Tuesday, February 1, 2022

Ganjaran peroleh payung emas jika benarkan poligami adalah hadis palsu

Oleh AHMAD FADHLULLAH ADNAN
HADIS mengenai poligami dapat 'payuung emas' adalah palsu. – AFP

PETALING JAYA: Ganjaran memperoleh ‘payung emas’ yang digunakan sekiranya seseorang isteri itu membenarkan suaminya berpoligami merupakan hadis palsu.

Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, hukum bagi sesuatu perkara itu perlu dilihat daripada aspek sebab dan illahnya.

“Tidak ada payung emas mahupun free gift payung. Ia hadis palsu.Hukum bagi sesuatu juga perlu dilihat daripada aspek sebab dan illahnya.

“Tidak boleh menetapkan hukum atas sesuatu berdasarkan zahir ia sunnah atau tidak semata-mata, sebaliknya melihat kepada maslahat suatu perkara itu.

“Begitu juga dengan poligami. Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi,” katanya dalam satu hantaran di Twitter, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang wanita mengenai dakwaan isteri akan ke neraka kerana menentang poligami yang dikaitkan dengan sunnah Rasulullah.

Menurut bekas Mufti Wilayah Persekutuan itu, hukum berpoligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat dan haram.

Katanya, tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.

“Berbincang dengan baik, beri nasihat, dan pandangan, demi untuk mengelakkan daripada berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap hak isteri dan juga anak-anak

“Sikap sebagai Muslim adalah kita tak menentang sebarang syariat Allah yang pasti ada keperluan dan hikmah dalam keadaan tertentu.

“Kita cuma menolak sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu lantas mengabaikan hak-hak lain,” jelasnya.

No comments: