Oleh Wan Anis Ilyani Wan Mohd Azhar
KOTA BHARU: Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man percaya
tindakan menangguhkan usul meminda Akta 355 mengenai Rang Undang-Undang
(RUU) Mahkamah Syariah di Dewan Rakyat minggu lalu akan membuka ruang
kefahaman kepada bukan Islam.
Katanya, PAS juga bersedia mengadakan dialog dan perbincangan mengenai rang undang-undang itu dengan golongan berkenaan.
"Inilah kelebihan yang ada pada PAS. Kita bukan ambil sikap tergopoh-gapah.
"PAS sedia dengan sebarang dialog dengan mana-mana pihak untuk memahami
tanggungjawab kita untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
"Kita kemukakan gagasan penyelesaian cara Islam bukan bermakna tidak
mengiktiraf agama lain. Kita membawa penyelesaian Islam sebab kita yakin
Islam bersifat rahmat untuk manusia," katanya ketika menyampaikan
ucapan merasmikan Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-57 di Kelantan Trade
Centre, petang tadi.
Tuan Ibrahim juga membidas tindakan MCA, MIC dan Gerakan yang mengugut
meletakkan jawatan sekiranya Umno-Barisan Nasional (BN) berkompromi
dengan PAS berkenaan RUU itu.
"Kita saksikan bagaimana munculnya pelbagai bantahan daripada komponen
BN, iaitu MCA, MIC dan Gerakan yang mengugut meletak jawatan kalau
menerima enakmen tersebut.
"Sepatutnya mereka meletak jawatan dalam isu 1Malaysia Development
Berhad (1MDB), berani beri amaran kepada kerajaan supaya letak kerajaan
atas bebanan ditanggung rakyat," tegasnya.
Khamis lalu Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memohon
menangguhkan usul meminda Akta 355 walaupun rang undang-undang
persendirian itu diberikan keutamaan untuk dibahaskan pada sidang
Parlimen baru-baru ini.
Hadi memohon usul itu ditangguhkan ke sesi akan datang dan ia diluluskan oleh Speaker Pandikar Amin Mulia.
Beliau berkata RUU untuk meminda Akta 355 yang bertujuan membuka ruang
kepada pelaksaan hudud di Kelantan ditangguhkan bagi memberi peluang
‘masa’ kepada ahli Parlimen.
Sementara itu Tuan Ibrahim menyifatkan penganjuran muktamar pada tahun
ini sebagai satu kejayaan 'membersihkan' kumpulan yang menentang Hadi,
sebagaimana yang berlaku pada Muktamar PAS ke-56, tahun lalu.
Bagaimanapun tegasnya, krisis yang berlaku pada ketika itu tidak langsung menggoncangkan PAS secara keseluruhannya.
"Muktamar kali ini dilakukan selepas berlaku sedikit gegaran, mungkin di tiga skala Ritcher.
"Sedikit ribut yang mematahkan ranting, dahan dan daun kering. Tetapi
yakinlah yang akan menggantikan ranting, dahan dan daun kering itu
adalah pucuk subur dan hijau yang akan menyemarakkan pokok itu," ujarnya
sambil disambut laungan takbir perwakilan.
Tuan Ibrahim juga berkata PAS 'tidak kisah' hilang rakan dalam
perjuangan politik asalkan parti itu tetap istiqamah dalam
memperjuangkan agenda Islamnya.
Ia dipercayai merujuk kepada terkuburnya Pakatan Rakyat (PR) pada tahun
lalu selepas DAP dan PAS menamatkan tahaluf siyasi kerana agenda parti
Islam berkenaan membawa hudud.
"Kita hilang rakan sebab istiqamah dalam dasar yang kita bawa. Tetapi
yakinlah selagi mana kita berada atas landasan sebenar, Allah tidak akan
sia-siakan kita dan tidak akan mengecewakan kita," tegas pemimpin parti
itu.
Perpecahan PR akhirnya membawa PAS membentuk Blok Ketiga bersama Parti
Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) dalam memperjuangkan budaya politik
matang dan sejahtera.
Sementara PKR dan DAP bersama dengan parti serpihan PAS iaitu Parti Amanah Negara (PAN) menerusi Pakatan Harapan (PH).
No comments:
Post a Comment