Oleh Nadia Hanafi
KUALA LUMPUR : Kerajaan Pusat perlu menyegerakan pembinaan hospital di Kapar, Klang ekoran peningkatan jumlah pesakit di kawasan itu.
Ahli Parlimen Kapar, Manivanan Gowin berkata, ketiadaan hospital menyukarkan pesakit mendapatkan rawatan kerana jarak hospital paling dekat adalah terlalu jauh.
Hospital Tengku Ampuan Rahimah di bandar Klang, agak jauh dari penempatan penduduk.
Katanya, masalah tersebut sering diadukan penduduk yang begitu mengharapkan kemudahan itu dibina sekitar kawasan mereka dan tidak terlalu jauh.
“Saya beri amaran kepada Kerajaan Pusat, hospital Parlimen Kapar perlu diselesaikan secepat mungkin.
“Kalau seseorang itu meninggal kerana ajal saya terima, tetapi kalau dia meninggal disebabkan tiada hospital berdekatan, ambulans tiba tidak ikut masa kerana jalan jem, ini adalah sebab kecuaian dan kelewatan membina hospital. Tak boleh dianggap perkara mudah,” kata Manivanan.
Beliau berkata, pembinaan hospital yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada Pilihan Raya Umum Ke-12 sehingga kini masih belum dimulakan.
Katanya, setiap kali dibangkitkan di Dewan Rakyat, jawapan yang diberikan berlainan.
Manivanan berkata, Sime Darby mahu kerajaan membeli tanah seluas 50 ekar pada harga RM45 juta, dijadikan alasan terbaru kelewatan pembinaan hospital tersebut.
“Kenapa perkara ini tidak dikenal pasti dari hari pertama? Pembinaan hospital ini bukan tujuan komersil tetapi untuk kepentingan awam.
“Ada banyak projek persekitaran melibatkan Sime Darby. Sepatutnya ada rundingan antara kerajaan dengan syarikat tersebut atas kebenaran projek yang diberikan kepada mereka,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, hari ini.
Terdahulu, Manivanan mengemukakan soalan kepada Menteri Kesihatan mengenai status terbaru pembinaan Hospital Kapar dalam sesi jawab lisan.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Hilmi Yahya dalam jawapannya berkata, Sime Darby hanya memaklumkan tapak itu perlu dibeli kerajaan dalam mesyuarat pada 5 Mei lalu.
Katanya, soal pembelian tanah itu tidak disebutkan pada peringkat awal.
No comments:
Post a Comment