Friday, May 27, 2016

Enggan bayar pampasan mangsa banjir kilat, DBKL tak bertanggungjawab

lipeng



KUALA LUMPUR: Walaupun lebih seratus kenderaan mengalami kerosakan akibat banjir kilat di jalan raya ibu kota pada 12 Mei lalu, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) enggan memberi apa-apa pampasan kepada pemilik kenderaan yang terlibat.

Menyifatkan tindakan DBKL itu amat tidak bertanggungjawab, Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan, Lim Lip Eng, berkata seperti mangsa bencana alam yang lain, kerajaan turut bertanggungjawab membantu semua individu yang mengalami kerugian disebabkan banjir kilat itu.

“Kita tahu bahawa kerajaan ada menyumbang bantuan wang, makanan dan sebagainya kepada mangsa banjir atau mana-mana bencana alam sebelum ini. Jadi, saya tidak faham mengapa lebih seratus pemilik kenderaan itu dikecualikan.

“Ia jelas membuktikan bahawa Kementerian Wilayah Persekutuan tidak ikhlas dan tidak berperikemanusiaan. Semua pemilik kenderaan itu juga perlu dibantu seperti mangsa-mangsa yang lain,” katanya kepada Roketkini hari ini.

Hujan lebat yang bermula kira-kira lewat petang di ibu kota pada 12 Mei lalu telah menyebabkan banjir dan menjejaskan empat jalan utama, iaitu Jalan Bangsar, Jalan Semantan, Jalan Pantai Baharu dan Jalan Pudu.

Kejadian itu mengakibatkan lebih seratus kenderaan ditenggelami air dan mengalami kerosakan teruk di hadapan kompleks Istana Negara serta menyebabkan kesesakan lalu lintas luar biasa ekoran banyak kenderaan terkandas di tengah-tengah jalan raya.

Namun, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Loga Bala Mohan mengeluarkan kenyataan bahawa DBKL tidak akan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku atas alasan “ia tindakan Tuhan dan DBKL tidak mengawal hujan dan angin.”

Lip Eng yang juga Ahli Parlimen Segambut menegaskan, kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap bencana tersebut kerana pembangunan di ibu kota yang tidak terkawal serta kurang pemantauan merupakan antara punca ia berlaku.

“Memang hujan pada hari tersebut luar biasa lebat, tetapi saya percaya pembinaan tak terkawal bangunan pencakar langit, projek MRT atau kerja pelebaran terowong Jalan Duta ada menyumbang kepada berlakunya banjir itu.

“Malah, kos memberi pampasan kepada seratus pemilik kenderaan itu tidaklah besar mana, jadi saya kecewa mengapa kerajaan enggan membayarnya kepada mangsa.

“Sedangkan, pegawai tinggi kerajaan boleh pula dihantar ke luar negara menaiki jet mewah dan dapat menginap di hotel berkelas lima bintang yang menelan berjuta-juta ringgit,” katanya. – Roketkini.com



No comments: