PESTA
arak, The Better Beer Festival 2017 sepatutnya diadakan pada 6 dan 7
Oktober depan di sebuah premis di Kuala Lumpur. Difahamkan sudah
beberapa kali pesta arak dianjurkan di Kuala Lumpur. Bagaimanapun hanya
kali ini pihak penganjur tidak diberi kebenaran oleh pihak berkuasa
tempatan iaitu Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Kalau
benarlah sudah beberapa kali dianjurkan dan mendapat kebenaran DBKL,
pihak berkuasa tempatan itu perlu tampil memberikan penjelasan untuk
mengelakkan kekeliruan bahawa kebenaran akan terus diberikan sekiranya
tiada penentangan daripada orang ramai.
Ada pihak
yang berhujah, apakah luar biasanya arak di Kuala Lumpur? Banyak pusat
hiburan yang menyediakan arak dan sebuah pusat hiburan terbesar dan
paling berprestij di Jalan Tun Razak juga menyediakan arak.
Nah, kalau
arak bersepah dijual secara terbuka di Kuala Lumpur, kenapa pula kecoh
dengan pesta arak yang diadakan selama dua malam itu? Seolah-olah wujud
pilih kasih antara pusat hiburan yang menjual arak dan penganjur pesta
arak.
Difahamkan
pesta arak ini bermula pada 2012 sebuah premis di Changkat Bukit
Bintang, Kuala Lumpur dan disertai oleh lebih 200 pengunjung.
Penganjuran pada 2016 di sebuah pusat membeli belah di Sri Hartamas
menyediakan 150 jenama arak dan dihadiri oleh 3,500 orang.
Pada tahun
ini penganjur merancang membawa lebih 250 jenama arak daripada 43
syarikat di seluruh dunia san sasaran pengunjung dijangka lebih 6,000
orang. Saiz penganjurannya semakin besar dan kalau tahun ini juga
mendapat kebenaran DBKL, pesta arak akan membawa nama Malaysia sebagai
lokasi pesta arak yang bertaraf dunia.
Dari satu
sudut, pesta arak ini mesti ditentang kerana bercanggah dengan semangat
Perlembagaan yang meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan. Memang
benar sasarannya bukan kepada orang Islam tetapi kesan sosialnya tidak
mengira agama atau bangsa.
Memang
benar, sebagai sebuah negara yang pelbagai kaum dan agama, menjual arak
kepada bukan Islam bukanlah satu kesalahan dengan syarat ada lesen yang
halal dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan. Mungkin kerana itulah
bersepah tempat minum arak di Kuala Lumpur walaupun sepatutnya tidak
begitu.
Bagaimanapun
menganjurkan acara yang menjurus kepada mempromosikan gaya hidup minum
arak memberikan kesan yang berbeza iaitu mempengaruhi untuk turut serta
dalam gaya hidup itu. Maka kita mesti menentang kerana minum arak
membawa keburukan kepada manusia.
Dari sudut
yang lain, semua agama dan budaya mengaku dan bersetuju bahawa arak
membawa keburukan kepada manusia. Pakar-pakar perubatan tidak kira Islam
atau bukan sependapat mengatakan kesannya menjahanamkan manusia dan
kemanusiaan.
Maka
menentang pesta arak bukanlah satu tindakan yang berat sebelah (bias)
kepada bukan Islam. Ini juga untuk menyelamatkan mereka dari
terperangkap dalam gaya hidup yang memudaratkan ini.
Bagaimanapun
penentangan pesta arak di Kuala Lumpur tidak datang daripada pihak yang
mendabik dada kononnya mengaku sanggup berjuang “demi agama dan
bangsa.” Sebaliknya suara mereka tenggelam dalam retorik perebutan kuasa
padahal kalau mahu melihat dari sudut Islam, pesta arak ini sangat
mencemarkan Kuala Lumpur sebagai sebuah ibu negara Islam.
Di mana
“pejuang-pejuang agama dan bangsa” ketika Kuala Lumpur akan muncul dalam
kalendar pelancongan dunia sebagai pusat arak terkemuka? Suara siapa
sebenarnya yang membawa kepada kegagalan penganjuran pesta arak tahun
ini?
Sumber: https://kuseman.com/2017/09/19/kenapa-pesta-arak-mesti-ditentang/
Tiada ulasan:
Catat Ulasan