KUALA LUMPUR: Gerakan Rakyat Integriti dan Anti Korupsi (Gerak Malaysia) gesa ditubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja bagi menyiasat dakwaan seorang penulis buku antarabangsa, Barry Wain bahawa sepanjang 22 tahun pentadbiran perdana menteri ke-empat hampir RM100 bilion dibazirkan dan berlakunya rasuah.
Gerak juga menggesa agar siasatan Suruhanjaya DiRaja itu nanti melibatkan dakwaan oleh Tun Dr. Mahathir terhadap mantan perdana menteri ke-lima, Tun Abdullah Ahmad Badawi yang melibatkan penggunaan wang bernilai RM 270 bilion dalam masa lima tahun.
Demikian kata Mohd Nazree Mohd Yunus, Pengerusi Gerak Malaysia dalam satu kenyataannya.
Menurut Nazree, siasatan yang adil perlu dilakukan bagi mengembalikan nilai kredibiliti kepimpinan negara dan ranking Malaysia dalam tangga persepsi indek rasuahnya yang jatuh pada tangga ke-57 pada tahun 2009.
Dakwaan berlakunya penyelewengan dan rasuah sepertimana yang didakwa melibatkan kedua-dua mantan perdana menteri ini wajar disiasat kerana ianya melibatkan suatu jumlah yang begitu besar sehingga mencecah billion ringgit, tambahnya.
"Jika dakwaan ini tidak disiasat sebaiknya, Gerak bimbang fenomena penyelewengan dan rasuah berskala mega akan menjadi amalan para pemimpin negara pada masa hadapan.
"Hakikat ini tidak boleh kita nafikan kerana situasi kekukuhan ekonomi negara juga amat bergantung kepada tahap integriti pengurusan sumber khazanah negara," katanya lagi.
Menurut Nazeri, kebolehpercayaan para pelabur asing terhadap kestabilan ekonomi negara akan tergugat jika pemain-pemain rasuah politik-ekonomi secara terus-terusan menjadikan sektor perekonomian negara sebagai sarang rasuah yang boleh mengakibatkan kualiti ekonomi sesebuah negara merudum.
Jika khazanah negara seperti petroleum dan sumber asli yang lain tidak diuruskan dengan penuh integriti, maka tidak mustahil untuk kita menegaskan bahawa ketidakstabilan ekonomi yang agak meruncing pada hari ini adalah diakibatkan oleh perlakuan jenayah rasuah berskala mega, katanya.
Rasuah berskala mega seumpama ini perlu dihentikan dengan memulakan pendakwaan segera terhadap individu-individu berprofil tinggi termasuklah yang melibatkan kepimpinan tertinggi negara dan negeri, tambah beliau lagi. |
No comments:
Post a Comment