BERITA HARIAN ONLINE
KUALA LUMPUR: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan mendapatkan penjelasan syarikat First Dairy Farm Sdn Bhd (First Dairy) dan pengilang produk tenusu bagi mengenal pasti punca susu dibekalkan syarikat itu ditolak.
Timbalan Menterinya, Datuk Johari Baharum, berkata lawatan yang diketuai beliau semalam, diharap dapat mencari jalan penyelesaian dan membantu syarikat itu beroperasi seperti sedia kala.
“Kementerian dan Jabatan Veterinar akan membuat siasatan terperinci kandungan susu keluaran First Dairy sama ada tercemar atau sebaliknya sehingga mengalami kerugian ratusan ribu ringgit kerana tiada permintaan daripada pengilang.
“Ini bukan masalah kecil kerana membabitkan kerugian ratusan ribu ringgit. Kementerian sudah meminta hasil laporan terkini daripada Jabatan Veterinar berhubung kandungan susu yang dibimbangi mengandungi bahan tercemar sehingga tidak mendapat permintaan pengilang,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar semalam berhubung syarikat pengeluaran susu segar terbesar di negara ini terpaksa menanggung kerugian beratus ribu ringgit selepas membuang lebih 90,000 liter susu segar berikutan pengilang produk tenusu menolak bekalan sejak awal bulan ini.
Johari berkata, sekiranya siasatan mendapati hasil tenusu itu tidak bermasalah dan tidak tercemar, pengilang produk tenusu di negara ini tidak boleh menolak bekalan berkenaan.
“Memang diakui mungkin pengilang berminat untuk mengambil bekalan daripada Australia dan New Zealand, namun mereka tidak boleh berbuat demikian kerana pembekal tempatan diberi keutamaan .
No comments:
Post a Comment