ini salah satu daripada enam permintaan Tun Mahathir kepada Najib, kalau tak beliau akan menentang N
ajib,” katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: Hakim terlibat jatuh hukum dakwaan liwat boleh tidur lena]

Pendedahan Shafee ini sebagai menafikan maklumat baharu daripada Pejabat Peguam Negara yang mendakwa beliau menerima RM9.5 juta daripada Najib sebelum perbicaraan kes liwat tersebut.

Kelmarin, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa sudah menerima afidavit mengesahkan dakwaan pembayaran dibuat kepada Shafee yang ditandatangani oleh pegawai Jabatan Peguam Negara.

Katanya, pelantikan seorang pendakwa raya bukanlah amalan biasa bagi Peguam Negara dan lebih ganjil lagi yang dilantik itu seorang kenalan rapat Najib.

Kata Anwar lagi, apabila Shafee menerima RM 9.5 juta dari akaun peribadi Najib sewaktu beliau bertugas sebagai pendakwa raya dalam rayuan kes, ia menghancurkan kredibilitinya sebagai seorang ejen Jabatan Peguam Negara yang tidak berat sebelah.

Ahad, 26 Ogos 2018

Anwar tiada hasrat hukum hakim, tapi mahu Shafee diadili

 
   

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan membawa hakim yang pernah menghukumnya ke penjara dibawa ke muka pengadilan, tetapi mahu dakwaan ketidakadilan dalam kes Liwat II ditangani.

Beliau mengulas gesaan peguam SN Nair agar diadakan inkuiri terhadap tiga sabitan terhadap Anwar sebelum ini - satu untuk salah guna kuasa dan dua untuk liwat.

Nair berkata, oleh kerana Anwar menerima pengampunan Yang di-Pertuan Agong atas sebab ketidakadilan ketara (miscarriage of justice), para hakim yang menjatuhkan hukuman terhadapnya bersalah kerana tidak memberikan keadilan berdasarkan undang-undang, serta gagal mematuhi ikrar kehakiman.

Bercakap dengan pemberita hari ini, Anwar berkata beliau lebih berminat untuk memperbetul ketidakadilan, antaranya dakwaan bahawa pendakwa dalam kes itu Tan Sri Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta daripada bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak.

"Kami sudah buat permohonan di mahkamah berhubung isu Shafee menerima RM9.5 juta.

"Ia menjejaskan kes, dan melaluinya kami akan membangkitkan kes berkenaan keputusan semberono Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan.

"Dan saya fikir jika masih ada rasa (sense) keadilan dan keperluan memperbetul perkara yang salah, ketua kehakiman sekarang perlu mengambil tindakan sepatutnya dengan segera," katanya.

Beliau ditemui dalam majlis pelancaran buku Anwar Returns: The Final Twist di Kuala Lumpur hari ini.

Dalam kes Liwat II, ketika pendakwaan terhadap Anwar di Mahkamah Rayuan, kerajaan mengambil langkah di luar kebiasaan dengan mengambil peguam iaitu Shafee seabgai pendakwa utama, bukannya pendakwa raya kerajaan.

Anwar sebelum ini membuat permohonan untuk mengetepikan sabitan kes Liwat II atas dakwaan ketidakadilan ekoran Shafee yang dikatakan menerima RM9.5 juta.

Pendengaran bagi permohonan itu dijadual pada 14 September nanti.


Hakim kes liwat saya boleh tidur lena – Anwar Ibrahim

Mohammad Arif Nizam

Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Pelancaran Buku Anwar Return The Final Twist di Hilton Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK, 26 OGOS 2018
Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada majlis Pelancaran Buku Anwar Return The Final Twist di Hilton Hotel, Kuala Lumpur. foto SYAFIQ AMBAK
 

KUALA LUMPUR – Hakim yang terlibat menjatuhkan hukuman atas dua dakwaan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim kini boleh tidur dengan lena.

Ini kerana Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu tidak berminat untuk mengambil tindakan terhadap hakim-hakim yang membuat keputusan beliau bersalah atas tuduhan liwat ke atas pembantunya.

“Walaupun pihak saya tidak berminat untuk mengambil tindakan kepada hakim yang terlibat namun semua bentuk ketidakadilan yang berlaku dalam sistem kehakiman sebelum ini mesti diperbetulkan.

“Saya tidak bermaksud untuk ambil tindakan terhadap hakim yang lalu, mereka boleh tidur lena sekarang. Tetapi kezaliman dan ketidakadilan mesti diperbetulkan,” katanya kepada pihak media selepas menghadiri majlis pelancaran bukunya bertajuk Anwar Returns: The Final Twist” di sini hari ini.

Buku tersebut dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri yang juga isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Anwar diminta mengulas kenyataan bekas peguamnya, S N Nair agar satu siasatan dibuat terhadap keputusan hakim ke atas bekas Timbalan Perdana Menteri itu selepas keputusan Yang di-PerTuan Agong membenarkan pengampunan penuh kerana hukuman yang dibuat pihak hakim pada waktu itu wujud “ketidakadilan”.

SN Nair berkata, hakim membuat keputusan pada waktu itu tidak melaksanakan keadilan yang sebenar mengikut undang-undang dan gagal mendukung sumpah kehakiman.

Ditanya tuntutan berkaitan dakwaan mengatakan RM9.5 juta dibayar kepada peguam terkemuka, Tan Sri Shafee Abdullah untuk mendakwa beliau dalam kes liwat keduanya, Anwar berkata, pihak peguamnya sedang membuat permohonan itu supaya ia dipercepat.

“Saya harap mahkamah tidak akan menangguhkan lagi kes ini. Kami akan mengemukakan rayuan selepas keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan sebelum ini,” katanya yang akan disahkan sebagai Presiden PKR yang baharu pada bulan depan.

Pada 2017, Mahkamah Tinggi membatalkan tuntutan Anwar terhadap kerajaan berkaitan dakwaan mengatakan RM9.5 juta dibayar kepada peguam Shafee untuk mendakwa bekas pemimpin pembangkang itu dalam kes liwat 2.0. – MalaysiaGazette


Rabu, 18 Julai 2018

Sabitan liwat: Mahkamah dengar rayuan Anwar 14 September



Sabitan liwat:  Mahkamah dengar rayuan Anwar 14 September



Mahkamah Rayuan menetapkan 14 September depan untuk mendengar rayuan Ketua Umum Pakatan Harapan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk mengembalikan samannya terhadap kerajaan berhubung sabitan bagi meliwat.

Timbalan Pendaftar Haslina Basarudin menetapkan tarikh itu selepas perkara itu dikemukakan bagi pengurusan kes di hadapannya hari ini.

Peguam J.Leela yang mewakili Anwar dan peguam kanan persekutuan Mazlifah Ayob bagi pihak kerajaan, turut hadir pada prosiding pengurusan kes itu.

Pada 8 November tahun lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membatalkan saman itu selepas membenarkan permohonan kerajaan.

Anwar memfailkan saman pemula pada 9 Jun, 2017, mendakwa bahawa beliau tidak mendapat perbicaraan yang adil dalam rayuan terhadap sabitannya bagi meliwat.

Anwar memohon pengisytiharan bahawa sabitannya yang diputuskan oleh Mahkamah Rayuan pada 7 Mac, 2014 adalah ultra vires terhadap Perlembagaan Persekutuan dan dengan itu adalah batal dan tidak sah.

Beliau juga memohon satu perintah bahawa keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan Mahkamah Rayuan adalah ultra vires dan dengan itu adalah batal dan tidak sah.

Dalam afidavitnya, Anwar mendakwa peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menerima RM9.5 juta daripada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk mengetuai pasukan pendakwaan dalam rayuan berhubung sabitannya bagi meliwat.

Kerajaan memfailkan permohonan untuk membatalkan saman Anwar atas alasan ia remeh-temeh dan tidak sebab untuk tindakan dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Hakim Mahkamah Tinggi Datin Azizah Nawawi memutuskan bahawa kes Anwar itu adalah tidak berasas dan tanpa sebarang keterangan sokongan.

Anwar disabitkan dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun bagi kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan dan keputusan itu telah dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan. Anwar, bagaimanapun diberikan pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong pada 16 Mei tahun ini.

Ahad, 27 Mei 2018

Viral video pengampunan: Anwar terharu, Azizah menangis

Hilal Azmi, Astro Awani
Viral video pengampunan: Anwar terharu, Azizah menangis
Bagi Anwar, penghargaan umum diberikan kepada rakyat yang terus menerus memberi sokongan padu buat dirinya.
 
 
PERMATANG PAUH: Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim nyata terharu selepas notis pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong dibacakan pegawai Jabatan Penjara pada 16 Mei lalu.

“Saya terharu, walaupun Yang di-Pertuan Agong sudah maklumkan. (Manakala) Azizah menangis,” itu jawapan ringkas Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika dihubungi Astro AWANI berhubung video pengampunannya tular di media sosial.

Anwar yang dihubungi Astro AWANI itu ditanya mengenai respon awal beliau ketika dibacakan notis pengampunan penuh itu oleh pegawai Jabatan Penjara.

Ramai yang hanya tahu bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menerima pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong.

Bagi Anwar, penghargaan umum diberikan kepada rakyat yang terus menerus memberi sokongan padu buat dirinya.


Khamis, 17 Mei 2018

Laungan Reformasi sambut Anwar bebas!








[GALERI FOTO] Selepas menjalani lebih tiga tahun hukuman penjara, Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim kini bebas setelah mendapat pengampunan di-Raja.

Laungan ‘Reformasi’ bergema sejurus Anwar melangkah keluar dari pusat rawatan, Pusat Rehabilitasi Cheras .

Anwar sempat melemparkan senyuman dan melampaikan tangan kepada media dan penyokong sebelum memasuki kenderaan diiringi kawalan keselamatan ketat menuju Istana Negara.

Media dan penyokong memberi tumpuan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru sahaja keluar dari Pusat Rehabilitasi Cheras setelah menjalani penjara tiga tahun. Laungan reformasi bergema sebaik Anwar melangkah keluar.

 Kenderaan Datuk Seri Anwar Ibrahim diiringi kawalan ketat pasukan polis dan penjara menuju ke Istana Negara. (Foto: Hasful Zainuddin)

  Suasana meriah dengan kehadiran penyokong yang berhimpun di perkarangan pintu masuk Pusat Rehabilitasi Cheras. (Foto Hasful Zainuddin)



Antara penyokong yang bersemangat hadir menunggu di pintu masuk. (Foto: Hasful Zainuddin)



Penyokong menunggu dengan sabar di luar (Foto: Tzyy Ang Lim – Zeon)



Penyokong semakin ramai menunggu di luar perkarangan Pusat Rehabilitasi Cheras (Foto: Tzyy Ang Lim – Zeon)


Rabu, 16 Mei 2018

Anwar bebas: Berakhirnya 20 tahun ‘keluar-masuk’ penjara

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menandakan berakhirnya episod 20 tahun beliau keluar-masuk penjara dan bermulanya penyambungan kerjaya politik pemimpin yang disebut-sebut bakal menjadi perdana menteri.

Figura politik itu mewarnai landskap politik tanah air sama ada di dalam penjara atau di luar penjara dalam tempoh dua dekad ini, termasuk gerakan reformasi dan membuat percaturan politik tanah air sehingga menyumbang melalui partinya PKR, kepada kejayaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara dan sebilangan pentadbiran negeri-negeri.

Dilahirkan pada 10 Ogos 1947 di Cherok Tok Kun, Bukit Mertajam, Pulau Pinang, Anwar kini kembali menghangatkan arena politik negara selepas mendapat pengampunan diraja hari ini.

Ketua Umum PKR itu adalah suami kepada Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, yang juga Presiden PKR, dan hasil perkahwinan yang diikat pada 28 Feb 1980, mereka dikurniakan enam orang cahaya mata iaitu Nurul Izzah, Nurul Nuha, Mohd Ihsan, Nurul Ilham, Nurul Iman dan Nurul Hana.

Anwar mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Cherok Tokkun, Sekolah Stowell, Kolej Melayu Kuala Kangsar sebelum melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang Pengajian Melayu di Universiti Malaya.

Anwar bergiat aktif dalam bidang politik sejak di universiti lagi apabila beliau antara lain menubuhkan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), menjadi anggota jawatankuasa Majlis Belia Asia, anggota Majlis Belia Dunia serta anggota jawatankuasa rantau Asia Pasifik pada Perhimpunan Belia Sedunia.

Mula menjadi anggota Parlimen pada 1982 setelah memenangi kerusi Permatang Pauh, ketokohannya dalam politik diiktiraf, terutama ketika menjadi menteri kewangan.

Pada 1996, Euromoney menobatkan beliau sebagai empat menteri kewangan terbaik dunia dan Asiamoney menamakannya sebagai Menteri Kewangan Terbaik Asia.

Selain Menteri Kewangan, Anwar juga pernah dilantik menjadi Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan; Menteri Pertanian dan Timbalan Perdana Menteri pada 1 Dis 1993.

Pada 19 Mei 1997, beliau dilantik menjadi pemangku perdana menteri dan menteri dalam negeri semasa ketiadaan Datuk Seri (sekarang Tun) Dr Mahathir Mohamad yang bercuti selama dua bulan.

Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 Sept 1998, sebelum dipecat oleh UMNO keesokannya daripada jawatan timbalan presiden dan anggota parti itu atas dakwaan salah guna kuasa dan salah laku seksual.

Sejak pemecatan itu, bermulalah episod gelap dalam perjalanan kerjaya politik beliau apabila beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada 14 April 1999 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas disabitkan atas empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campurtangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

Anwar kemudian dibebaskan pada 2 Sept 2004 selepas hampir enam tahun menjalani hukuman penjara.

Pada 28 Ogos 2008, Anwar kembali ke Dewan Rakyat setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh atas tiket PKR apabila isterinya yang juga anggota Parlimen kawasan itu, Dr Wan Azizah, meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepadanya untuk bertanding.

Anwar seterusnya berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-13 pada 2013.

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac 2014 oleh Mahkamah Rayuan, yang mendapatinya bersalah meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun sebelumnya.

Hari ini, berikutan pengampunan penuh yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, beliau bebas daripada sebarang pertuduhan dan boleh terlibat dalam poliltik serta bertanding dalam pilihan raya untuk membolehkannya menjadi anggota Parlimen.

Anwar: Saya diberi pengampunan penuh kerana salah laksana keadilan

 
Ketua umum Pakatan Harapan berkata dia akan meluangkan masanya mengajar di universiti-universiti di luar negara.
 
 



KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berterima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V dan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad kerana diberi pengampuan penuh selepas menjalani hukuman penjara di Sungai Buloh.

