KUANTAN: Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi
mengingatkan bekas pemimpin negara dan parti agar tidak menjadi seperti
‘kitab lama’ yang tidak dihormati generasi sekarang.
Tanpa menyebut mana-mana individu, beliau berkata seorang pemimpin
seharusnya menjadi ‘kitab’ yang terus mendapat penghormatan dan menjadi
rujukan generasi walaupun tidak lagi memegang jawatan penting.
“Cukup-cukuplah bila zaman kita telah berlalu. Kalau kita sudah jadi
sebuah kitab yang tidak boleh dibaca, generasi kita tidak akan
mengoyakkannya…kita akan letak di atas, jika berhabuk pun akan dicuci.
“Tetapi kitab lama kena duduk diam-diam. Jangan jadi kitab di lantai
yang mengotorkan…Tetapi saya tidak merujuk sesiapa, sekadar mengingatkan
diri sendiri dan rakan-rakan,” katanya ketika berucap merasmikan Malam
Sumbangsih UMNO Paya Besar 2016 di sini, malam tadi.
Majlis yang diadakan bagi menghargai sumbangan ahli UMNO bahagian itu
turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, Ketua UMNO Paya
Besar Datuk Abdul Manan Ismail dan 3,600 anggota parti.
Zahid yang juga timbalan perdana menteri menggesa pemimpin tersebut
supaya menghargai semua pemimpin baharu yang diberikan kepercayaan,
amanah dan mendapat sokongan padu daripada peringkat akar umbi.
“Apabila zaman kita berlalu jangan ingat bahawa kependirian, kedudukan
dan keberadaan kita selama ini disebabkan kebijaksanaan dan kekuatan
kita semata-mata atau sumbangan yang kita lakukan.
“Ingatlah ketika pemimpin dan organisasi itu diuji. Bagaimana semasa
organisasi terbahagi dua dan terpaksa didaftarkan semula. Itu semua
sejarah.
“Generasi kita perlu perkukuhkan semula parti kerana apabila kita kuat baharu institusi kepimpinan akan kuat,” katanya.
No comments:
Post a Comment