Wednesday, December 16, 2009

Jual bayi: Tiga beranak didakwa


Lian Kim Wan (kanan) bersama dua anaknya, Ang Bee Ling (tengah) dan Ang Bee Churn dibawa ke Mahkamah Klang semalam untuk didakwa selepas terlibat dalam satu sindiket memperdagangkan tiga bayi perempuan di Hospital Metro Maternity, Jalan Pasar Klang, Disember lalu. – Utusan/ Mohd. Shaharani Saibi


KLANG – Seorang ejen insurans dan dua anak perempuannya yang dipercayai terlibat dalam sindiket penjualan bayi dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan memperdagangkan tiga bayi berusia sehari kira-kira dua minggu lalu.

Lian Kim Wan, 56, yang berasal dari Banting bersama Ang Bee Ling, 36, dan adiknya, Ang Bee Churn, 31, mengaku tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Yong Zarida Sazali.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa memperdagangkan seorang bayi perempuan berusia sehari yang dilahirkan oleh warga Indonesia yang dikenali sebagai Kristina untuk maksud eksploitasi.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Hospital Metro Maternity, No. 34, Jalan Pasar Klang di sini antara pukul 2 pagi dan 5 pagi, 3 Disember lalu.

Mereka juga didakwa melakukan kesalahan sama terhadap bayi perempuan berusia sehari yang dilahirkan oleh warga Filipina, Anie Lida pada masa dan tempat yang sama.

Sementara bagi pertuduhan ketiga, Kim Wan, Bee Ling dan Bee Churn didakwa memperdagangkan seorang lagi bayi perempuan berusia sehari yang dilahirkan oleh warga Indonesia, Ninik Rahayu Suhaimi.

Bagi setiap pertuduhan, tiga beranak itu didakwa mengikut Seksyen 14 Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda jika disabitkan kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nor Baya Jamil membantah sebarang jaminan diberikan kepada semua tertuduh dengan alasan kesalahan yang dilakukan serius selain tidak bermoral dan mendapat liputan media yang meluas.

Peguam Muhammad Affendy Mohd. Yusof yang mewakili ketiga-tiga tertuduh bagaimanapun memohon agar jaminan diberikan kerana Bee Ling dan Bee Churn kerana masing-masing mempunyai anak yang perlu dijaga sementara ibu mereka pula menghadapi masalah kesihatan.

No comments: