Friday, December 25, 2009

Dr. Sheikh Muszaphar, Dr. Halina bertunang 1 Januari

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Angkasawan Negara, Datuk Dr. Sheikh Muszaphar Shukor memilih 1 Januari 2010 sebagai hari istimewa untuk mengikat tali pertunangan dengan Dr. Halina Mohd Yunus.

Jejaka kacak yang mempunyai jutaan peminat itu bakal melangsungkan pertunangan dengan Dr. Halina di Hotel Allson Kelana, Seremban Negeri Sembilan.

Dr. Halina, 29, adalah anak jati Negeri Sembilan yang kini bertugas sebagai doktor bius di Hospital Selayang dekat sini.

Majlis pertunangan yang bermula pukul 4 petang itu akan dihadiri kira-kira 200 tetamu jemputan terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, rakan-rakan rapat serta pihak media.

Sewaktu berkongsi detik bahagia ini, Dr. Muszaphar, memberitahu Utusan Malaysia, debaran bakal menjadi tunang orang tidak sama dengan detik ke angkasa menaiki Soyuz TMA-11 yang dilancarkan oleh Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS) pada 10 Oktober 2007.

Dr. Muszaphar, 37, mengaku tidak sabar untuk menempuh satu lagi pengalaman baru bersama gadis pilihan serta mendapat restu keluarga kedua-dua pihak.

"Debaran ini makin terasa. Saya tidak sabar untuk menempuh satu lagi detik manis dalam kehidupan iaitu menjadi tunangan dan bakal suami kepada gadis yang saya cintai.

"Saya sangat gembira impian untuk merealitikan hubungan yang sekian lama terjalin kepada ikatan rasmi,'' katanya yang telah mengenali Dr. Halina sejak lapan tahun lalu.

Beliau mengakui bukan mudah untuk mencari tarikh dan masa yang sesuai bagi mereka mengadakan majlis kerana jadual hariannya yang sangat padat.

"Saya dan Dr. Halina juga tidak begitu percaya dengan ikatan pertunangan. Kalau boleh kami mahu terus bernikah dengan majlis yang sederhana.

"Tetapi sebagai menghormati permintaan keluarga dan budaya Melayu, kami setuju mengikat tali pertunangan terlebih dahulu.

"Bagaimanapun kami mahu majlis berlangsung secara sederhana serta diberkati Allah,'' ujar beliau.

Ditanya jumlah wang hantaran yang akan diberikan kepada bakal tunangnya, beliau berkata, 'biarlah rahsia.'

Mengenai pernikahannya, Dr. Muszaphar memilih 10 Oktober 2010 sebagai memperingati detik bersejarah sempena ulang tahun ketiga beliau ke angkasa lepas.

Katanya, misi selama 11 hari itu telah berjaya dilangsungkan dari 10 Oktober 2007 pukul 9.21 malam waktu Malaysia dan selamat kembali ke bumi 21 Oktober pada pukul 6.44 petang waktu Malaysia.

"Berpeluang ke angkasa lepas adalah catatan manis dalam hidup. Saya mahu mengabadikan tarikh itu sama hari saya bergelar suami untuk kenangan seumur hayat,'' katanya.

No comments: