PERIKATAN Nasional (PN) Johor menyifatkan tindakan Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad tidak menzahirkan sebarang penghargaan kepada barisan Exco kerajaan negeri pada mesyuarat khas terakhir pada 22 Januari lalu sebagai ‘tidak manis.’
Ketua Penerangan PN Johor, Mohd Solihan Badri, berkata detik terakhir dalam kepimpinan kerajaan negeri wajar diakhiri dengan sesuatu yang boleh dijadikan kenangan manis.
Apatah lagi katanya, Menteri Besar menerajui kerajaan negeri pun dengan sokongan wakil PN serta Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor.
“Inilah sisi lain sikap pemimpin UMNO Johor, (kerana) tekanan pihak tertentu dalam parti sendiri, sanggup mengkhianati prinsip perkongsian kuasa, sokongan dan komitmen PN walaupun ia tidak dimeterai secara bertulis.
“Di Johor, kita ada seolah-olah satu memorandum persefahaman tetapi memang kita tidak tandatangani apa-apa dokumen bagi memegang janji terbabit,” katanya.
Mohd Solihan berkata, sokongan PN kepada Menteri Besar kerana pihaknya mementingkan soal rakyat Johor.
“Malangnya ketika mahu bubarkan DUN, UMNO tidak pernah minta pandangan. Malah tidak ada pun sepatah kata ‘terima kasih’ kepada Exco beliau ketika Mesyuarat Khas Exco Kerajaan Negeri pada hari itu, apatah lagi beliau nak minta pandangan kita,” katanya dalam kenyataan hari ini.
“Pada masa sama, saya nampak Menteri Besar membuat kenyataan dalam keadaan tertekan seolah-olah pada hari itu beliau mungkin tak nak bubar (DUN) tapi pihak lain (mahu berbuat demikian),” katanya.
Katanya, kenyataan ini adalah untuk mengaitkan bagaimana senario sama turut berlaku dengan Kerajaan Pusat apabila Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakub, diangkat menjadi Perdana Menteri juga dengan sokongan dan prinsip perkongsian kuasa oleh PN demi kepentingan rakyat.
“Malangnya, apabila UMNO menguasai semula tampuk Kerajaan Persekutuan, pemimpin tertentu parti itu serta-merta melancarkan pelbagai tindakan dan fitnah untuk menolak PN termasuk memutuskan kerjasama sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dan mengadakan PRN untuk menyingkirkan PN.,” tambahnya.
Sehubungan itu, BERSATU meminta rakyat menilai sikap negatif pemimpin UMNO itu yang dengan mudah mempermainkan kepercayaan dan mengkhianati perkongsian kuasa yang dipersetujui.
“Sepatutnya, pengundi terutama orang BN dan orang Melayu faham bagaimana sikap pemimpin mereka.
“Memang (sokongan) penyokong BN dan UMNO susah hendak diubah tapi sekarang ini pengundi generasi muda berumur 18 tahun ke atas sepatutnya melihat sikap pemimpin UMNO yang tidak mempunyai integriti politik sekali gus membuat penilaian dengan perspektif yang berbeza.
“Akhirnya, PN Negeri Johor mahu mengulangi keyakinan akan mendapat sokongan yang sangat besar daripada pengundi dan akan membentuk kerajaan negeri selepas PRN Johor nanti,” katanya. – UtusanTV
No comments:
Post a Comment