Friday, December 25, 2009

HUSM rintis kaedah IORT rawat barah


Dr. Zamzuri Idris melakukan pembedahan terhadap pesakit barah otak menggunakan kaedah IORT di Hospital Universiti Sains Malaysia, Kota Bharu baru-baru ini.

UTUSAN ONLINE

KOTA BHARU – Pesakit kanser di negara ini tidak perlu lagi bimbang dengan risiko rawatan kemoterapi yang menyakitkan dan trauma berpanjangan melalui kaedah baru yang diperkenalkan oleh Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian di sini.

Ia dapat dilakukan dengan kemudahan tenaga pakar di institusi itu di samping pembelian mesin ‘Intrabeam’ berharga RM4.5 juta dari Jerman dan merupakan satu-satunya mesin seumpamanya di negara ini.

Seorang penghidap barah otak yang menjalani pembedahan Intra Operative Radioterapy (IORT) pada 13 Disember lalu menjadi pesakit pertama menerima rawatan tersebut dengan melibatkan pancaran radiasi terus pada bahagian tumor tanpa menjejaskan tisu-tisu yang sihat.

Menurut ketua pasukan pembedahan itu, Dr. Zamzuri Idris, ia merupakan satu lagi rentetan sejarah baru bagi HUSM dan dunia perubatan di negara ini yang memberikan harapan baru kepada pesakit barah.

‘‘Melalui kaedah ini, pesakit hanya perlu menjalani kemoterapi sekali berbanding dua kali sebulan selama enam bulan sehingga boleh menjejaskan penampilan fizikal pesakit dan emosi mereka.

‘‘Sebelum ini kebanyakan pesakit bukan sahaja berhadapan dengan ketakutan’ kerana menghidap kanser tetapi juga trauma dengan rawatan kemoterapi yang berulang kali dalam tempoh yang agak panjang selepas pembedahan,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Zamzuri, pihaknya difahamkan selain HUSM, 20 mesin Intrabeam telah digunakan di Australia, United Kingdom (UK), Amerika Syarikat (AS), Eropah, India dan Jepun yang mengkhususkan bagi rawatan barah tertentu.

‘‘Melalui kaedah pembedahan IORT, hanya bahagian ketulan atau ketumbuhan yang dikenal pasti barah akan ditanda menggunakan sinar radioterapi mesin tersebut sebelum “ditembak” untuk mematikan sel-sel barah,’’ ujarnya.

Menurutnya, mesin tersebut juga digunakan untuk merawat pelbagai jenis barah pada anggota lain termasuk payu dara, leher, wajah, prostat, rahim dan usus.

‘‘Penggunaan mesin ini tidak mencacatkan penampilan anggota lain di sekitar kawasan kanser kerana tumpuan rawatan lebih pada kawasan yang dikenal pasti dijangkiti sahaja,” katanya.

Bagaimanapun katanya, kejayaan pembedahan itu bergantung pada tahap kanser yang dihidapi termasuk dikesan pada tahap awal dan berukuran antara dua hingga empat sentimeter.

Tambahnya, hanya ketulan atau ketumbuhan kanser yang kurang agresif berpeluang menjalani pembedahan tersebut.

Zamzuri berkata, kaedah yang sama dapat digunakan untuk merawat kanser payu dara dengan lebih berkesan, bahkan pembedahan itu memberi harapan baru kepada wanita yang sebelum ini bimbang dengan kehilangan anggota tersebut.

‘‘Sebelum ini kebanyakan wanita bimbang mereka akan hilang kewanitaan apabila payu dara terpaksa dibedah dan dibuang kerana dijangkiti kanser kerana dikhuatiri merebak ke anggota lain,” jelasnya.

Katanya, pembedahan perintis yang dilakukan pada 13 Disember dan kes kedua keesokkan harinya memperlihatkan pencapaian yang membanggakan.

Kes pertama melibatkan ketumbuhan luar otak (Glioblasma multiforme) dan kes kedua ketumbuhan dalam otak (Adenocarcinoma).

Kedua-dua kes itu dikendalikan sekumpulan sembilan pakar diketuai Pakar Bedah Neuro, Dr. Zamzuri Idris.

Pakar lain ialah Patologis, Dr. Venkatesh R. Nair; Onkologis Klinik, Prof. Madya Dr. Biswa Mohan Biswas; dua Pakar Perubatan, Dr. Nik Ruzman Nik Idris dan Dr. Lutfi Yusof serta dua Radiologis, Dr. Win Mar dan Salmah Jalaluddin serta dua Pakar Bedah Am, Dr. Syed Hassan Syed Abdul Aziz serta Dr. Meng Leow Voon.

No comments: