LAPORAN - AFP
LONDON: Syarikat penerbangan Scotland, Flyglobespan, diisytiharkan muflis, semalam, menyebabkan penerbangannya tergendala dan rancangan penumpang untuk menyambut musim cuti krismas bertukar menjadi kucar kacir, menurut pihak pentadbiran syarikat itu.
PricewaterhouseCoopers (PWC) berkata, pihaknya sudah melantik beberapa pentadbir selepas Globespan Group, pemilik Flyglobespan, gagal mendapatkan pelabur baru untuk syarikat penerbangan terbabit.
Pihak pentadbir berkata, hampir 800 kakitangan syarikat penerbangan berkenaan yang berpangkalan di Edinburgh, dengan jumlah kapal terbang mencecah 10 pesawat perlu melakukan tugas yang lebih.
"Pengarah membuat keputusan bahawa operasi perniagaan syarikat ini tidak boleh diteruskan lagi. Kami sedar penderitaan dialami penumpang susulan situasi ini, khususnya kepada mereka yang berada di luar negara. Ia juga turut membabitkan golongan yang suka mengembara dan sudah menempah tiket perjalanan mereka tahun ini atau 2010," kata pegawai PWC, Bruce Cartwright.
"Untuk tempoh beberapa hari ini, kami akan memberi tumpuan terhadap usaha memastikan pelanggan Globespan mendapat semua maklumat yang diperlukan bagi membolehkan mereka pulang atau menentukan langkah seterusnya, sama ada wang akan dipulangkan," katanya lagi.
Pihak pentadbir berkata, 5,000 penumpang sudah menempah perjalanan dengan Flyglobespan dalam tempoh beberapa hari ini, dan 4,000 daripadanya adalah pelanggan yang ketika ini berada di Sepanyol, Portugal, Cyprus dan Mesir.
No comments:
Post a Comment