shahbudindotcom
Apakah pentingnya keputusan pilihanraya kecil Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kepada masa depan Najib Razak?
Di
sebalik hakikat bahawa kedudukan kerajaan Pusat tidak tergugat dengan
kekalahan BN di kedua-dua kerusi tersebut, namun pentingnya keputusan di
dua pilihanraya itu kerana ia adalah gambaran mesej penolakan atau
penerimaan terhadap kepimpinan Najib yang semakin terbelit dengan banyak
isu kebelakangan ini.
Meskipun
pertandingan tiga penjuru semakin sukar dielakkan kerana Pas sudah
menutup pintu rundingan dengan PKR dan dalam masa yang sama Hadi Awang
sudah pun diberikan "hadiah" berupa kebenaran membentangkan usul
persendirian berkaitan hudud di Parlimen, tetapi sebagaimana yang kerap
disebut oleh Tun Mahathir Mohamad bahawa siapa juga calon yang menentang
BN, mereka bukan lagi mewakili pembangkang, sebaliknya adalah mewakili
rakyat.
Ini
bermakna, dalam pertandingan tiga penjuru nanti, calon Pakatan Harapan
adalah mewakili rakyat, manakala calon BN adalah mewakili masa depan
Najib.
Calon Pas pula, walaupun berkedudukan sebagai pembangkang, tetapi akan dikenali sebagai pro Najib dan memusuhi Pakatan Harapan.
Dengan
usul hudud yang diberi kebenaran, kempen Pas di dua pilihanraya ini
adalah lemah lembut terhadap Najib dan UMNO, sebaliknya akan bertukar
keras dan agresif terhadap Pakatan Harapan.
Oleh itu, sebarang keputusan, sama ada BN menang atau kalah, yang lebih terkesan dengannya ialah Najib.
Jika
kalah di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, ia adalah mesej yang semakin
jelas tentang penolakan daripada rakyat terhadap Najib. Untuk memulihkan
kembali sokongan rakyat menghadapi PRU 14, cara yang paling mudah tentu
saja Najib mesti diundurkan dengan seberapa segera.
Jika tidak, dengan Najib, UMNO dan semua pemimpinya sekali akan terkubur dalam pilihanraya umum nanti.
Tidak
mustahil, kekalahan BN juga secara perlahan-lahan akan merangsang
kumpulan Zahid Hamidi menerima hakikat bahawa Najib adalah beban yang
tidak boleh diselamatkan lagi sebagaimana yang selalu disebut oleh Tun
Mahathir, bahkan mungkin mula bertindak secara diam-diam untuk memberi
lebih tekanan kepada pengunduran Perdana Menteri.
Kiranya
calon BN menang di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, ia adalah kemenangan
mutlak bagi Najib. Bukan saja Najib akan berbangga dengan kemenangan
itu kerana menganggap sebagai penerimaan rakyat terhadapnya dan gambaran
pengundi tidak terkesan dengan isu 1MDB, kekayaan keluarga, pembaziran,
kemewahan dan wang RM2,600 juta dalam akaun peribadi, malah semua
pemimpin UMNO yang sudah terhutang budi "cash is king" akan lebih
mendewa-dewakan lagi Najib.
Sebab
itu, keputusan dua pilihanraya ini sangat penting bagi Najib. Demi
pentingnya untuk menang itu jugalah yang menyebabkan Pas kini bagaikan
sudah diikat untuk terus menjadi pengacau kepada Pakatan Harapan
menjelang kira-kira seminggu sebelum hari penamaan calon diadakan.
Sekiranya
model pertandingan tiga penjuru yang dijelmakan di Sungai Besar dan
Kuala Kangsar mampu memberi kejayaan kepada Najib, pastilah Pas akan
terus dijaga dan digula-gulakan sehingga tarikh pilihanraya akan datang.
Yang
lebih penting daripada itu, kemenangan di Sungai Besar dan Kuala
Kangsar akan membuatkan Najib tidak menunggu sehingga tahun 2018 untuk
mengadakan pilihanraya umum.
Kemenangan
di dua kerusi itu akan mendorong Najib untuk mengadakan pilihanraraya
umum secara mengejut, mungkin sebelum berlabuhnya kalender 2016.
Untuk
mencapai kemenangan dalam pilihanraya mengejut itu, Najib perlu
mengadakannya dengan seberapa segera kerana di seluruh dunia sekarang
ini sedang terbongkar satu demi satu kebobrokan mengenai 1MDB.
Daripada
perbicaraan di Singapura, prosiding jenayah terhadap Bank BSI SA di
Switzerland, penutupan cawangan BSI di Singapura sdhinggalah yang
terbaru WSJ telah mendedahkan sepucuk surat daripada Bank Negara yang
mengesahkan Good Star Ltd adalah milik Jho Low dan bukannya kepunyaan
PetroSaudi.
Surat
itu secara langsung mengesahkan penjelasan kerajaan bahawa Good Star
adalah milik PetroSaudi dan tiada kaitan dengan Jho Low, sama sekali
tidak benar dan merupakan suatu pembohongan.
Terdedahnya
surat tersebut juga menyerlah sebab sebenar mengapa Hasan Ariffin,
Pengerusi PAC memadamkan fakta Bank Negara itu dalam Laporan PAC yang
dibentangkannya di Parlimen.
Hakikatnya,
dengan persedaran masa, apatah lagi jika menunggu sehingga 2018,
mungkin lebih banyak pendedahan berfakta mengenai 1MDB dan wang RM2,600
yang terbongkar kepada umum yang tidak mampu ditangkis oleh Najib dan
dihadapi oleh UMNO.
Menjelang
tahun 2018 juga, tujuh buah negara yang sudah membuka kertas siasatan
berkaitan rasuah dan penggubahan wang haram mengenai 1MDB tidak mustahil
sudah beralih kepada proses pendakwaan dan menjatuhkan hukuman.
Siasatan
mengenai pemilikan harta mewah di Amerika Syarikat dan London
melibatkan anak tiri Najib, Riza Aziz yang turut dikaitkan dengan dana
1MDB barangkali juga sudah diketahui kebenarannya menjelang 2018 itu
nanti.
Semua
itu akan lebih menjejas dan mencalarkan nama Najib jika pilihanraya
umum diadakan pada 2018 kerana 1MDB adalah idea dan anak emas yang
selalu dibanggakannya sebelum ini.
Selain
itu, kedudukan Pakatan Harapan yang sedang berpecah ketika ini adalah
merupakan kesempatan terbaik bagi Najib memasang lukah dan seterusnya
meraih laba daripadanya.
Pas
pula, disebabkan peranannya telah menghasilkan kejayaan di Sungai Besar
dan Kuala Kangsar, akan terus dijadikan senjata untuk menghuru-harapan
kedudukan Pakatan Harapan.
Maka,
selepas kemenangan di Sungai Besar dan Kuala Kangsar, ia adalah
dorongan paling kuat untuk Najib mengadakan pilihanraya mengejut demi
menyelamatkan masa depan politiknya.
No comments:
Post a Comment