LULUH hati seorang bapa dari Sinjai, Sulawesi Selatan, Indonesia apabila mendapati wangnya tidak mencukupi untuk menyewa ambulans bagi membawa jenazah bayi pramatangnya yang meninggal dunia pulang ke rumah.
Sedih dengan keadaan itu, Asdar, 29, nekad membonceng jenazah anaknya dengan motosikal sejauh 104 kilometer (km) dari hospital ke rumahnya di Kelurahan Samataring, Kecamatan Sinjai Timur.
Kisah menyedihkan itu berlaku minggu lalu setelah Asdar menyedari wang yang sepatutnya digunakan untuk menyewa ambulans masih kekurangan 100,000 rupiah (RM29).
Ini membuatkan Asdar membuat keputusan membonceng jenazah anaknya dari Hospital Pancaitana, daerah Bone ke rumahya pada 31 Januari lalu sambil ditemani saudaranya.
Lapor Kompas, lelaki itu pada awalnya meminta pihak Hospital Pancaitana Bone untuk menghantar jenazah anaknya menggunakan ambulans.
Namun lelaki itu diminta membayar 600 ribu rupiah (RM174) sedangkan Asdar hanya memiliki 500,000 rupiah (RM145).
“Kata pihak hospital kos membawa jenazah itu masih tidak cukup, terpaksa jasad bayi saya bawa pulang menggunakan motosikal,” kata Asdar.
Difahamkan, setelah Asdar melalui dua mukim iaitu Barebbo dan Cina, pemandu ambulans Hospital Pancaitana meminta Asar berhenti namun lelaki itu menolak tawaran itu.
Mengikut laporan Tribun Timur, isteri Asdar, Juliatun Mariani, 25, melahirkan anak mereka pada 27 Januari lalu secara pramatang.
Ini selepas wanita itu mengalami pendarahan ketika kandungannya baru berusia tujuh bulan.
Bayi pramatang itu kemudian berjaya dilahirkan menerusi kaedah pembedahan.
Bagaimanapun selepas beberapa hari, anak pasangan itu kemudiannya meninggal dunia di Hospital Pancaitana Bone.
Sementara itu, pihak pengurusan Hospital Pancaitana Bone tampil memohon maaf kepada Asdar.
“Jadi kami atas nama pengurusan meminta maaf atas masalah ini, tak seharusnya terjadi seperti ini Pak, ini salah,” kata Ketua Bagian Pentadbiran Hospital Pancaitana, Fahruddin.
No comments:
Post a Comment