Wednesday, February 2, 2022

Buat dua PRN ketika Covid-19 dan selepas banjir, tak menggusarkan rakyat?

 

Laporan polis dibuat atas alasan kononnya analisa dan ulasan artikel Agenda Daily menggusarkan rakyat, tetapi langkah mengadakan dua Pilihan Raya Negeri (PRN) secara sengaja tidak pula dianggap menggusarkan rakyat.

Tidak masuk akal apabila artikel analisis dan ulasan berhubung senario politik dianggap satu perkara yang menggusarkan rakyat pada ketika rakyat sememangnya sudah disusahkan dengan dua PRN yang tidak sepatutnya berlangsung.

Apakah rasionalnya mengadakan dua PRN yang kosnya berpuluh juta pada ketika rakyat kini sudah susah selepas berdepan bencana banjir dan baharu dapat menarik sedikit nafas akibat penularan pandemik Covid-19?

Jika tidak mahu menggusarkan rakyat, bukankah sepatutnya menumpukan kepada usaha untuk menjaga kebajikan dan kepentingan rakyat yang dalam kesusahan sekarang.

Sepatutnya tidak perlu menggusarkan rakyat dengan isu-isu politik yang sekadar mahu menenuhi nafsu politikus semata-mata demi kuasa, lebih banyak isu lain mendesak perlu diselesaikan kerajaan dan bukannya mengadakan pilihan raya sahaja yang hendak difikirkan.

Alasan seorang pembantu kepada Perdana Menteri dalam laporan polisnya secara tidak langsung menunjukkan betapa ceteknya mentaliti beliau, lebih baik beliau meneliti dan menangani isu-isu rakyat yang kesempitan hidup daripada sibuk membuat laporan polis.

Jika terlalu banyak masa duduk di kerusi empuk dan mahu membodek sekali pun, biarlah nampak berakal.

Bayangkan dengan jutaan wang rakyat dihabiskan untuk tujuan mengadakan pilihan raya semata-mata tersebut boleh disalurkan dan digunakan sehabis baik untuk membantu rakyat yang sedang kesempitan hidup, hilang pekerjaan dan rosak harta benda tempoh hari.

Mungkin sekurang-kurangnya makcik dan pakcik yang kehilangan tempat berteduh sekurang-kurangnya dapat bantuan yang lebih baik dan banyak bagi membaik pulih kediaman mereka yang rosak tempoh hari.

Perkara yang menggusarkan rakyat ketika ini adalah sebenarnya dengan sikap ahli politik tanah air yang tamak dan pentingkan diri sendiri berbanding memikirkan poket rakyat yang semakin kering.

Lebih baik pembantu tersebut mencari jalan untuk berunding dengan parti-parti politik atau mungkin memikirkan strategi untuk mengelak daripada berlaku satu lagi pilihan raya selepas ini, itu lebih baik daripada membuat kerja sia-sia membodek.

Jika mahu mendakwa laporan dan analisis sebuah portal yang kecil seperti Agenda Daily ini menggusarkan rakyat, mungkin sepatutnya mencermin diri sendiri agar sedar diri siapa sebenarnya yang menggusarkan rakyat.

Bagaimanapun, sikap angkuh dan bongkak dalam kalangan pemimpin UMNO nampaknya masih tidak berubah walaupun tewas semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu.

Intimidasi dan tekanan terhadap pengamal media nampaknya sudah bermula dan tidak mustahil apabila kembali menjadi dominan berkuasa maka lebih banyak sekatan yang bakal dikenakan terhadap media massa.

Gangguan dan cubaan untuk menyekat kebebasan bersuara dan mengkritik masih tidak dapat diterima para pemimpin UMNO, anggapan mereka apabila sebuah media itu ditekan dan disekat maka sumber maklumat tidak akan sampai kepada rakyat.

Terdapat perbezaan yang nyata antara sebuah analisis atau ulasan dengan fitnah seperti yang didakwa oleh pembantu tersebut, tetapi faktanya adalah dua PRN yang diadakan lebih menggusarkan rakyat dan bukannya sebuah kritikan penulisan atau ulasan.

Harap dapat dibezakan antara ulasan dengan fitnah kerana Agenda Daily bukan seperti Datuk Lokman Adam yang secara terang-terang membuat fitnah yang berunsur peribadi dan itu lebih mencalarkan imej seseorang individu, tetapi tidak pula ada tindakan susulan

Dan faktanya juga, jika parti komponen yang berada dalam kerajaan ketika ini menarik sokongan, maka ia juga akan menumbangkan kerajaan dan apakah satu pilihan raya umum seperti PRN Melaka dan Johor terpaksa diadakan?

No comments: