BERNAMA
JOHOR BHARU: Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) setakat ini tidak bercadang menggantung sementara perkhidmatan bas Sani Express yang terbabit dalam kemalangan maut berdekatan Plaza Tol Ipoh Selatan awal pagi tadi yang mengorbankan 10 orang.
Pengarah LPKP, Datin Naimah Ramli, berkata syarikat bas ekspres terbabit bagaimanapun telah diarahkan untuk meningkatkan tahap keselamatan penumpang.
"Mungkin susah sikit untuk meminta syarikat mengantung operasi mereka berikutan musim cuti pada ketika ini dengan penumpang telah pun membeli tiket mereka.
"Bagaimanapun, saya telah pun bercakap dengan pemilik syarikat dan mengarahkan beliau supaya meningkatkan tahap keselamatan penumpang yang menggunakan perkhidmatannya," katanya kepada Bernama ketika dihubungi hari ini.
Naimah berkata, insiden kemalangan maut membabitkan bas ekspres itu akan dibincangkan pada mesyuarat jawatankuasa tentang kemalangan maut yang membabitkan pelbagai agensi teknikal.
"Syarikat bas ekspres terbabit juga akan diminta menghantar laporan mereka (mengenai kemalangan maut hari ini)," katanya.
Dalam kejadian kira-kira 1 pagi tadi, bas dua tingkat terbabit yang sedang dalam perjalanan ke Kangar dari Klang, Selangor terbabas dan melanggar penghadang jalan di KM272.8 Lebuhraya Utara-Selatan arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan.
Dalam kemalangan itu, 10 penumpang maut manakala dua cedera dengan seorang daripadanya parah manakala 36 lagi penumpang dan dua pemandu bas itu selamat. -
No comments:
Post a Comment