Saturday, December 26, 2009

Novelis Arifin Ngah meninggal

UTUSAN ONLINE


KUALA TERENGGANU – Novelis tempatan, Arifin Ngah yang lumpuh sebelah kaki selepas digigit kucing peliharaannya lima tahun lalu, meninggal dunia di rumahnya di Kampung Bukit Tunggal di sini akibat sakit.

Arifin Ngah yang turut dikenali sebagai Morifin S.M. menghembuskan nafas terakhir pada usia 70 tahun kira-kira pukul 1.15 petang ini.

Allahyarham meninggalkan isteri, Zainab Mohamad, 63, dan 12 orang anak serta kira-kira 50 orang cucu.

Zainab ketika ditemui berkata, Allahyarham Ariffin pulang ke rumah Ahad lalu selepas 20 hari menerima rawatan di hospital akibat menghidap pelbagai jenis penyakit walaupun doktor pada mulanya tidak memberi kebenaran.

‘‘Allahyarham sebelum ini menghidap pelbagai jenis penyakit termasuk kencing manis dan buah pinggang.

‘‘Sejak pulang dari hospital, Allahyarham pernah memberitahu dia bermimpi kawan-kawan lama yang sudah meninggal dunia telah datang melawatnya,” katanya.

Zainab berkata, jenazah Allahyarham Ariffin dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bukit Tumbuh di sini.

Utusan Malaysia pada 15 Mei 2006 pernah melaporkan penderitaan Allahyarham Ariffin yang digigit kucingnya bernama Putih selepas terpijak haiwan itu secara tidak sengaja ketika hendak mengambil wuduk.

Ekoran kejadian itu, pemenang Anugerah Sastera Darul Iman (ASDI) itu tidak lagi boleh menulis novel dengan begitu aktif sebagaimana lazim.

No comments: