Sunday, May 29, 2016

Ahli Amanah diarah terjemahkan Islam rahmat untuk semua di alam nyata

BORHAN AHMAD
 
 
Mohamad SabuMohamad Sabu


Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu mengarahkan ahlinya agar terus memperjuangkan konsep 'good governance' dan menterjemahkan konsep 'Islam rahmat untuk semua' di alam realiti.

Dalam satu kenyataannya, Mohamad berkata,  Maqasid Syariah perlu terus diperluaskan dan diperbincangkan sehingga ke peringkat perlaksanaan.

Perkara yang baik, jika tujuannya disalahgunakan atau dikelirukan, maka ia akan membawa padah, katanya.

Beliau meyakini bahawa syariat Islam adalah satu perundangan yang dapat menyelesaikan masalah di antara manusia kerana tujuan syariat itu sendiri adalah untuk membawa kebahagiaan kepada semua masyarakat.

Katanya, hari ini jutaan umat Islam menjadi pelarian di negara sendiri.

Tumpuan kepada good governance tidak menjadi keutamaan masyarakat Islam seluruh dunia.

"Kejadian yang berlaku di Afghanistan, Iraq, Syria, Somalia, Libya, Sudan dan beberapa negara lain hendaklah menjadi pengajaran kepada kita semua," katanya.

Menurut beliau, negara barat yang hancur akibat perang dunia pertama hingga perang dunia kedua, bangun semula di atas sifat good governance dan akhirnya mereka muncul membina negara dan masyarakat mereka.

Walaupun tidak sempurna, tetapi keadaan mereka menjadi lebih baik sehingga umat Islam datang menumpang dan berteduh di negara mereka, katanya.

"Di Malaysia, soal good governance makin jauh ke belakang. Sekarang Malaysia makin dihina kerana rasuah dan penyelewengan yang dilakukan oleh pemerintah. Kenapa rasuah tidak menjadi isu utama kepada umat Islam?" soal beliau.

Katanya, Ketua Menteri Pulau Pinang mungkin boleh didakwa di mahkamah jika kerajaan ingin melakukannya.

Kakitangan Pejabat Menteri Besar Selangor boleh didakwa di mahkamah jika pemerintah mahu berbuat demikian, katanya.

"Tetapi, bolehkah pihak pemerintah mendakwa Perdana Menteri yang mengaku menerima 2.6 bilion?

"Peguam Negara, polis dan SPRM menjadi mangsa sebelum tindakan dikenakan terhadap orang nombor satu negara itu," katanya.

Oleh itu, katanya, parti Amanah memperjuangkan bahawa tiada pilih kasih dalam perlaksanaan undang-undang sama ada terhadap golongan bangsawan, pemerintah, ataupun rakyat biasa.

Ia sesuai dengan Sabda Rasulullah bahawa; "Demi Allah yang jiwaku ada di tanganNya, seandainya Fatimah putri Muhammad mencuri niscaya aku memotong tangannya.” (Bukhari dan Muslim), katanya.

"Anggota Amanah jangan ragu atau terpanggil dengan seruan-seruan lain. Terus melaksanakan perjuangan Islam Rahmat Untuk Semua dengan good governance menjadi idaman kita.

"Terus bersama dengan rakan-rakan kita dalam Pakatan Harapan untuk membina Malaysia baru akan datang supaya kita berupaya menterjemahkan konsep Islam Rahmat Untuk Semua. Maqasid Syariah perlu terus diperluaskan dan diperbincangkan sehingga ke peringkat perlaksanaan," katanya.

No comments: