Tuesday, May 31, 2016

Ugut letak jawatan tapi isu 1MDB semua senyap

Tuan Ibrahim Tuan Man
Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man - Foto Sinar Harian oleh JAZALY AMRY JAAFAR


KOTA BHARU - Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man menyelar tindakan beberapa pimpinan komponen BN yang mengugut untuk meletakkan jawatan gara-gara Rang Undang-undang (RUU) Persendirian Akta Mahkamah Syariah (bidang kuasa jenayah) pindaan 2016.

Namun, katanya ketika negara berdepan skandal melibatkan syarikat pelaburan strategik, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), tiada pula mana-mana parti komponen kerajaan yang berbunyi.

"Komponen BN, MCA, MIC ugut nak letak jawatan kalau diterima enakmen tersebut. Sepatutnya mereka ugut letak jawatan ketika negara berdepan isu 1MDB. Sepatutnya mereka berani memberi amaran kepada kerajaan untuk meletakkan jawatan dengan bebanan yang ditanggung oleh rakyat.

"Ke mana mereka ketika negara sedang bergelut dengan kemelut 1MDB yang tak selesai, derma yang dipulangkan, bebanan rakyat GST termasuk isu melanda anak-anak muda kita yang tiada kerja?.

"Semua ini masalah rakyat yang perlu diberi perhatian bukan menyekat hak orang Islam untuk mengamalkan ajaran dan agama mereka," katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian pada Muktamar Pemuda Pas ke-57 di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN:MIC akan dapat pandangan PM berhubung RUU Persendirian]

Menurutnya lagi, Pas sentiasa bersedia mengadakan dialog dengan mana-mana pihak untuk memberi penjelasan.

"Kita bawa usul ini dan kita sedia beri ruang untuk dibahas. Inilah kelebihan yang ada pada Pas. Kita bukan gopoh-gapah. Kita beri ruang.

"Beberapa bulan akan datang adalah waktu yang perlu dijadikan masa dan ruang untuk dikaji akta tersebut. Pas bersedia mengadakan sebarang dialog dengan mana-mana pihak untuk memahami tanggungjawab kita untuk meningkatkan bidang kuasa Mahkamah Syariah," katanya.

Katanya lagi, Muktamar kali ini menjadi medan meraikan kejayaan Pas apabila Presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang akhirnya telah membentangkan RUU tersebut di Dewan Rakyat, minggu lalu.


No comments: