Saturday, December 26, 2009

Kemas hantar memorandum bela nasib 15,000 ahlinya

UTUSAN ONLINE


SEREMBAN - Kesatuan Keluarga Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) menyerahkan memorandum kepada Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal baru-baru ini bagi membuat beberapa tuntutan dalam usaha membela nasib anggotanya.

Presidennya, Ali Majid berkata, langkah itu adalah bagi menyuarakan enam tuntuntan dalam menjamin kehidupan yang lebih bermutu terhadap 15,000 anggotanya yang berstatus kontrak di negara ini.

Menurutnya, memorandum yang telah diserahkan baru-baru ini itu merupakan cadangan terhadap kementerian berkenaan untuk tujuan pelaksanaannya.

''Antara isi kandungan memorandum itu termasuk cadangan memberikan kad kemudahan perubatan kepada anggota Kemas yang telah bersara dan pengkitirafan sijil dan diploma pendidikan awal kanak-kanak (guru Kemas) dari Universiti Malaya yang masih tidak diiktiraf Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

''Selain itu, antara tuntuntan lain termasuk langkah menaikkan taraf jawatan anggota dari tangga N11 menjadi N17, menaikkan jawatan anggota bertaraf penyelia yang telah berkhidmat selama 30 tahun menjadi pegawai setaraf dengan penjawat awam," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Tambah Ali, memorandum itu juga turut menyuarakan cadangan agar pemberian bantuan turut diberi keutamaan kepada anggota yang telah bersara dalam menjalankan Industri Kecil dan Sederhana (IKS).

No comments: