Ahad, 17 September 2017

Anina, Hamidah kurang jati diri, kata Kamaruddin

Oleh Ainor Rahim
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Dua bekas pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Anina Saadudin dan bekas naib presidennya Datuk Hamidah Osman, bertindak keluar parti kerana tidak mempunyai semangat berpasukan, kata Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Datuk Kamaruddin Md Noor.
 
Ujarnya, ia ditambah dengan kekecewaan kerana beberapa permintaan mereka tidak dipenuhi pucuk pimpinan parti. 
 
"Bekerja dalam parti ini dia berdasarkan kepada semangat kesukarelawan. Kalau orang yang tidak bersedia untuk bekerja lagi kita tak boleh nak paksa dia. 
 
"Ternyata sikap kecewa ini timbul apabila kita punyai satu hasrat yang tinggi dan kita mengharapkan pimpinan memenuhi hasrat itu. Jika hasrat itu tidak dapat dipenuhi maka kita akan jadi kecewa. Bukan begitu?
 
"Jadi kecewa ini rasa yang terhasil daripada satu keadaan yang tidak penuhi citarasa kita. Kita nak macam itu maka tidak jadi begitu. Kita rasa kecewa. Kalau kita tidak ada kehendak untuk apa-apa. Maka ikhlas saja, kita tidak rasa kecewa lah," kata Kamaruddin  ketika dihubungi Antarapos hari ini.
 
Mengulas lanjut, Kamaruddin  berkata, perletakan jawatan Anina dan Hamidah tidak mengejutkan sama sekali malah parti sudah pun menjangkakan perkara tersebut akan berlaku. 
 
"Tidak mengejutkan sebab kita sudah tahu keadaan dan sikap mereka. Jadi tidak mengejutkan. Walaupun kita mengharapkan mereka terus bersama tetapi oleh kerana mereka telah membuat keputusan untuk keluar. Jadi kita ingin ucapkan selamat maju jaya lah," ujarnya.
 
Mengulas kekosongan jawatan naib Presiden yang dilepaskan Hamidah, Kamaruddin berkata hal itu bakal dibincangkan di peringkat pusat selain mempertimbangkan untuk meletakkan calon wanita.
 
"Itu saya serah pada pucuk pimpinan tetapi saya fikir elok juga kalau kita serah kepada seorang tokoh wanita lain. Saya merasakan sewajarnya diisi oleh seorang wanita juga, "tambahnya.
 
Semalam, Anina yang merupakan seorang daripada pengasas PPBM, mengumumkan keluar parti selepas dikatakan sudah tidak lagi tahan dengan layanan buruk yang diterima ketika berada di dalam parti yang diteraju Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
 
Ini termasuk cara “kejam” beliau dipecat daripada jawatan ketua srikandi PPBM, kemudian digugurkan sebagai ahli MPT dengan “menendangnya” daripada kumpulan WhatsApp MPT PPBM, selain tidak mendapat jemputan rasmi ke sambutan ulang tahun pertama parti itu.
 
Anina antara lain turut mengkritik kepimpinan parti yang tidak memberikan hak kepada ahli untuk bersuara dan mendakwa parti itu kini telah tersasar dari perjuangan asal ditubuhkan sejak setahun lalu.
 
Alasan Anina ini dilihat sama dengan seorang lagi pengasas parti itu yang telah keluar parti pada 19 April lalu, Kamarulazman Habibur Rahman yang turut membawa keluar 821 ahli.
 
Menambah polemik dalaman PPBM, sejurus selepas pengumuman yang dibuat Anina itu, Setiausaha Agung PPBM Datuk Dr Shahruddin Md Salleh pula mengumumkan peletakan jawatan Hamidah yang berkuat kuasa serta merta.
 
 

Tiada ulasan: