Friday, February 4, 2022

15% ibu bapa di Sarawak tidak setuju vaksin kanak-kanak


Sebanyak 15% daripada 40 ribu responden dalam kalangan ibu bapa di Sarawak tidak bersetuju dengan Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids).

Timbalan Ketua Menteri Douglas Uggah Embas berkata hasil tinjauan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Sarawak dari 26 hingga 31 Januari itu mendapati sebanyak 59.7% peratus sangat bersetuju manakala 25.3% tidak pasti.

Beliau berkata antara sebab utama responden tidak setuju atau tidak pasti adalah kerana kerisauan berkenaan komplikasi yang bakal berlaku selepas mengambil vaksin.

“Ada juga yang risau berkenaan keselamatan vaksin dan mahu memilih jenis vaksin yang diberikan,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) kepada pemberita selepas majlis pelancaran PICKids peringkat Sarawak di Hospital Umum Sarawak (HUS) hari ini.

Semalam, Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata sebanyak 517,107 kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun di negara ini telah didaftarkan oleh ibu bapa mereka untuk menerima vaksin Pfizer Covid-19 setakat 1 Februari.

Menurutnya, angka itu merangkumi kira-kira 15% daripada jumlah keseluruhan kohort 3.6 juta kanak-kanak.

Sementara itu, Uggah berkata 272,500 orang kanak-kanak berumur 5 hingga kurang 11 tahun di Sarawak yang layak untuk PICKids.

“Kita menyasarkan 70% kanak-kanak yang layak dan dalam sistem pendidikan dapat diberikan dos pertama vaksin Pfizer dalam tempoh 2 bulan dari sekarang,” katanya.

No comments: