Monday, December 28, 2009

Syarikat penyelenggara salah guna aset tentera

Oleh Hardi Effendi Yaacob


KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat penyelenggara pesawat tentera didakwa mudah menggunakan sesebuah pangkalan tentera atau pangkalan udara, selain tidak perlu mempunyai permit tertentu dan membuat pengisytiharan kastam terhadap sesuatu peralatan ketenteraan yang dibawa keluar atau masuk ke negara ini.

Sumber memberitahu Berita Harian, setiap komponen dan alat ganti dibawa keluar atau masuk oleh syarikat terbabit biasanya berstatus ‘unrestricted clearance’ kerana membabitkan peralatan ketenteraan.

“Mengikut prosedur, kelengkapan tentera tidak perlu diisytiharkan dan diklasifikasikan sebagai maklumat sulit. Malah, proses keluar masuk semua peralatan itu tidak akan melalui pemeriksaan ketat kerana kelebihan status ‘unrestricted clearance’ dimilikinya.

“Lagipun, siapa yang mahu periksa jika syarikat proses keluar masuk barangan itu dibuat melalui pangkalan udara tentera. Dengan semua kemudahan itu, kemungkinan pembabitan syarikat penyelenggara dalam kehilangan enjin jet berkenaan memang ada,” katanya.

Berita Harian sebelum ini membongkar kehilangan dua enjin pesawat tempur milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan Udara Kuala Lumpur dan Skuadron Ke-12 Scorpion Butterworth, dipercayai didalangi petugas syarikat penyelenggara dengan bantuan orang dalam TUDM.

Kehilangan enjin GE J85 21-A itu, masing-masing pada 26 Jun dan 1 November 2007, menarik tumpuan umum kerana kes terbongkar selepas dua tahun ‘disembunyikan’, malah turut dianggap penyelewengan terbesar dalam sejarah ketenteraan, selain mendedahkan pelbagai kelemahan dalam Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sumber berkata, kemungkinan pembabitan syarikat penyelenggara itu juga disebabkan hubungan langsung mereka dengan pembekal antarabangsa, selain turut memiliki kontrak penyelenggaraan pesawat tentera negara luar.

“Ia turut diambil kira dalam siasatan polis selepas diarahkan Pejabat Peguam Negara yang mendapati siasatan sebelum ini kurang lengkap. Melihat modus operandi kes yang dirancang rapi, mustahil hanya empat suspek terbabit,” katanya.

Sumber berkata, memang sukar mengaitkan pembabitan `orang dalam’ syarikat penyelenggara dalam kehilangan enjin pertama dari Gudang Material Udara I (Matra I), Sungai Besi pada 26 Jun 2007.

“Bagaimanapun, kes kedua di Butterworth, lima bulan kemudian merungkai kemungkinan itu kerana enjin hilang bersama kontena dan dokumen berkaitan dalam penghantarannya yang yang dikawal selia syarikat penyelenggara. Ia tidak sampai ke destinasi sepatutnya,” katanya.

Difahamkan, sekurang-kurangnya tiga syarikat, dengan pegangan sahamnya turut membabitkan kenamaan dan bekas pegawai tinggi ATM memonopoli kontrak selenggara pesawat tentera bernilai jutaan ringgit sejak beberapa tahun lalu.

Menurut sumber, syarikat terbabit dipercayai memperoleh kontrak itu secara rundingan terus mengikut kepakaran masing-masing iaitu penyelenggaraan enjin, sistem avionik, badan pesawat dan peralatan keselamatan.

No comments: