Thursday, December 17, 2009

Mayat ketiga rentung bawah runtuhan

BERITA HARIAN ONLINE


KOTA KINABALU: Satu lagi mayat rentung ditemui pagi semalam di bawah runtuhan rumah papan yang hangus dalam kebakaran membabitkan 60 rumah di penempatan setinggan Kampung Air Tengah, di Semporna, petang kelmarin, menjadikan keseluruhan mangsa kini tiga beradik.

Usaha sedang dijalankan bagi mengesan seorang lagi mangsa, dipercayai abang atau kakak ketiga-tiga mangsa berikutan identiti mayat ketiga yang dijumpai kira-kira jam 8 pagi itu belum dikenal pasti jantinanya.

Sebelum ini, mayat kanak-kanak lelaki berusia dua tahun dan kakaknya tiga tahun dijumpai dalam keadaan rentung pada jam 7 dan 8 malam kelmarin.

Sumber berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan oleh anggota polis dan Jabatan Bomba dan Penyelamat sejak malam kelmarin menjumpai mayat ketiga di bawah runtuhan papan.

Mayat dipercayai abang atau kakak kedua-dua beradik terbabit dipercayai berusia antara lapan dan 10 tahun dikatakan terperangkap di dalam rumah ketika kejadian.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Semporna, Asisten Superintendan Tan Guan Chai, berkata usaha sedang dijalankan bagi mengesan seorang lagi abang atau kakak ketiga-tiga mangsa.

"Ibu bapa ketiga-tiga beradik itu membuat laporan polis kerana empat anak mereka dipercayai berada dalam rumah ketika kejadian berikutan mereka tiada di rumah kerana keluar bekerja," katanya kepada Berita Harian, ketika dihubungi, semalam.

Tan berkata, mayat ketiga itu dihantar ke Hospital Semporna untuk dibedah siasat.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.45 petang kelmarin, kira-kira 60 rumah setinggan yang dibina di atas air musnah dalam kebakaran berkenaan dan mengakibatkan lebih 500 penghuninya hilang tempat tinggal.

Pegawai Perhubungan Ibu Pejabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Mohd Effendi Ramin, berkata bomba menerima panggilan pada jam 3 petang menghantar tiga jentera ke tempat kejadian.

Kebakaran berjaya dikawal pada jam 3.45 petang dan dipadamkan sepenuhnya pada jam 7 malam. Mangsa kebakaran ditempatkan di dewan orang ramai di kampung berhampiran dan rumah sanak saudara.

No comments: