Thursday, February 3, 2022

Sedekah duit kemenangan saman fitnah RM1 juta kepada anak yatim, masjid

Oleh ROSLIZA MOHAMED

DR. Mohd. Hannan Mohd. Yusof (kanan) menunjukkan dokumen berkaitan saman fitnah terhadap bekas pekerjanya di Kota Bharu, hari ini. -UTUSAN/ ROSLIZA MOHAMED

KOTA BHARU: Sebuah pusat kecantikan, Hannan Medispa Sdn. Bhd. (Hannan Medispa) merancang menyalurkan wang kemenangan saman fitnah sebanyak RM1 juta baru-baru ini kepada anak yatim dan masjid di negeri ini.

Pada 16 Januari lalu, Hannan Medispa memenangi kes saman fitnah di Mahkamah Sesyen Kota Bharu terhadap seorang doktor yang mendakwa pusat kecantikan itu menipu pelanggan dengan cara menggunakan produk murah.

Pengasas Hannan Medispa, Dr. Mohd. Hannan Mohd. Yusof berkata, dakwaan doktor yang juga bekas pekerjanya pada November 2019 itu tular di Facebook menyebabkan syarikat mengalami kerugian pendapatan hampir RM1 juta.

Kata beliau, pihaknya pernah berbincang secara baik dengan doktor terbabit dengan meminta bayaran ganti rugi sebanyak RM200,000 namun penyelesaian terhadap kes itu gagal dicapai memaksa tindakan perundangan dibuat.

“Hantaran dikemas kini doktor itu telah dikongsi sebanyak 3,000 kali di Facebook. Walaupun beliau kemudiannya memadamkan hantaran tersebut namun kami telah menerima pelbagai kecaman atas fitnah itu. 

“Kemenangan kami dalam prosiding mahkamah membuktikan dakwaan itu tidak benar. Kami selama ini menggunakan produk berkualiti dan diluluskan Kementerian Kesihatan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kata Dr. Mohd. Hannan lagi, wang diperoleh menerusi saman itu kelak akan digunakan bagi tujuan kerja-kerja kebajikan dengan tumpuan diberikan kepada anak-anak yatim serta derma kepada masjid-masjid di seluruh Kelantan.

“Fitnah ini merupakan cabaran kepada individu yang terlibat dalam dunia perniagaan. Impaknya amat besar sehingga menyebabkan syarikat saya rugi dan hilang kepercayaan pelanggan,” katanya.

Difahamkan, sehingga hari ini, bekas pekerja Hannan Medispa yang kalah dalam kes itu masih belum menjelaskan saman sebanyak RM1 juta tersebut.-UTUSAN ONLINE

No comments: