Oleh Shuhaniza Said
SHAH ALAM: Ahli Parlimen PAS, Datuk Mahfuz Omar yang merupakan antara
penyokong Deklarasi Rakyat, mempertikaikan tindakan sekumpulan individu
yang mendakwa berlaku pemalsuan dalam mengumpul 1.2 juta tandatangan
untuk menyokong deklarasi itu.
Wakil rakyat Pokok Sena itu juga berkata, akuan bersumpah (SD) yang
dibuat individu bernama Azharuddin Othman ragu-ragu dan boleh
dipertikaikan.
"Dia (Azharuddin) telah membuat pengakuan melakukan kesalahan sedangkan
perkara itu tak betul, dia melakukan kesalahan menjual 'database' itu.
"Keduanya, tuduhan mengatakan bahawa deklarasi itu berasaskan 'database' adalah tidak betul.
"Sebab saya sendiri, kami turun ke medan, turun ke pasar malam, pekan
sehari, pasar tani, pasar raya untuk bertemu rakyat. Rakyat begitu
ghairah untuk menandatangani borang deklarasi kerana ingin melihat
(Datuk Seri) Najib berundur daripada Perdana Menteri," katanya.
Semalam, sekumpulan individu yang diketuai pengasas Solidariti Anak
Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin atau Chegubard mendakwa
kumpulan pendokong Deklarasi Rakyat memalsukan tandatangan rakyat untuk
mendapatkan jumlah yang banyak dalam tempoh singkat.
Bagi menguatkan hujah tersebut, seorang lelaki dikenali sebagai
Azharuddin Othman yang didakwa terlibat dalam pemalsuan itu turut
diketengahkan.
'Saksi' itu yang bekerja sebagai pengaturcaraan komputer bebas secara
sambilan mendedahkan, beliau dihubungi seseorang yang dikenali sebagai
Ratu Naga menawarkan khidmat untuk membeli pengkalan data (database)
rakyat Malaysia bagi mendapatkan 1.2 juta tandatangan untuk projek
Deklarasi Rakyat.
Untuk 'tugas' itu, dakwa Azharuddin, beliau ditawarkan bayaran RM5,000.
Namun bayaran yang diterima hanya RM1,000 dan sehingga kini beliau
tidak mendapat bayaran seperti yang dijanjikan selepas menyelesaikan
tugasan yang dikehendaki.
Bagaimanapun Ratu Naga menafikan perkara tersebut dan dilaporkan akan
membuat sidang media hari ini bagi menjawab tuduhan berkenaan.
No comments:
Post a Comment