Pada 1 Januari lalu, Johor mencatat 5,106 kes aktif dengan 4,195 pesakit menjalani kuarantin di rumah; 401 diberi rawatan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC), manakala seramai 488 pesakit dimasukkan ke hospital dan 22 dirawat di unit rawatan rapi (ICU).
Kini setelah sebulan berlalu jumlah itu melonjak sekali ganda, tatkala Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bakal berlangsung tidak lama lagi setelah Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan 22 Januari lalu.
Sehari selepas pembubaran itu, Johor merekodkan 254,011 kumulatif kes positif, dengan 240,696 pesakit telah sembuh, 3,903 kumulatif kes kematian, serta 9,412 kes masih aktif.
Sejak daripada tarikh itu, jumlah jangkitan harian yang dilaporkan terus meningkat – tertinggi dicatat pada 27 Januari iaitu 805 kes – dengan kes aktif setakat hari itu sebanyak 9,081 kes.
Semalam, sebanyak 868 jangkitan baharu direkodkan di seluruh negeri itu, menjadikan kumulatif positif mencecah 260,447, dengan 245,892 pesakit telah sembuh dan 10,636 kes masih aktif, meningkat sebanyak 477 berbanding pada Isnin.
Daripada jumlah kes aktif itu seramai 9,444 pesakit diarah menjalani kuarantin di rumah, sedang pada 1 Januari lalu jumlahnya hanya 4,195, – pastinya mereka tidak boleh keluar ke mana-mana, termasuk untuk membuang undi ketika pilihan raya, tanpa kebenaran pihak berkuasa.
Sehingga semalam juga seramai 686 pesakit lagi diberi rawatan di PKRC (401 pesakit pada 1 Januari), manakala 497 lagi dimasukkan ke hospital (488 pada 1 Januari), dan sembilan di ICU, turun berbanding 22 pesakit pada 1 Januari.
Sejak awal Covid-19 melanda negara sehingga semalam, Johor turut merekodkan 3,919 kes kematian, kedua tertinggi selepas Selangor.
Dalam tempoh 24 jam sehingga 12 tengah hari semalam, Johor Bahru mencatat 332 jangkitan baharu, diikuti Batu Pahat (134); Kluang (102); Kulai (63); masing-masing 59 kes di Segamat dan Kota Tinggi; Tangkak (56); Muar (29); dan Pontian (12). Manakala tiada sebarang kes baharu direkodkan di Mersing.
Dari segi pemberian vaksin Covid-19 pula, seramai 2,720,302 atau 100.3 peratus individu dewasa berusia 18 tahun dan ke atas yang layak mengundi dalam PRN itu nanti telah melengkapkan suntikan vaksin masing-masing.
Seramai 2,741,991 atau 101.1 peratus lagi individu dewasa menerima sekurang-kurangnya satu dos, dan 1,363,882 atau 50.3 peratus lagi menerima dos penggalak.
Berdasarkan data dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM), dalam tempoh seminggu lalu sebanyak 25.2 peratus daripada individu berusia 18 hingga 29 tahun iaitu dalam kategori layak mengundi, telah dijangkiti Covid-19.
Ini diikuti, 19.0 peratus melibatkan individu berusia 30 hingga 39 tahun; 12.2 peratus (40-49 tahun); 10.7 peratus (12-17 tahun); 9.7 peratus (5-11 tahun); 8.5 peratus (50-59 tahun); 5.9 peratus (0-4 tahun); 5.8 peratus (60-69 tahun); 2.2 peratus (70-79 tahun); dan 0.8 peratus (80 tahun ke atas).
Dari segi taburan kematian minggu lalu pula, pesakit berusia 70 hingga 79 tahun dan 80 tahun ke atas masing-masing merekodkan 38.5 peratus, diikuti 15.4 peratus individu berusia 40 hingga 49 tahun, dan 7.7 peratus (50 hingga 59 tahun).
Sehubungan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) wajar mengambil kira peningkatan jumlah kes harian dan kes aktif di Johor dalam menetapkan prosedur operasi standard (SOP) PRN Johor.
Sekiranya, kes terus meningkat pada minggu PRN diadakan, sewajarnya SOP diperketatkan lagi bagi mengekang penularan, terutama membabitkan varian Omicron yang terlalu pantas dan mudah menjangkiti.
No comments:
Post a Comment