Anwar berkata dia diberi pengampunan penuh bukan kerana dia melakukan jenayah tetapi berlakunya salah laksana keadilan.

“Saya nak jelaskan 1 perkara tentang kebebasan ini, iaitu kita tidak memohon keampunan kerana kesalahan disabitkan. Kita tuntut kebebasan kerana fitnah dan sakah guna kuasa serta apa yang disebut sebagai perjalanan yang bercanggah dengan prinsip keadilan.

Anwar menjelaskan prinsip itulah yg diterima Agong untuk membebaskan beliau dan membersihkan semua rekodnya.

“Saya telah dibersihkan daripada semua rekod kesalahan sebelum ini. Tidak sia-sia perjuangan saya selama 20 tahun menanggung derita dan sengsara,” katanya.

Anwar dibebaskan pagi tadi dari Hospital Rehabilitasi Cheras, selepas menjalani hukuman penjara selama 1,557 hari atas sabitan meliwat bekas pembantu peribadinya.

Beliau kemudian menghadap Agong di Istana Negara. Anwar berkata perjalanan “dari penjara ke istana” hanya boleh berlaku kerana sokongan rakyat.

Dia menghargai kebebasan ini, dan berkata ada pengajaran daripada hidup di dalam penjara.

“Iaitu nilai kebebasan. Kita tidak boleh biarkan orang lain mengalami persendaan keadilan yang sama. Ini tanggungjawab kita, terutama dalam Pakatan Harapan, untuk menghentikan perkara ini,” katanya.

Anwar juga berkata dia tidak menaruh dendam terhadap bekas perdana menteri, Datuk Seri Najib Razak, walaupun mengulangi pendirian yang dia dipenjarakan atas alasan politik.

Ketua umum PKR itu secara peribadi memaafkan Najib tetapi kesalahan dan dakwaan terhadap Najib akan ditentukan undang-undang.

“Saya tidak mahu isu saya dikurung menjadi satu isu untuk menentangnya. Saya tiada niat jahat terhadap Najib atau mana-mana individu. Saya mahu terus melangkah ke depan,” katanya.



Anwar dibebaskan esok

 
Anwar akan dibebaskan dari Hospital Rehabilitasi Cheras selepas perbincangan dengan lembaga pengampunan dimuktamadkan, kata Nurul Izzah Anwar.
 
 
Anwar dijangka menyertai himpunan esok malam di Padang Timur, Petaling Jaya. (Gambar Reuters)


KUALA LUMPUR: Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari Hospital Rehabilitasi Cheras selepas pengampunan penuh oleh Yang di-Pertuan Agong dimuktamadkan esok, kata Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.

“Ia hari yang indah untuk kami dan kami sentiasa berjuang bersama ayah untuk meneruskan reformasi dan keadilan.

“Ini tidak pernah mengenai ayah kami tetapi mengenai melakukan perkara yang betul,” katanya ketika ditemui pemberita di hospital, di mana Anwar sedang menjalani rawatan selepas pembedahan.

Ketika ditanya sama ada Anwar akan mengambil alih jawatan perdana menteri, Izzah percaya negara layak menerima perdana menteri terbaik.

“Saya akan pastikan perdana menteri memenuhi janji-janji untuk reformasi yang dibuatnya dan kami akan pastikan terdapat semak dan imbang yang sewajarnya.”

Dr Mahathir sebelum ini berkata dia akan kekal sebagai perdana menteri untuk 2 tahun sebelum memberi laluan kepada Anwar untuk mengambil alih.

Anwar, 70, sepatutnya dibebaskan dari Penjara Sungai Buloh pada 8 Jun kerana berkelakuan baik.

Dia dikenakan hukuman penjara 5 tahun pada 2015 atas tuduhan liwat, tuduhan yang dikatakan penyokongnya sebagai bermotifkan politik.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR Datuk Saifuddin Nasution berkata Anwar akan dibebaskan dari hospital rehabilitasi esok selepas lembaga pengampuan membuat keputusan.

Saifuddin berkata keadaan kesihatan Anwar tidak menghalang pemimpin PKR itu dikeluarkan dari hospital.

“Dia akan sertai himpunan esok malam di Padang Timur, Petaling Jaya,” katanya.

LIHAT VIDEO DI SINI

Isnin, 14 Mei 2018

TV3 diarah bayar RM1.1 juta pada Anwar

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini memerintahkan Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) membayar RM1.1 juta kepada bekas ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
 
Hakim Datuk Ahmad Zaidee Ibrahim membuat keputusan itu selepas mendapati TV3 memfitnah Anwar dalam laporannya yang mendakwa ketua umum PKR itu sebagai dalang dalam serangan di Lahad Datu pada 2013.
 
Mahkamah memerintahkan TV3 membayar RM600,000 sebagai ganti rugi am dan masing-masing sebanyak RM250,000 bagi ganti rugi teruk dan teladan.
 
Hakim Ahmad Zaidee juga memerintahkan TV3 membayar kos sebanyak RM40,000.
 
Sementara itu Bernama melaporkan hakim mendapati TV3 sebagai defendan kedua gagal mengambil tindakan sewajarnya sebagai wartawan bertanggungjawab untuk membuat pengesahan daripada Anwar sebelum menyiarkan laporan berita itu.
 
“Mengikut keterangan saksi defendan, mereka menyiarkan laporan berita itu berdasarkan artikel daripada Utusan, tetapi akhbar itu telah mengakui bahawa artikel itu tidak benar dan fitnah terhadap plaintif (Anwar). Bagaimanapun, TV3 berkeras dan tiada penyelesaian dibuat antara TV3 dan plaintif,” kata Ahmad Zaidi.
 
Hakim itu berkata selepas menimbangkan keadaan kes berkenaan, beliau mendapati sifat laporan berita itu memberikan implikasi terhadap plantif dan oleh itu mahkamah merasakan bahawa jumlah RM600,000 bagi ganti rugi am adalah munasabah.
 
“Terdapat niat jahat dalam laporan berita itu, ini dapat dilihat daripada tindak-tanduk CEO TV3, walaupun Utusan Malaysia sudah mengakui berita yang diterbitkan palsu tetapi TV3 masih berkeras.
 
"Saya rasa berdasarkan itu mahkamah membenarkan tuntutan plaintif bagi ganti rugi teruk dan teladan masing-masing berjumlah RM250,000,” katanya.
 
Pada 8 Mac 2013, Anwar selaku plaintif memfailkan saman terhadap Utusan Melayu; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Datuk Abdul Aziz Ishak; TV3; Pengarang Urusan Kumpulan, Berita dan Ehwal Semasa, Rangkaian Televisyen dan Radio, Media Prima Bhd Datuk Shaharudin Abd Latif dan Pengarang Berita Buletin Utama, Ing Boon Seng sebagai defendan.
 
Dalam pernyataan tuntutan, Anwar mendakwa Utusan Melayu menyiarkan artikel di muka hadapannya bertajuk 'Ketua Pembangkang dikaitkan dengan pencerobohan?' dan artikel di muka surat sembilan bertajuk 'Tiga kumpulan menjadi dalang' bertarikh 2 Mac 2013.
 
Bekas anggota Parlimen Permatang Pauh itu juga mendakwa TV3, antara pukul 8 dan 9 malam, hari yang sama dalam Buletin Utama turut menyiarkan berita mengenai pencerobohan di Lahad Datu berdasarkan laporan berita yang dikeluarkan oleh Utusan Melayu.
 
Pada 5 Okt 2016, Anwar berjaya menyelesaikan kes saman itu terhadap Utusan Melayu dan Ketua Pengarangnya Datuk Abdul Aziz Ishak selepas kedua-dua pihak mencapai persetujuan untuk menyelesaikan kes saman itu.
 
Anwar diwakili peguam Datuk S.Ambiga manakala peguam Lim Qi Si bertindak bagi pihak TV3.
 
 

Anwar mungkin bebas lambat sedikit, kata Mahathir

Kow Gah Chie

   
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad berkata pengampunan dan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim mungkin tertangguh.

"Janji kita untuk mendapatkan pengampunan kepada Anwar akan diteruskan, tetapi prosesnya (perlu) diikuti.

"Walaupun sudah diputuskan, Lembaga Pengampunan (Diraja) mungkin bersidang lewat sedikit kerana kita nak ikut peraturan," katanya pada sidang media hari ini.

Terdahulu Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar berkata Lembaga pengampunan diraja akan bersidang petang esok bagi membincangkan soal itu.

Anwar dijangka bebas esok


anwar jadi mangsa


KEADILAN DAILY


Lembaga Pengampunan Di Raja akan mengadakan pertemuan bagi membincangkan pengampunan terhadap Ketua Umum Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, jam 5 petang esok.

Naib Presiden KEADILAN merangkap anak sulung Anwar, Nurul Izzah berkata, beliau bagaimanapun tidak dapat menjangkakan berapa lama perbincangan itu akan berlangsung.

Namun, beliau optimis Anwar akan diampunkan dan seterusnya dibebaskan esok.

“Saya diberitahu oleh peguam Anwar mengenai perkara ini dan setakat itu sahaja maklumat yang saya tahu.

“Insyaallah esok tapi kita tak dapat menjangkakan bila. Tetapi tentunya Anwar akan terus buat sidang media esok,” katanya ketika ditemui wartawan di Hospital Rehabilitasi Cheras sebentar tadi.

Anwar sepatutnya dibebaskan pada 8 Jun 2018 selepas dipenjara selama 5 tahun kerana Fitnah II yang dicipta rejim Umno BN.

Kerajaan Pakatan Harapan yang mula mentadbir Putrajaya pada 10 Mei berjaya mendapatkan persetujuan Yang di-Pertuan Agong untuk mengampunkan Anwar

Sabtu, 12 Mei 2018

Anwar bebas Selasa ini?

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
KUALA LUMPUR: Nurul Izzah Anwar memaklumkan bahawa bapanya yang juga Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim akan dibebaskan dari penjara Selasa ini.
 
"Ya," kata Nurul Izzah ringkas kepada Reuters hari ini.
 
Beliau berkata demikian selepas diminta mengesahkan sama ada Anwar akan dibebaskan pada Selasa atau tidak.
 
Sejurus selepas dilantik menjadi Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bersama pemimpin kanan parti komponen Pakatan Harapan (PH) mengadakan pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong bagi membincangkan mengenai pembebasan Anwar.
 
Perdana Menteri ketujuh itu berkata, Sultan Muhammad V bersedia memberi pengampunan dan membebaskan Anwar dari penjara dengan kadar segera.
 
Jabatan Penjara Malaysia sebelum ini mengesahkan ketua umum PKR dan PH itu akan dibebaskan 8 Jun depan.
 
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, pengiraan tempoh hukuman perlu dijalani Anwar dan tarikh pembebasannya dibuat mengikut ketetapan Seksyen 44 Akta Penjara 1995 serta Peraturan 43(1)(a) Peraturan-peraturan Penjara 2000.
 
 

Jumaat, 11 Mei 2018

PM: Agong perkenan pembebasan Anwar

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
 
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad memberitahu Yang di-Pertuan Agong bersedia memberi pengampunan dan membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara dengan kadar segera.
 
Perdana Menteri ketujuh itu berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuan pemimpin 4 parti komponen Pakatan Harapan (PH) dengan Sultan Muhammad V, semalam.
 
“Dalam perbincangan empat parti dengan Agong, Agong menyatakan beliau bersedia untuk memberi pengampunan kepada Anwar dalam kadar segera.
 
“Kami akan lakukan proses sewajarnya untuk dapatkan pengampunan Anwar, bukan sahaja dia mendapat pengampunan, tetapi dia juga akan dibebaskan serta-merta,” katanya dalam sidang media di Putrajaya, hari ini.
 
Jabatan Penjara Malaysia sebelum ini mengesahkan ketua umum PKR dan PH itu akan dibebaskan 8 Jun depan.
 
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Zulkifli Omar berkata, pengiraan tempoh hukuman perlu dijalani Anwar dan tarikh pembebasannya dibuat mengikut ketetapan Seksyen 44 Akta Penjara 1995 serta Peraturan 43(1)(a) Peraturan-peraturan Penjara 2000.
 
 

Isnin, 23 April 2018

Anwar tarik diri kes perkenan Agong

Hafiz Yatim
 
   
Mantan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menarik balik cabarannya terhadap tiga undang-undang di Mahkamah Persekutuan yang membatalkan tuntutan mandatori bagi sesuatu rang undang-undang itu perlu mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Hal ini, susulan Anwar mempunyai satu lagi kes permohonan mencabar undang-undang kontroversi Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang mana rang undang-undang tersebut diluluskan tanpa perkenan Yang di Pertuan Agong. Mahkamah tertinggi negara telahpun membenarkan permohonan tersebut dibuat.

Anwar memfailkan cabaran terhadap Akta MKN di Mahkamah Persekutuan pada Mac 2018 lalu.

Datuk Seri Gopal Sri Ram (gambar, bawah) , peguam kanan yang mewakili Anwar bersetuju membatalkan cabaran 'kes perkenan Agong' hari ini.

Khamis, 12 April 2018

Larang sentuhan fizikal: Mahkamah tolak rayuan Anwar

ANTARAPOS

Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini, untuk mengenepikan keputusan Pengarah Jabatan Penjara dan dua lagi yang tidak membenarkan sentuhan fizikal dengan ahli keluarga ketika lawatan di penjara.
 
Panel tiga hakim yang diketuai oleh Hakim Datuk Ahmadi Asnawi dalam keputusan sebulat suara menolak rayuan yang dikemukakan oleh Anwar dan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi sebelum ini yang menolak permohonan itu.
 
BH Online melaporkan, Hakim Ahmadi memutuskan bahawa permohonan itu tidak mempunyai merit, tidak munasabah dan tidak berasas.
 
Mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos.
 
Turut bersidang bersama adalah Datuk Ong Lam Kiat Vernon dan Datuk Suraya Othman.
 
Pengarah Penjara Sungai Buloh, Komisioner Jeneral Penjara dan Menteri Dalam Negeri sebagai responden diwakili Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan.
 
Manakala Anwar dan ahli keluarganya diwakili peguam N Surendran, Latheefa Koya, Sanjeet Kaur, Shahid Adli Kamaruddin.
 
Pada 18 Mei 2016, Anwar, 70, dan keluarganya memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur terhadap Pengarah Jabatan Penjara dan dua lagi untuk mencabar sekatan bagi sentuhan fizikal ketika lawatan di penjara.
 
Mahkamah Tinggi menolak permohonan itu pada 14 Mac tahun lalu.
 
Selain Anwar, turut dinamakan sebagai plaintif adalah isterinya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, 65, serta anaknya Nurul Izzah, 37, Nurul Nuha, 33, Nurul Ilham, 30, dan Nurul Iman, 27.
 
Empat cucunya iaitu anak kepada Nurul Izzah dan Nurul Nuha turut dinamakan sebagai plaintif.
 
Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas didapati bersalah meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan dan bakal dibebaskan Jun ini.
 
 

Rabu, 14 Mac 2018

Anwar dibenar cabar kesahihan Akta MKN

ANTARAPOS
  
Post Pic
 
 
PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan hari ini membenarkan pemimpin pembangkang Anwar Ibrahim yang kini dalam tahanan untuk mencabar kesahihan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN).
 
Kerajaan, yang diwakili Peguam Kanan Persekutuan Suzana Atan, tidak membantah keputusan hakim Zulkifli Makinuddin, yang merupakan Presiden Mahkamah Rayuan, Ahmad Maarop dan Azhar Mohamad.   
 
Anwar, yang diwakili Gopal Sri Ram, memohon untuk Akta MKN diisytiharkan sebagai tidak berperlembagaan kerana diwartakan tanpa perkenan Majlis Raja-raja, keperluan yang ditetapkan Perlembagaan untuk membolehkan mana-mana usul diluluskan Parlimen.
 
Beliau turut mencabar akta tersebut, yang diwartakan pada 2016, atas alasan ia tidak mematuhi Perkara 19 Perlembagaan yang memantau undang-undang tahanan pencegahan dan memberi kuasa kepada Parlimen untuk meluluskan undang-undang menggantung kebebasan asas.
 
Anwar sebelum ini gagal mencabar akta tersebut di Mahkamah Tinggi pada 2016 dan di Mahkamah Rayuan pada November tahun lepas.
 
Mahkamah berkenaan berkata perkara itu harus dibawa terus kepada Mahkamah Persekutuan kerana ia mempersoalkan kecekapan badan perundangan Parlimen dalam menggubal pindaan tersebut.
 
Akta MKN dilaporkan tidak menerima persetujuan Majlis Raja-raja dan diwartakan tanpa pindaan, walaupun Persidangan Raja-raja menyebut ia mahu memperhalusi beberapa peruntukan.
 
Akta tersebut mempunyai kuasa untuk mengisytiharkan darurat dalam ‘kawasan keselamatan’, yang didakwa pengkritik kabur.
 
Ia juga memberi kuasa kepada pihak berkuasa untuk melakukan tangkapan dan melakukan pemindahan paksa dan menggunakan kekerasan yang mereka perlukan, dan juga mengecualikan ahli majlis dan mereka yang beroperasi di bawahnya daripada liabiliti dan pendakwaan undang-undang.
 
Putrajaya berkata undang-undang itu bertujuan untuk menangani keganasan tetapi pengkritik bimbang yang bahawa ia akan disalahgunakan untuk tujuan politik.
 
Anwar kini sedang menjalani hukuman selama lima tahun atas kesalahan liwat tetapi akan dibebaskan pada awal bulan Jun apabila menerima pengurangan hukuman satu pertiga secara automatik kerana berkelakuan baik

Isnin, 12 Mac 2018

Anwar gagal ketepi sabitan liwat

Anwar gagal ketepi sabitan liwat
Permohonan Ketu Umum PKR Anwar Ibrahim untuk mengetepikan sabitan liwat yang dikenakan terhadapnya ditolak oleh mahkamah. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
ANWAR Ibrahim gagal mengetepikan sabitan liwat yang dikenakan terhadapnya apabila permohonan beliau ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad menolak permohonan ketua umum PKR yang berasaskan alasan bukti terhadapnya diperolehi secara penipuan.

Nik Hasmat berkata ia gagal memenuhi ambang perundangan untuk membolehkan perbicaraan baru diadakan.

"Sudah tiga tahun sejak kes itu. Saya tidak dapat mengelak daripada berasa yang plaintif menggunakan prosedur sivil sebagai jalan belakang untuk semakan semula sabitan itu," katanya.

Anwar disabitkan dengan kesalahan meliwat bekas pembantunya Mohd Saiful Bukhari dan dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Februari 2015.

Anwar yang bercakap kepada pemberita selepas itu menyatakan kekecewaan dan berkata ingin melihat keadilan dilaksanakan.

"Saya hanya mencari satu hakim, satu tempat, bagi mereka agar berani menunjukkan yang mereka menghormati undang-undang dan kehakiman.

"Jika tidak, tunggu PRU14," katanya sambil disambut laungan "Reformasi" daripada penyokongnya.
Mahkamah menganugerahkan ganti rugi kos kepada peguam Anwar.

Anwar memohon untuk mengetepikan sabitan liwat di bawah Seksyen 44 Akta Keterangan, yang memperuntukkan bahawa mana-mana pihak dalam saman itu boleh menunjukkan bahawa apa-apa penghakiman, yang telah dibuktikan oleh pihak lawan, telah disampaikan oleh mahkamah yang tidak berwenang untuk menyampaikannya atau didapati melalui penipuan atau kolusi.

Nik Hasmat berkata penghujahan peguam Anwar bahawa kerajaan melakukan penipuan adalah samar.

"Ia mestilah penipuan sebenar. Ia perlu lebih spesifik. Kamu tidak boleh hanya memetik penipuan dan bawa ke mahkamah," katanya.

Dalam afidavit dan penghujahan bertulisnya, kerajaan membalas bahawa permohonan itu adalah permohonan itu adalah remeh, menyakitkan hati dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Nik Hazmat turut mengesahkan penghujahan kerajaan bahawa Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Peguam Negara, selaku pendakwaraya mempunyai budi bicara untuk memulakan prosiding jenayah di mahkamah sivil.

Anwar diwakili peguam N. Surendran manakala Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili kerajaan.

Surendran berkata Anwar akan memfailkan rayuan dengan segera ke Mahkamah Rayuan.

Anwar mempunyai rayuan kedua untuk mengetepikan sabitan, menangguhkan di Mahkamah Rayuan, berhubung dakwaan RM9.5 juta dibayar kepada pendakwaraya dalam perbicaraan kes liwat Anwar, Muhammad Shafee Abdullah.

Khamis, 8 Februari 2018

Terdapat bukti penipuan, Anwar mohon batalkan sabitan liwat



Terdapat bukti penipuan, Anwar mohon batalkan sabitan liwat
Anwar berkata, ada keperluan untuk “pastikan sama ada terdapat kes penipuan dalam mendapatkan fakta dan bukti." – Gambar The Malaysian Inisght oleh Najjua Zulkefli,
 
ANWAR Ibrahim hari ini memohon sabitan kesalahan liwatnya dibatalkan susulan wujudnya bukti pendakwaraya kes itu, Muhammad Shafee Abdullah menerima sogokan.

“Kami sudah berfikir lanjut. Kami dapati terdapat kes menarik untuk diperdengarkan dan ianya bukan memihak kepada saya. Kita tidak patut menolaknya,” kata Anwar kepada Hakim Nik Hasmat Nik Mohamad.

Anwar berkata, ada keperluan untuk “pastikan sama ada terdapat kes penipuan dalam mendapatkan fakta dan bukti."

“Sekurangnya, benarkan kami untuk membangkitkan kes ini, untuk melihat kes… Keperluan itu perlu apabila pendakwa (didakwa) menerima sejumlah wang yang banyak. Menafikan (hak) kami bermaksud menafikan keadilan,” katanya.

Sarawak Report mengatakan wang sejumlah RM9.5 juta itu datang daripada akaun bank yang sama menyimpan wang anak syarikat 1MDB, SRC International yang meminjam sejumlah RM4 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (KWAP).

Shafee, peguam yang sudah lanjut usia, kemudiannya mengadakan siri jelajah menerangkan mengenai salah laku liwat Anwar itu.

Anwar berkata demikian berhubung permohonan yang masih tergantung di Mahkamah Rayuan setelah ianya ditolak oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada November lalu.

Permohonan itu bertujuan untuk mendedahkan transaksi akaun bank Shafee selain mengetepikan tuduhan terhadap Anwar.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mendengar permohonan kerajaan untuk mengadakan perbicaraan berasingan yang difailkan Anwar pada April bagi mengetepikan tuduhan salah laku liwat atas alasan yang terdapat penipuan dalam pembuktian.

Pejabat Peguam Negara juga telah memfailkan permohonan untuk membatalkan writ saman.

Dalam permohonannya itu, Anwar berkata, kerajaan yang merupakan pendakwa utama dalam saman sivil itu sedar yang si penuduh, yakni Saiful Bukhari bukanlah seorang saksi yang boleh dipercayai, malah Saiful telah memberikan bukti yang salah dalam perbicaraan salah laku liwat kedua Anwar ini.

Anwar berkata yang sabitan itu diperoleh melalui keterangan palsu atau “perjured” selain kenyataan yang Saiful memberikan bukti “perjured” yang kerajaan sendiri tahu ianya palsu.

Anwar berkata, bukti palsu dalam bentuk sampel DNA telah diubah suai dan digunakan untuk menyokong tuduhan Saiful, yang mana membawa kepada sabitan terhadap Anwar.

“Saya agak terganggu dengan penghujahan awak,” kata Nik Hasmat kepada peguam Anwar, N. Surendran.

“Sama ada penipuan berlaku, kes itu hanyalah sampingan. Ianya serius. Pada dasarnya, awak mencabar proses penghakiman.

“Fokus utama adalah nampaknya adlaah proses penghakiman dan pengadilan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Persekutuan, tapi kamu masih mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi (yang membebaskan Anwar). Ia macam selektif… dan ianya (kes liwat) telah pun melalui keseluruhan mod.

“Dan saya tak mahu cakap lebih sebab saya tak mahu disalah faham,” kata Nik Hasmat.