Thursday, February 3, 2022

Pengamal media harus dukung prinsip berita tepat, beretika, kata Annuar

 BERNAMA

Pelaporan yang melanggar undang-undang tidak sepatutnya berlaku dan mestil dielakkan.

Pengamal media bertanggungjawab mendukung prinsip pelaporan berita yang tepat dan beretika sepanjang masa sekali gus akan meningkatkan integriti pihak media itu sendiri, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Annuar Musa.

Beliau berkata kementerian komunikasi dan multimedia (KKMM) menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) khususnya, menerima banyak aduan mengenai pengamal media melibatkan media konvensional, media dalam talian serta media sosial yang melanggar etika dan undang-undang negara.

“Dalam hal ini saya percaya semua pengamal media mempunyai keupayaan untuk membuat penilaian sendiri dan kekuatan moral untuk sentiasa mematuhi undang-undang dan menjaga etika kewartawanan dalam setiap pelaporan berita yang disiarkan.

“Meskipun kerajaan amat menghormati prinsip kebebasan media, namun semua pihak mestilah mempunyai kebertanggungjawaban dalam pemberitaan dan laporan yang disiarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Annuar berkata pelaporan yang melanggar hak orang lain atau melanggar undang-undang tidak sepatutnya berlaku dan mestilah dielakkan kerana ia boleh mengakibatkan pihak media berdepan tindakan sivil atau tindakan undang-undang di bawah Kanun Keseksaan.

No comments: