BERITA HARIAN ONLINE
AHLI Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin, yang sering mewarnai persidangan Dewan Rakyat dengan kelantangannya, kini sekali lagi menjadi tumpuan apabila beliau dikatakan bernikah dengan pelakon terkenal tanah air,Zizie Izette.
Persoalan itu timbul apabila desas desus di Parlimen dan juga kalangan pemberita yang beliau sudah menikahi Zizie, 31 dan majlis resepsi diadakan di sebuah hotel di sini, malam tadi.
Bagaimanapun, Bung Moktar yang juga Timbalan Pengerusi Ahli Parlimen Barisan Nasional (BNBBC), ketika dihubungi menafikan beliau sudah menikahi Zizie seperti yang diperkatakan itu.
"Saya tidak cukup handsome (kacak) untuk dia," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Kelmarin, seperti yang dilaporkan sebuah akhbar, Zizie mengakui dia sudah dilamar oleh seorang wakil rakyat BN dari Sabah dan bersedia bergelar isteri.
Bagaimanapun, aktres berkulit gebu itu enggan mendedahkan identiti lelaki yang dimaksudkan biarpun ketika ini timbul spekulasi dia sedang hangat bercinta dengan ahli politik berumur 50 tahun.
Katanya, biarlah masyarakat terus berteka-teki dan membuat spekulasi mengenai personaliti kekasihnya itu kerana masih belum bersedia untuk mengumumkannya.
Mengikut sumber di Parlimen, ada beberapa Ahli Parlimen mendapat kad undangan daripada Bung Moktar bagi menghadiri majlis resepsi yang diadakan malam tadi.
No comments:
Post a Comment