Tuesday, December 15, 2009

Pakatan tidak perlu tunggu sampai di Putrajaya

Kamarul Baharin Abbas

Tanggal 19 Disember ini menjadi detik bersejarah. Harapan untuk perubahan umpama sinar matahari yang berada di muka pintu rumah kita saban pagi.

Pemimpin akar umbi daripada tiga parti — PKR, PAS dan DAP — buat pertama kalinya duduk bersama meninjau kemungkinan menjadi sebuah gabungan rasmi yang bertentang mata satu lawan satu dengan BN.

Perubahan memerlukan bahasanya. Kita sekian lama telah mendengar slogan demi slogan.

Setidak-tidaknya, tiga pilihan raya umum yang ditempuhi sejak tercetusnya Reformasi 1998 menjadikan rakyat dan pendukung perjuangan ini mulai mengerti apa maknanya perjuangan dan "politik baru" yang sering kita laung-laungkan.

Antara lain, kita menjunjung tinggi kedaulatan rakyat, seperti yang termaktub dalam perlembagaan.

Kita menolak perjuangan politik yang berasaskan kaum, dan saya percaya atas keinsafan ini, maka kita bergerak ke arah membentuk sebuah gabungan yang menolak faham perkauman sempit, assabiyah, dan pergeseran yang tidak perlu antara penganut agama.

Kita mahu jadi kita. Kita mahu menjadi lain daripada UMNO-BN.

Seraya itu, sebelum sampai ke dewan konvensyen, para pemimpin ketiga-tiga parti wajar menghayati erti sebenar keadilan dan kebebasan. Ikrar bersama untuk memelihara prinsip-prinsip itu, tidak kira bila dan sampai bila-bila.

Lihat bagaimana kuasa politik telah begitu besar dan mencengkam kuasanya sehingga pinggan mangkuk majlis kahwin di kampung-kampung pun dicop dengan lambang parti politik.

Apakah kita, apabila berkuasa nanti, akan melaksana kaedah politik yang mengongkong sedemikian rupa? Kalau begitu, sesungguhnya apa bezanya kita dengan Umno-BN?

Kelainan yang kita cari daripada Umno-BN adalah kelainan yang perlu; bukan sekadar untuk menjadi lain daripada yang lain. Kerana itu, prinsip keadilan sebagai objektif tertinggi tuntutan politik wajar diberikan perhatian, dan tidak boleh digalang ganti.

Perlulah kita dalam Pakatan Rakyat menolak cara politik usang Umno-BN.

Isu besar yang dideritai dan menjadikan politik Malaysia sukar tumbuh dengan matang, antaranyanya, pembahagian wang peruntukan kepada wakil rakyat yang dipilih.

Kita insafi bagaimana kepayahan apabila ada calon Pakatan Rakyat menang di sesebuah negeri yang tidak diperintah oleh gabungan ini, maka wang peruntukan itu tidak diberikan oleh kerajaan BN negeri kepada wakil rakyat kita.

Lalu, adalah wajar kita mengetepikan cara politik tidak yakin diri begini. Kita kata, kita hormat keputusan rakyat.

Lalu, apabila diberi kesempatan memerintah di beberapa negeri, kita wajar tonjolkan prinsip keadilan yang sebenar dan apa yang saya sebutkan di atas tadi, sebagai "berbeza daripada Umno-BN".

Kerajaan Pakatan Rakyat haruslah bertekad untuk kembalikan hak rakyat kepada rakyat.

Kita harus berjanji bahawa kita akan memberikan peruntukan kepada wakil-wakil rakyat yang bukan di kalangan kita, yang dipilih oleh rakyat kerana ia hak rakyat, dan kerana itu kita akan hormatinya atas prinsip kita berpegang kepada makna keadilan yang sebenar.

Perjuangan baru memerlukan besar jiwa dan kebijaksanaan.

Begitu juga keluhan kita selama ini tentang tender tertutup yang diamalkan oleh rejim lama.

Mengapa tidak, mengapa terlalu sukar untuk Pakatan Rakyat mengamalkan kaedah politik baru bahawa tidak akan ada lagi tender tertutup seperti dahulu?

Tidak usah tunggu untuk sampai di Putrajaya...

Sekali lagi dengan kuasa di negeri-negeri yang kini dikuasai Pakatan Rakyat, semua projek kerajaan negeri perlu melalui tender terbuka. Tidak kira berapa nilainya, kecil atau besar - itulah yang dinamakan ketelusan dan integriti.

Dua contoh ini, paling tidak akan menjadikan rakyat semakin celik. Kita tahu dan kita tidak terlalu naif melihat gelagat sesetengah pemimpin Umno-BN, yang tidak akan berubah perlakuan ganas dan bengis politik mereka.

Kita tahu mereka akan menggunakan peluang ini dan mereka anggapnya sebagai "kelemahan" Pakatan Rakyat; itu bukanlah soalnya.

Soalanya sekarang, antara kita dengan rakyat, antara kita dengan amanah. Andai konvensyen sulung Pakatan Rakyat hujung minggu ini menjadi pertemuan pertama antara tiga parti, ayuhlah jadikan pertemuan ini bukan sekadar acara rasmi-rasmian.

Kesempatan ini perlu digunakan untuk sebuah perubahan yang struktural dan konkrit dirangka. Saya percaya Pakatan Rakyat serius dan komited dengan agenda Reformasi. Kerana itulah dipilih slogan 'Memimpin Perubahan, Menjana Kemenangan' sebagai tema pertama pertemuan raksasa tiga parti ini.


Datuk Kamarul Baharin Abbas, ahli parlimen Telok Kemang, juga pengerusi PKR Negeri Sembilan. Artikel ini bersempena konvensyen pertama Pakatan Rakyat di Shah Alam, Sabtu ini.

No comments: