Friday, February 4, 2022

7,234 kes baharu, kes dijangka terus naik tapi gelombang Omicron tidak seteruk Delta – KJ

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah. GAMBAR: Abd Razak Aid

SEBANYAK 7,234 kes baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, lonjakan lebih 100 peratus berbanding purata jangkitan pada awal bulan lalu.

Semalam, negara merekodkan 5,720 kes baharu dengan 1,563 daripadanya dikesan di Selangor.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ini menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di Malaysia sebanyak 2.89 juta kes.

“Pada 4 Februari 2022, jumlah kes COVID-19 yang dilaporkan adalah 7,234 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 2,895,014 kes.

“Maklumat terperinci akan dimuat naik ke laman COVIDNOW: https://covidnow.moh.gov.my.

“Data setiap hari bagi laman COVIDNOW adalah di kemaskini sekaligus selepas tengah malam,” katanya menerusi Facebook beliau hari ini.

Sementara itu, Mesteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin pada satu majlis dekat ibu negara sekali lagi memaklumkan lonjakan ini disebabkan penularan gelombang varian Omicron dan ia dijangka terus meningkat.

Katanya, bagaimanapun orang ramai tidak perlu terlalu bimbang dengan gelombang terbaru ini kerana didapati tidak mendatangkan gejala serius kepada mereka yang dijangkiti.

“Gelombang kali ini berbeza dengan Delta tahun lepas. Yang ini tahap gejalanya tidak seteruk dulu setelah 99 peratus populasi dewasa sudah pun divaksinasi.

“Kalau lihat kemasukan ke hospital, kadar kematian adalah masih rendah dan terkawal. Perkara ini adalah indikator, data penting kepada kita.

“Ya, kita risau jika kita kes naik terlalu tinggi. Tetapi kes akan terus naik kerana kadar jangkitan Omicron yang tinggi selain kelonggaran terus diberi untuk memulihkan ekonomi,” katanya.

Tambah Khairy, yang penting ialah memastikan golongan berisiko seperti warga emas dapat dijaga dengan baik.

Untuk rekod, negara pernah merekodkan kes harian melebihi 20,000 jangkitan tahun lalu dengan kapasiti hospital di beberapa negeri berada pada tahap yang tinggi.

Ia dikaitkan dengan penularan varian Delta yang turut menyaksikan jumlah kematian akibat virus itu mencecah tiga angka sehari.

Bagaimanapun, situasi itu bertambah baik seiring dengan peningkatan vaksinasi termasuk pemberian dos penggalak dalam kalangan populasi Malaysia.

No comments: