BERITA HARIAN ONLINE
GEORGETOWN: Kes culik dan samun pakar psikiatri terkemuka, Tan Sri Dr M Mahadevan, dipercayai ada kaitan dengan kes tanah milik keluarga mangsa yang sedang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Superintendan Nashir Ya, berkata siasatan awal mendapati kejadian berlaku disebabkan rasa tidak puas hati mengenai kes perbicaraan tanah berkenaan.
Beliau yang enggan mengulas lanjut berkaitan kes tanah yang sedang dibicarakan itu, berkata tindakan melarikan mangsa seolah-olah cuba menghalangnya daripada menghadiri perbicaraan kes berkenaan.
Katanya, polis percaya dua lelaki berusia 30-an dan 40-an yang terbabit dalam kejadian itu yang tidak dikenali oleh mangsa, diupah pihak tertentu untuk melakukan perbuatan berkenaan.
"Polis masih mengesan dua suspek yang melarikan dan menyamun mangsa serta beberapa individu lain bagi membantu siasatan," katanya ketika dihubungi, semalam.
Berita Harian, semalam melaporkan Dr Mahadevan, 80, diculik dua lelaki bersenjatakan parang di hadapan bangunan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang di sini, sebelum disamun dan diting-
galkan di sebuah ladang sawit di Gunung Semanggol, Perak.
Dalam kejadian jam 4 petang Isnin lalu, mangsa yang juga pengasas dan pengarah pertama Hospital Bahagia Tanjung Rambutan, dihampiri dua lelaki terbabit ketika hendak menaiki kereta Mercedes-Benz miliknya selepas menghadiri perbicaraan kes tanah di mahkamah itu.
Mangsa dipaksa memasuki kereta berkenaan sebelum dibawa ke ladang sawit di Gunung Semanggol dan ditinggalkan di situ selepas barang berharga miliknya disamun lelaki terbabit.
Dengan bantuan orang awam yang kebetulan melalui kawasan itu, Dr Mahadevan yang mengalami lebam di badan, membuat laporan di Balai Polis Gunung Semanggol, kira-kira dua jam selepas kejadian.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu samun bersenjata dan sabit kesalahan boleh dipenjara tidak melebihi 20 tahun atau sebatan dan Seksyen 5(a) Akta Melarikan Orang dan Menakutkan Saksi Secara Jenayah 1947.
No comments:
Post a Comment