Thursday, February 3, 2022

16 individu ditahan ketika leka bermain judi belangkas16 individu ditahan ketika leka bermain judi belangkas

 Oleh NUR ANATI JUHARI

SEBAHAGIAN daripada individu yang ditahan ketika bermain judi belangkas di Lorong Ayer Puteh, Jalan Kota Tanah di Jalan Pengawai, Alor Setar semalam.

ALOR SETAR: Seramai 16 individu termasuk lina wanita ditahan ketika leka bermain judi belangkas dalam Op Limau/Op Tahun Baharu Cina di Lorong Ayer Puteh, Jalan Kota Tanah di Jalan Pengawai di sini semalam.

Dalam serbuan pada pukul 8.30 malam itu juga berjaya menahan penganjur iaitu lelaki berusia 54 tahun yang pernah meloloskan diri dalam serbuan judi dua tahun lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kedah, Datuk G Suresh Kumar berkata, kesemua suspek berusia antara 50 hingga 70 tahun dan cuba melarikan diri namun gagal.

Kata beliau, kaki judi belangkas itu menggunakan kawasan belukar dan lorong sempit berbanding kawasan hutan seperti sebelum ini.

“Berikutan musim perayaan, aktiviti perjudian ini dilihat aktif dan serbuan ini dilakuka hasil maklumat risikan dari pihak JSJ Kedah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, beberapa peralatan turut yang digunakan dalam aktiviti perjudian itu dirampas termasuk sekeping kertas mahjong terlukis petak, 10 buah kerusi, satu biji dadu terdapat gambar belangkas, ikan, bunga dan udang, sebuah pinggan kaca, sebuah mangkuk aluminium, empat kertas pelatik dan sebuah meja pelapik.

“Selain itu, wang tunai bercampur-campur yang disyaki digunakan dalam aktiviti itu berjumlah RM14,159 juga turut dirampas,” ujarnya.

Suresh berkata, pihaknya percaya kegiatan perjudian di kawasan itu dilakukan sejak seminggu lalu dan semua pemain terdiri dalam kalangan warga tempatan.

“Wang pertaruhan bermula dari RM50 hingga RM100 seorang dan kesemuanya telah ditahan dan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1953 dan mereka juga akan disiasat mengikut Akta 342 kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) kerana berkumpul tanpa penjarakan fizikal serta pelitup muka,” katanya. -UTUSAN ONLINE

No comments: