Ahad, 3 September 2017

Enam perserta KSP antara 19 rakyat Malaysia terkandas di Rusia

THE MALAYSIAN TIMES
 


KUALA LUMPUR: Enam peserta Kembara Srikandi Prihatin (KSP) adalah antara 19 rakyat Malaysia yang terkandas ekoran banjir lumpur melanda Perkampungan Terskol berhampiran Gunung Elbrus pada Jumaat.

Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin ketika mengesahkan perkara itu berkata kesemua peserta wanita itu dalam keadaan baik dan akan dipindahkan ke tempat yang selamat.

“Keadaan ini (banjir lumpur) mengakibatkan semua laluan darat terputus untuk ke kawasan tersebut.

“Puteri UMNO akan sentiasa mendapatkan laporan terkini daripada wakil Persatuan Kembara Negara yang berada di sana bagi mengetahui keadaan semasa para pendaki KSP,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mas Ermieyati berharap keluarga dan kenalan para pendaki KSP bertenang dan pihaknya akan menghubungi mereka untuk memaklumkan keadaan peserta dari semasa ke semasa.

Pada 9 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyerahkan Jalur Gemilang kepada enam peserta KSP itu yang menjalankan misi mendaki puncak Gunung Elbrus, Rusia.

Misi pendakian ke gunung tertinggi di Eropah berketinggian 5, 642 meter itu melibatkan Nurul Huda Shamsuddin, 31, Nir Azmin Adnan, 34, Fairul Asmaini Mohd Pilus, 35, Ummu Farah Haidar Zulkifli, 30, Fazilah Abd Manan, 41 dan Ren’ee Aziz Ahmad, 56, yang juga bekas pesakit kanser payu dara.

Ekspedisi anjuran Persatuan Kembara Negara dengan kerjasama Puteri UMNO itu adalah acara kemuncak bagi Kempen Kembara Srikandi Prihatin yang diadakan bagi mempromosikan gaya hidup sihat melalui aktiviti luar dan lasak dalam kalangan rakyat Malaysia.— BERNAMA

Tiada ulasan: